Home Berita PAS Pahang

Kerajaan didesak bertindak segera baiki jalan raya di Pahang banyak rosak

105
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 9 Feb :: Kerajaan Negeri Pahang dan Persekutuan didesak mengambil tindakan segera terhadap permasalahan jalan rosak dan berlubang khususnya di sekitar Kuantan agar negeri ini tidak dilabel sebagai ‘raja’ jalan berlubang.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, keadaan jalan raya di sekitar bandar ini merupakan cerminan kepada tahap kecekapan sesebuah kerajaan memandangkan Kuantan merupakan sebuah bandar raya dan ibu negeri Pahang.

“Apa kata pelancong luar yang datang ke Kuantan, atau ini merupakan salah satu tarikan baharu pelancongan di negeri Pahang?

“Dulu kita terkenal sebagai ‘Marikh Malaysia’, adakah kini kita berbangga untuk dikenali sebagai ‘raja’ jalan berlubang’?” soalnya.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Berita PAS Pahang pada Khamis susulan tular rungutan dan aduan pengguna terhadap ketidakselesaan serta tahap keselamatan jalan raya di negeri Pahang khususnya di bandar raya Kuantan.

Berdasarkan aduan orang ramai tersebut, banyak jalan raya di negeri Pahang khususnya di Kuantan adalah berbahaya, berlubang, gelap, tiada garisan tengah dan tepi dan ia boleh mengakibatkan kemalangan ataupun kerosakan kenderaan pengguna.

“Banyak rungutan serta aduan telah dimuat naik di media sosial di Laman Warga Kuantan dan beberapa laman lain, tentang kenderaan pengguna sama ada kereta atau motosikal yang kemalangan, rim dan tayar pecah, serta kejadian terbabas akibat keadaan jalan berlubang dan berbahaya di sekitar Kuantan.

“Ini termasuk jalan raya dari bandar raya Kuantan hingga ke sempadan negeri Terengganu. Tidak terkecuali jalan-jalan kampung dan perumahan juga mengalami kerosakan teruk. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi pada musim hujan kini,” kata Andansura yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.

Menurut Andansura, rakyat tidak boleh dibebankan dengan keadaan ini sehingga mereka terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan untuk membaiki kerosakan kenderaan, dalam masa sama mereka tidak mahu mendengar alasan bahawa pihak berwajib tiada peruntukan untuk kerja-kerja baikpulih.

Justeru beliau mendesak pihak-pihak berwajib sama ada JKR, Roadcare, YP Maintenance dan pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk turun padang menyelesaikan permasalahan jalan yang rosak teruk ini dengan kadar segera bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku.