Home Berita PAS Melaka

Politik roda kereta selamatkan survival politik Melayu-Islam

540
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

PAS konsisten dalam usaha untuk menyatupadukan dan menyelamatkan survival politik orang Melayu dan Muslim. Kerana itu PAS tetap dengan prinsip memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Bukan rahsia lagi bahawa hubungan antara Bersatu dan Umno memang sentiasa dingin. Malah akhir-akhir ini semakin tegang. Majoriti Mesyuarat Agung Umno Bahagian yang baru berlangsung minggu lepas memutuskan untuk tidak bersekutu dengan PN dan Bersatu. Malah Umno Terengganu selangkah ke hadapan memutuskan untuk tidak mahu bekerjasama dengan PAS juga!

PAS dilihat menangani isu ini dengan penuh kesabaran. Walau pun akhir-akhir ini PAS diasak agar memilih salah satu antara Umno atau Bersatu namun PAS tetap dengan pendirian asalnya ‘Memperkasa MN dan Mempertahan PN’.

Malah frasa ‘memperkasakan MN dan mempertahankan PN’ tetap diulang walau apa sekali pun desakan malah kritikan atau cacian yang dihamburkan kepada PAS kerana tidak mahu melepaskan salah satu saudaranya yang dikasihi ini samada Umno atau Bersatu.

Umpama tegarnya Saidina Bilal RA mengucapkan ‘Ahad, Ahad, Ahad’ setiap kali didesak untuk kembali kepada kufur ketika diseksa dengan diletakkan batu besar di atas perutnya, begitulah tegarnya PAS dengan prinsip ‘memperkasa MN, mempertahan PN’.

Bukan main dua kolam

Sebenarnya PAS memahami bahawa realiti politik pada masa ini memerlukan parti-parti politik Melayu ini untuk berada di dalam satu gabungan besar dan kukuh.

Dalam isu ini sudah tentu yang paling menarik ialah jawapan yang diberikan oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya tentang tanggapan sesetengah pihak bahawa PAS main dua kolam.

Kata Ustaz Azhar, PAS bukan main dua kolam tapi PAS mahu mencantumkan kolam-kolam ini menjadi kolam yang besar. Kredit untuk pak ustaz!

Dua hakikat parti-parti politik Melayu

Ada dua hakikat yang perlu diterima oleh semua parti-parti politik Melayu pada masa ini. Yang pertama, hakikat bahawa tidak ada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan bersendirian. Hakikat yang kedua ialah sangat perlu diwujudkan satu gabungan besar untuk memastikan parti-parti Melayu ini terus berkuasa di Malaysia.

Dua hakikat ini telah pun terbukti dengan sendiri di Negeri Melaka, Johor, Kedah, Perak dan tidak lupa di peringkat Persekutuan. Hanya selepas Bersatu meninggalkan kerajaan PH barulah Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan di sini. Sekurang-kurangnya itu jasa besar Bersatu pada PAS dan Umno yang harus dikenang.

Tanpa Bersatu, PAS tidak dapat membentuk kerajaan di Kedah walau pun PAS adalah parti individu terbesar dalam Dun Kedah. Tanpa Bersatu, Umno tidak dapat membentuk kerajaan di Perak walau pun mereka menjadi parti individu terbesar dalam Dun Perak.

Malah ketika krisis Perak baru-baru ini membuktikan sekali lagi bahawa Umno walau pun memiliki bilangan kerusi terbesar namun tidak boleh membentuk kerajaan kerana tidak cukup bilangan yang diperlukan.

Politik Melayu pasca PRU-14

Baiklah, itu adalah apa yang berlaku hasil daripada PRU14. Sebelum PRU14 situasinya berbeza. PAS Umno dan Bersatu pada masa itu masih bermusuh. Bersatu pada masa itu di dalam PH. Kerajaan Persekutuan, Perak, Kedah, Melaka, Johor yang dibentuk itu berdasarkan PRU14 yang situasinya berbeza.

Namun kita jangan lupa, kerajaan Sabah yang baru dibentuk tahun lepas adalah gambaran PRU-15. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan itu dalam situasi PAS, Umno dan Bersatu sudah pun berada dalam satu pakatan.

PRN Sabah ini adalah satu testimoni terhadap hubungan singkat antara PAS, Umno dan Bersatu dan ujian terhadap keberhasilan kesepakatan ini.

Dalam PRU14, BN bertanding di semua 60 kerusi Dun tetapi memenangi 29 daripadanya iaitu 48 peratus daripada kerusi yang ditandingi.

Sementara dalam PRN 2020 pula BN bertanding di 41 kerusi dan menang 14 daripadanya atau sekitar 34 peratus. PN bertanding di 29 kerusi dan memenangi 17 daripadanya atau pun 59 peratus.

Untuk mendapat majoriti mudah perlu mendapat 37 daripada 73 kerusi yang ada. Terbukti dalam PRN ini tidak ada parti yang mampu membentuk kerajaan bersendirian. Kerana itu terbentuklah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada pada hari ini.

Sebenarnya inilah hakikat politik pasca PRU14. Tidak ada parti yang mampu berkuasa bersendirian. Walau pun satu-satu parti itu mempunyai kerusi yang besar namun ia tetap tidak mampu untuk membentuk kerajaan berdasarkan keperluan undang-undang dan perlembagaan.

Sesuatu parti tidak boleh hanya berbangga dengan besarnya jumlah kerusi yang mereka ada tetapi tidak mampu memenuhi keperluan perlembagaan untuk membentuk kerajaan.

Politik roda kereta

Ia umpama roda kereta. Sesebuah kereta hanya boleh bergerak jika ada empat roda. Walau pun satu roda tidak cukup kereta itu tidak akan boleh bergerak. Jika kita memiliki tiga daripada empat roda itu dan kita berbangga kerana tiga daripada empat roda itu milik kita namun ia tetap tidak mampu menggerakkan kereta.

Samada kita pemilik tiga roda atau pun pemilik satu roda kita tetap memerlukan antara satu sama lain. Kita perlu saling hormat menghormati dan menghargai satu sama lain.

Itulah hakikat politik orang Melayu pasca PRU14. Samada kita mahu ‘membodohsombong’ dan mengambil risiko bahawa semua kita akan kalah dalam PRU15 kerana masing-masing tidak mahu beralah dan PH berkuasa semula, atau kita rendahkan ego, jadi survival politik Melayu akan selamat. Mana satu pilihan kita?

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 8 Januari 2021