Home Melaka

Rencana | Saya saksi mata PAS Melaka menang kerusi Parlimen

825
SHARE

𝗢𝗹𝗲𝗵 𝗜𝗕𝗡𝗨 𝗝𝗔𝗡𝗜𝗘

𝗦𝗔𝗬𝗔 tidak tahu dari mana saya harus mulakan catatan ini. Biar dari sudut manapun, baik dari atas dari bawah dari depan dari belakang dari kiri atau dari kanan semuanya penuh dengan kemanisan yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini.

Petang itu 19 November, hari Sabtu saya berada di Bilik Gerakan Utama (BGU) Parlimen P134 Masjid Tanah iaitu bilik gerakan untuk calon Perikatan Nasional, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Saya berada di situ sementelah saya adalah Ketua Penerangan PAS kawasan ini dan di situlah kami membantu calon Bersatu itu bagi memenangi Parlimen Masjid Tanah ini.

Sebelum tamat tempoh pengundian saya menerima perkhabaran bahawa di Parlimen Tangga Batu bagi undi awal Kem Terendak, pengiraan telah selesai dan Perikatan Nasional menang besar.

Kem ini besar dan pengundinya juga ramai. Jika tidak silap saya jumlah pengundinya sekitar 10,000 orang dan ia boleh memberi kesan marginal kepada keputusan keseluruhan bagi parlimen ini yang jumlah undi keseluruhan lebih kurang 115 ribu orang pengundi.

Maklumat tentang kemenangan awal di Kem Terendak pun sudah membuatkan saya bercucuran air mata. Sesuatu yang kami tidak pernah terfikir untuk dapat sebelum ini.

𝙍𝙚𝙣𝙘𝙖𝙣𝙖 𝙞𝙣𝙞 𝙟𝙪𝙜𝙖 𝙙𝙞𝙨𝙞𝙖𝙧𝙠𝙖𝙣 𝙙𝙞 𝙃𝙖𝙧𝙖𝙠𝙖𝙝 𝙘𝙚𝙩𝙖𝙠 𝙀𝙙𝙞𝙨𝙞 𝙄𝙨𝙣𝙞𝙣 𝙗𝙚𝙧𝙩𝙖𝙧𝙞𝙠𝙝 28 𝙉𝙤𝙫𝙚𝙢𝙗𝙚𝙧 2022

 

Itu menambahkan rasa teruja saya dan rakan-rakan seolah-olah ada sinar di hujung terowong mahu melihat PAS kali ini akan mencipta sejarah untuk kali pertamanya memenangi kawasan parlimen.

PAS pernah menang satu kerusi DUN semasa bersama Barisan Nasional pada tahun 1974 dan kemudian sekali lagi memenangi satu kerusi DUN iaitu di Bukit Katil pada PRU-13 bersama Pakatan Rakyat. Itulah saja yang PAS pernah capai sebelum ini.

Selepas Maghrib saya masih di BGU Masjid Tanah. Keadaan menjadi semakin mendebarkan apabila catatan undi yang telah dikira dan diperolehi oleh Mas Ermieyati di Masjid Tanah semakin jauh mencanak meninggalkan calon-calon lain.


Ustaz Mad Cina antara yang turut berada di Pusat Penjumlahan Undi Parlimen Jasin di Politeknik Merlimau dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Zulkifli


 

Saya menghubungi kekanda saya Farid Samiun atau yang biasa menggunakan nama Pena Abu Anas yang bertugas sebagai petugas media calon bagi Jasin mengiringi Tuan Guru Zulkifli Ismail untuk mendapatkan perkembangan terkini pengiraan undi di Jasin.

Saya katakan padanya malam itu jika ada rezeki PAS menang di kedua-dua tempat iaitu di Tangga Batu dan Jasin, saya akan berada di pusat penjumlahan undi bagi Tangga Batu dan saya cadangkan beliau membuat liputan khas untuk Tuan Guru Zulkifli di pusat penjumlahan undi di Jasin kerana beliau memang sudah berada di sana.


Tuan Guru Zulkifli sebak sepanjang perjalanan ke Pejabat PAS Semabok selepas diumumkan menang kerusi Parlimen Jasin


 

Masa itu hati saya kuat kata yang PAS akan dapat kerusi sekurang-kurangnya satu. Namun sebagai ahli PAS Melaka yang jarang menang ini saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana sudah biasa pun sebelum ini kita rasa boleh menang tetapi tidak menang juga.

Biasa kita tengok dengan isu yang besar dan jumlah yang datang mendengar ceramah yang sangat besar tetapi akhirnya PAS kalah juga. Itu yang biasa kita lalui sebelum ini. Jadi saya tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi walaupun riak-riak kemenangan itu memang sudah ada.

Kemudian saya tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Sukan Serbaguna bersebelahan Stadium Hang Jebat. Saya lihat Haji Bakri Jamaluddin dan pimpinan-pimpinan PAS Kawasan Tangga Batu sudah ada di situ.

Lama juga kami menunggu keputusan rasmi dikeluarkan. Kalau tidak silap saya lebih kurang jam 10 malam, Haji Bakri dipanggil naik ke atas pentas dan dengan rasminya beliau bergelar Yang Berhormat. Di situ juga kami dapat perkhabaran Tuan Guru Zulkifli sudah disahkan menang. Kemenangan Mas Ermieyati pula sudah disahkan lebih awal.

Sebaik Haji Bakri turun dari pentas saya memeluk beliau dan saya kata padanya ini adalah kurnian Allah SWT atas kesabarannya selama ini berhadapan dengan pelbagai kerenah dan mehnah manusia. Kami yang pernah bekerja di bawah beliau sahaja yang tahu semua kisah.

Selepas keputusan diumumkan penyokong-penyokong Perikatan Nasional terus membacakan doa wehdah secara beramai-ramai. Saya mengambil video peristiwa tersebut. Meremang bulu roma saya dan menitis air mata saya mendengar laungan doa wehdah yang penuh bersemangat.


Bacaan doa wehdah di lokasi pengumuman kemenangan Parlimen Tangga Batu di Dewan Serbaguna sebelah Stadium Hang Jebat


 

Selepas pengumuman kami semua bergerak untuk berkumpul di pejabat PAS negeri di Semabok. Apabila kami sampai, rombongan Tuan Guru Zulkifli belum lagi sampai dari Jasin. Lebih kurang sejam selepas itu barulah mereka sampai.

Di tangga bangunan Pejabat PAS Semabok Tuan Guru Zulkifli menyampaikan ucapannya sambil disaksikan oleh para penyokong yang telah menunggu lebih awal. Kemudian Haji Bakri pula berucap.

Paling saya terharu apabila Haji Bakri dalam ucapannya menyebut dan menghargai peranan Jabatan Penerangan PAS Melaka dalam PRU itu. Jabatan ini beliau sendiri yang tubuhkan semasa beliau menjadi Ketua Penerangan PAS Melaka pada sesi lepas.


Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin tiba di Pejabat Perhubungan PAS Semabok dan menyampaikan ucapan ringkas di hadapan penyokong.


 

Kemudian Tuan Guru Zulkifli bersama rombongannya diikuti oleh Haji Bakri naik ke tingkat atas bangunan. Ketika seorang demi seorang masuk ke dalam bangunan pejabat itu tiba-tiba satu suara memanggil saya. Dia adalah kekanda saya Farid.

Apabila dia panggil saya, saya terus meluru kepadanya dan memeluknya erat sambil saya kata “Kita menang, Allahuakbar” bersama derai tangis dan linangan air mata kegembiraan.

Kami rasa cukup bersyukur dan puas atas segala susah payah kami mengoperasikan team media dalam keadaan serba kekurangan dan segala mehnah dan tribulasi, dan hari ini kami nampak hasilnya.

Saya sudah mengimpikan sekian lama saat-saat ini. Dan saya sangat bimbang jika pada waktu itu saya berhalangan untuk berada di situ. Apapun saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana mengizinkan saya untuk berada di dalam dewan di mana pengisytiharan tersebut dibuat pada malam itu.

Sekurang-kurangnya kalau saya panjang umur, bila saya sudah tua nanti, saya boleh beritahu pada generasi akan datang bahawa pada malam itu saya ada di dalam dewan itu sebagai saksi mata dan saksi hidup sebuah kejayaan yang gemilang dan bersejarah.

𝗣𝗲𝗻𝘂𝗹𝗶𝘀 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗘𝗱𝗶𝘁𝗼𝗿 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗯𝗮𝗴𝗶 𝗣𝗼𝗿𝘁𝗮𝗹 𝗕𝗲𝗿𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗔𝗦 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗕𝗲𝗿𝗶𝘁𝗮 𝗝𝗮𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗔𝗦 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH