Home Berita PAS Melaka

Rencana : Tangga Batu sejahtera | Bagai buih di lautan

581
SHARE

TIDAK diragukan lagi bahawa setiap insan yang berakal sihat tidak akan menerima hujah bahawa sebuah bangunan tidak memiliki asas binaan mampu untuk berdiri gah apatah lagi untuk berfungsi sebagai bangunan selamat yang menawarkan manfaat.

Demikian pula urusan agama ini, betapa sukar untuk menemukan atau bahkan seolah-olah zaman ini tidak ada tokoh seorang muslim yang benar-benar ideal menjunjung dan mengagungkan Islam dengan tanggungjawab syariat dan As-Sunnah sesuai sepertimana yang pernah diwarisi oleh para sahabat radiallauanhum secara istiqomah dan juga dengan berakidah yang lurus.

Renungi dan sedarilah yang kita bicarakan kini bukanlah sekadar semangat juang atas nama agama tanpa ilmu ataupun gerakan yang tidak dilandasi oleh pertimbangan-pertimbangan yang matang.

Namun yang sedang kita perbincangkan saat ini di tengah-tengah situasi yang penuh dengan terpaan syubhat dan syahwat di atmosfera kehidupan kaum muslimin, di tengah-tengah gelombang maklumat di hujung jari.

Saat ini maklumat mampu diraih dari berbagai-bagai belahan ‘dunia tanpa sempadan’ yang akan menyaksikan pelbagai adegan serta kemunculan para politikus yang lemah dan lembik di atas pedoman-pedoman agama yang bersumber dari akal dan hawa nafsu tanpa sekali mengambil pedoman pemahaman salafus soleh, yang akhirnya mereka ini terlatar di celahan dan telunjuk para pemuja idealis dan pemuja kuasa serta kesenangan.

Sedarlah, keruntuhan sebuah kemerdekaan adalah berpunca dari manusia yang gagal mengawal hawa nafsunya sehingga kiblat mereka tidak lagi terarah kepada kuasa ‘sang pemilik nyawa’ yakni Allah Azza Wa Jalla tetapi mereka telah meletakkan pemikiran dan memperhambakan jiwa mereka kepada gerombolan manusia yang lemah tanpa menyedari bahwa setiap ucapan yang terlontar dari lisan mereka akan dicatat dan diadili pada hari pembalasan kelak.

Kita memerlukan kebangkitan para lelaki dan wanita yang menyimpan kekuatan iman laksana benteng yang kukuh di dalam jiwa dan raganya yang dipadu dengan tauhid yang benar serta dengan kepelbagaian ilmu sebagai syarat proses membangunkan sebuah tamadun bangsa yang memiliki jati diri berteraskan Al Quran dan As Sunnah melalui keimanan serta pengabdian kepada Rabbul Jalil dengan pengabdian diri yang benar sepertimana yang pernah diwarisi oleh para sahabat Rasulullah sallahualaihi wasallam tanpa perlu diserapi dengan warisan ibadah rekaan daripada ‘wali’ atau ‘ulama jadi-jadian’, percayalah semua ini bukanlah sesuatu yang mustahil terjadi di masa seperti ini.

Sebagaimana pula kaum di masa silam telah menyaksikan tokoh pemuda Kahfi yang dinyatakan oleh Allah tentang keadaan mereka yang patut kita teladani bersama, Allah Azza Wa Jalla berfirman,

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آَمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

“Kami mengisahkan cerita mereka kepada kamu dengan benar, sesungguhnya mereka itu adalah para pemuda yang beriman kepada Rabb mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (Surah Al Kahfi Ayat13)

Sebagaimana pula di hari kiamat nanti Allah akan memberikan naungan-Nya kepada sosok pemuda yang tumbuh dalam aktivitas ibadah kepada Rabbnya. Rasulullah SAW bersabda tentang hal ini:

“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan dari Allah di hari ketika tiada naungan kecuali naungan-Nya,…” di antaranya adalah, “Seorang pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada Allah.” (HR. Bukhari)

Kebangkitan tokoh-tokoh dari pelbagai latar kehidupan di tanah air kita hari ini untuk membela agama ini dari penghinaan musuh-musuh-Nya adalah merupakan khabar gembira yang menyejukkan hati. Namun yang kita sayangkan adalah sebuah kebangkitan mereka yang tidak menjadikan ilmu syar’i dan para ulama yang berpegang teguh dengan teras agama yakni Al-Quran dan As-Sunnah tanpa sedikit pun penyimpangan berperanan sebagai pemandu perjuangan mereka. Mereka bergerak dan bertindak tanpa koordinasi, tanpa perhitungan yang matang, membabi-buta dan bercampur-baur dengan akhlak yang buruk bahkan sebahagiannya tersangat buruk serta tampak ‘bodoh’ apabila mengejarkan kuasa seumpama hamba sahaya di zaman jahiliyyah.

Kita sangat merindukan kejayaan Islam dan kepimpinan kaum muslimin di muka bumi ini, namun ketahuilah bahawa kejayaan yang kita dambakan tidak akan terwujud tanpa keikhlasan, cucuran keringat akibat tribulasi, fikiran yang tidak pernah berhenti memikirkan apakah amalan yang boleh aku lakukan untuk kebaikan akhirat, ketundukan kepada Allah dan air mata taubat dan penyesalan.

Janganlah kalian mengira bahwa para sahabat dahulu meraih kemenangan dan penaklukkan berbagai-bagai negeri dalam jangka waktu yang tidak lama, hanya kerana kekuatan fizikal dan jumlah semata-mata yang mereka miliki? Janganlah kalian mengira tokoh seperti Umar bin Al-Khattab masuk Islam dan menjadi pembelanya hanya semata-mata kerana upaya dirinya sendiri ataupun ajakan Nabi SAW? Namun ketahuilah lebih dari itu semua, kemenangan, petunjuk dan ketegaran yang mereka miliki adalah barakah petunjuk dan anugerah dari Allah Ta’ala yang diberikan-Nya kepada siapapun yang dikehendaki-Nya.

Allah ta’ala berfirman tentang Nabi-Nya shallallahu ‘alaihi wa sallam,

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ
“Sesungguhnya Kamu tidaklah mampu memberikan petunjuk kepada orang yang kamu senangi akan tetapi Allah yang memberikan petunjuk kepada siapa saja yang Allah kehendaki.” (Surah Al Qashash Ayat 56).

Oleh sebab itu Ibnul Qayyim pernah mengatakan, “asas segala kebaikan adalah pengetahuan yang kamu miliki bahawa apa pun yang Allah kehendaki pasti terjadi dan apa yang tidak Allah inginkan tidak akan terjadi”.

Dengan demikian maka pastilah bahawasanya segala kebaikan adalah barakah dari nikmat-Nya, sehingga kalian wajib mensyukurinya dan merendahkan diri untuk memohon kepada-Nya agar Dia tidak memutus kenikmatan itu darimu.

Dan juga menjadi terang lagi bersuluh bahawasanya segala keburukan itu timbul akibat tidak mendapatkan bantuan dari-Nya dan tertimpa hukuman-Nya. Oleh sebab itu segeralah kamu memohon kepada-Nya agar Dia menghalangimu supaya tidak terperosok ke lembah kehinaan. Dan juga mintalah kepada-Nya agar tidak membiarkan dirimu sendirian di dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan akhlak juga hasad. Semua orang yang mengenal Allah pun telah sepakat bahawa segala kebaikan sumbernya adalah kerana bimbingan dan pertolongan dari Allah Azza Wa Jalla kepada hambaNya. Dan mereka pun sepakat bahawa segala keburukan merupakan akibat hamba tidak mendapatkan pertolongan dari-Nya…” (Rujuk Kitab Al Fawa’id, hal. 94).

Wallahu’alam.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

MOHAMMED SAUFEE OTHMAN
KETUA PENERANGAN PAS
Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)