Home Melaka

Rencana | Hikmah keputusan PRU-15 telanjangkan pemimpin hipokrit, khianat

1931
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULIS percaya ramai lagi di antara penyokong Perikatan Nasional-PAS, yang masih bersedih di atas kegagalan kita untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15. Namun kita mesti ingat bahawa tidak ada satu pun yang Allah SWT jadikan itu sia-sia.

Dan seperti yang kita tahu bahawa keputusan PRU-15 menunjukkan Perikatan Nasional menang 73 kerusi, PH -82, BN-30, GPS-23, GRS-6, Warisan-3, PBM-1, KDM-1 dan bebas-2. Ini menjadikan tidak ada satu parti gabungan pun yang boleh membentuk kerajaan dengan BN menjadi king maker.

Kadang-kadang kita kita terfikir mengapakah Allah SWT tidak permudahkan sahaja untuk kita mendapat 112 kerusi bagi membentuk kerajaan? Lebih-lebih lagi di saat PAS berjaya menjadi parti individu tertinggi sebanyak 49 kerusi.

 

Namun, tidakkah kita terfikir bahawa keputusan ini sebenarnya telah berjaya menelanjangkan dan menunjukkan siapa sebenarnya Anwar Ibrahim-PH-DAP dan Zahid Hamidi-Umno-BN?

Dengan keputusan di mana PH-DAP tidak mendapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sementara Umno-BN pula menjadi kuasa penentu dengan 30 kerusi yang mereka ada, maka Allah SWT tunjukkan kepada kita betapa hipokritnya Anwar-PH-DAP dalam perjuangan integriti dan anti rasuahnya.

Dengan keputusan itu juga kita dapat lihat bertapa benarlah Zahid-Umno-BN sanggup mengenepikan semangat persaudaraan Islam-Melayu demi semata-mata untuk mendapatkan jawatan.

Dengan keputusan ini jugalah Allah SWT tunjukkan sekelip mata hakikat pembohongan-pembohongan dan fitnah-fitnah yang dilakukan oleh kedua-dua PH-DAP dan Umno-BN.

Sepanjang kempen PRU-15 Anwar-PH-DAP menuduh Perikatan Nasional terutama sosok Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai memfitnah mereka ingin melakukan kerjasama dengan Zahid-Umno-BN. Habis segala serban dan jubah Tok Guru Hadi dipersendakan. Bermati-matian mereka menafikan hubungan sulit itu.



 

Begitu juga di pihak Zahid-Umno-BN. Mereka bermati-matian menafikan sebarang kerjasama yang mungkin akan berlaku dengan Anwar-PH-DAP.

Sedangkan hakikatnya maklumat tentang rancangan mereka ini telah diketahui lebih awal sebelum berlakunya PRU-15 lagi. Malah ia pernah cuba didedahkan oleh beberapa orang pemimpin Umno sendiri tetapi ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh Zahid sehingga ada pemimpin Umno yang dikenakan tindakan disiplin.

Sepanjang kempen PRU-15 dengan penuh hipokrit PH-DAP menghentam Umno-BN sebagai penyamun dan perompak yang harus dikalahkan. Tidak cukup dengan itu mereka cuba mengaitkan Perikatan Nasional-PAS dengan Umno-BN pula.

Mereka kata bahawa Perikatan Nasional dan BN akan membentuk kerajaan bersama-sama selepas PRU -15. Lalu untuk menambahkan keyakinan rakyat mereka menyatakan slogan undi Perikatan Nasional bererti mengundi BN.

Sama juga di pihak Umno-BN. Naratif mereka ialah sekiranya PH-DAP berkuasa maka DAP akan menguasai kerajaan dan orang Melayu akan tertindas. Sekian lamanya Umno dan PH-DAP menjadi musuh ketat. DAP dipandang jijik umpama jijiknya orang Islam melihat babi. Begitulah bencinya Umno-BN kepada DAP.

Seperti juga PH-DAP, Umno-BN juga memainkan naratif mengundi Perikatan Nasional umpama mengundi PH-DAP. Mereka menggunakan alasan bahawa PAS dan Bersatu yang pernah bekerjasama dengan DAP suatu masa dahulu sebagai sandaran kononnya Bersatu dan PAS akan bersama-sama dengan PH-DAP selepas PRU-15. Begitulah busuknya kempen mereka selama ini.

Dan hanya dua hari selepas selesai kempen PRU-15 yang Umno-BN mencerca PH-DAP habis-habisan, begitu juga dengan PH-DAP menghentam Umno-BN habis-habisan sebagai penyamun, tiba-tiba mereka berpeluk-pelukan.

 

Bayangkan pula sekiranya Perikatan Nasional tiba-tiba mendapat majoriti dan memenangi PRU-15 apa yang akan berlaku? Sudah pasti pada masa itu Umno-BN tanpa segan silu memohon untuk bersama-sama dengan kerajaan. Lebih-lebih lagi sebahagian daripada Ahli-ahli Parlimen Umno-BN yang bersih itu memang punya hubungan yang baik dengan Perikatan Nasional.

Jika ini yang berlaku maka pada masa itu kita takkan dapat membongkar kebenaran di sebalik hubungan sulit antara Anwar-PH-DAP dan Zahid-Umno-BN sebelum PRU-15. Maka mereka akan terus menerus meratibkan bahawa Perikatan Nasional-PAS dan pimpinannya seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai pembawa fitnah kepada mereka.

Manakala hikmah yang terbesar ialah terbukti Perikatan Nasional sebagai parti yang berprinsip tidak mahu bersekongkol dengan kluster mahkamah dan PH-DAP, tidak seperti Zahid-Umno-BN dan Anwar-PH-DAP yang sanggup gadai perjuangan demi kuasa.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 2 Disember 2022.

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH