Home Melaka

Rencana | Tekan pembangkang- PH sambung tradisi BN

316
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-baru ini seorang sahabat penulis yang juga seorang pimpinan PAS yang bekerja sebagai pegawai kerajaan cuba ditularkan identitinya oleh cybertrooper Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN). Niat mereka adalah agar maklumat ini diketahui oleh jabatan tempat individu tersebut bekerja dan individu ini diambil tindakan.

Baru-baru ini juga Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dimaklumkan bahawa mereka tidak akan mendapat peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

Tidak lama dulu Kerajaan Pusat mengumumkan mewujudkan semula Jabatan Persekutuan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang bagi tujuan menyalurkan bantuan dengan menafikan peranan kerajaan negeri yang telah dipilih oleh rakyat.



 

Wah… bukan main ‘galak’ lagi puak-puak PH-BN menunjukkan kuasa mereka untuk menindas aktivis pembangkang dan menafikan hak mereka yang termaktub dalam undang-undang.

Mereka yang dari Umno-BN tidak mengapalah, amalan busuk itu memang menjadi darah daging mereka dari dahulu. Namun yang lucunya sebahagian daripada anggota kerajaan yang sedang berkuasa sekarang adalah mereka yang berpuluh tahun menjadi pembangkang yang ditindas teruk dan dinafikan hak mereka oleh BN semasa parti itu berkuasa penuh dahulu.

Tidakkah mereka ada sedikit rasa kesedaran bahawa sistem yang tidak adil ini patut dihentikan?

Malangnya mereka tidak berjiwa besar dan apabila mereka berada di puncak kuasa mereka pula yang ghairah bagai dirasuk syaitan untuk menindas pembangkang sama seperti mereka ditindas dahulu.

Dengan tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, mereka cuba untuk menjadikan wakil rakyat pembangkang itu tidak berfungsi di mata rakyat kerana tidak dapat memberikan bantuan material.

Akhirnya rakyat akan berasa bahawa tidak ada gunanya mengundi calon pembangkang. Maka rakyat seperti ‘dipaksa’ untuk mengundi calon parti kerajaan. Inilah pengkhianatan kepada sistem demokrasi.

Kerajaan PH-BN juga dikatakan telah menyekat tokoh-tokoh agama yang pro-PN daripada terlibat dalam rancangan-rancangan kuliah di televisyen.

Walau pun menteri terlibat menafikan ada mengeluarkan arahan tetapi kita pun faham kaedah yang digunakan. Penulis pun pernah menjadi pegawai kerajaan satu masa dulu.



 

Penjawat politik dalam kerajaan jika mereka mahu memberi arahan yang bersifat politik mereka tidak mengeluarkan hitam putih, cukup dengan arahan verbal kepada ketua jabatan. Kemudian pandai-pandailah ketua jabatan hendak melaksanakan arahan tidak bertulis itu.

Dalam soal tekanan kepada kakitangan kerajaan yang aktif dalam parti pembangkang juga sama, dimanipulasi lompang-lompang dalam undang-undang Perintah Am tersebut.

Sebagai contoh, dinyatakan kakitangan kumpulan A tidak boleh menyertai politik. Hakikatnya mereka tidak boleh menyertai politik tidak kira samada parti kerajaan atau pembangkang.

Namun Perintah Am ini hanya digunakan kepada pegawai kumpulan A yang aktif dalam parti pembangkang. Yang aktif dalam parti kerajaan tidak dikenakan tindakan pula.

Bagi kakitangan awam kumpulan sokongan pula sebenarnya tidak salah untuk berpolitik. Namun apabila mereka didapati aktif dalam parti pembangkang mereka akan dikenakan tindakan seperti ditukarkan ke lokasi yang jauh.

Perpindahan mereka pula tidak dinyatakan secara rasmi atas sebab hukuman kerana berpolitik, tetapi dibuat kononnya sebagai pertukaran biasa atau khidmat mereka diperlukan di tempat lain.

Begitulah mereka menindas dan menakut-nakutkan aktivis pembangkang. Tidakkah mereka lupa bahawa kuasa itu bukan milik mereka selama-lamanya. Mereka pernah berada di bangku pembangkang. Kemudian Allah SWT rezekikan mereka menjadi kerajaan.

Dan tidak mustahil pada masa hadapan mereka akan menjadi pembangkang semula. Tidakkah mereka bimbang sekiranya perkara itu berlaku semula kepada mereka?

PH yang telah berjanji dalam manifesto PRU15 untuk memberi peruntukan kewangan samarata kepada wakil rakyat pembangkang pun mungkir janji mereka sendiri dan mewarisi budaya BN untuk menindas dan menafikan hak pembangkang.

Hakikatnya semasa BN memerintah, mereka mengamalkan perkara ini. Yang menariknya semasa PH berkuasa selepas memenangi PRU14 pada tahun 2018 mereka juga melakukan perkara yang sama.

Kemudian apabila PN membentuk kerajaan selepas ‘Langkah Sheraton’, kerajaan ini mengorak langkah dengan memberikan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang peruntukan mereka.

Ini menjadikan sehingga kini, bermula pemerintahan BN; PH; PN-BN; dan seterusnya PH-BN, hanya kerajaan PN-BN sahaja yang memberikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 10 Februari 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH