Home Rencana PAS Pahang

Rencana | Ramadan yang dirindui

225
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

HANYA tinggal beberapa hari lagi, Syaaban akan meninggalkan kita, terasa cepatnya masa berlalu. Sebagai ganti, Allah SWT akan menggantikannya dengan bulan Ramadan yang dirindui, yang ditunggu-tunggu kedatangannya dengan penuh kegembiraan.

Di antara doa yang dicontohkan para salaf adalah apa yang diriwayatkan dari Yahya bin Abi Kathir yang bermaksud:

“Ya Allah, sampaikanlah aku hingga ke bulan Ramadan (Allahumma balighna Ramadan) dan sampaikanlah Ramadan kepadaku dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadan.” (Lathaif Al Ma’arif, m.s. 264)

Jadi untuk Ramadan kali ini, kita harus membuat persiapan! Seandainya mati sebelum datangnya Ramadan, kita mati di atas jalan yang mulia, insya-Allah.

Apa yang harus kita persiapkan untuk menghadapi Ramadan?

(1) Melahirkan di dalam hati mengenai pentingnya bulan Ramadan dan pengisiannya.

Jadi setiap kita hendaklah membersihkan diri dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dengan Taubat Nasuha seperti Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”

Inilah saatnya kita bertaubat dari kesilapan-kesilapan dan dosa yang lepas dengan sebenar-benar taubat. Mungkin kita sudah berkali-kali memohon ampun kepada Allah SWT, namun terjebak dan terjebak lagi dengan dosa dan maksiat.

Kita wajib belajar. Pelajari ilmu mana yang wajib, yang haram, yang sunat, yang makruh dan yang harus. Kita perlukan ilmu untuk tahu yang mana dosa dan yang mana pahala. Hanya orang yang takut kepada Allah SWT di kalangan hamba-hambanya adalah orang yang berilmu.

Belajar juga mengenai ilmu al-Quran, sebab al-Quran diturunkan di bulan Ramadan. Belajar juga tentang solat yang sempurna. Perlu diperbaiki kualiti solat kita, bukan solat sekadar ‘asal solat’ tanpa melihat kepada adab-adab melaksanakan solat yang sempurna mengikut solat Nabi SAW.

(2) Belajar bersihkan hati.

Kita harus bersihkan hati kita untuk menjadi orang yang bertakwa kerana bulan Ramadan itu madrasah bagi orang yang bertakwa. Madrasah Ramadan ini perlukan persiapan pada diri kita. Kita persiapkan diri kita untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT sehingga kita dapat melalui setiap ujian madrasah Ramadan dan lulus menjadi orang yang bertakwa.

Lihat Hadis Nabi SAW di bawah yang bermaksud:

“Berapa ramai orang berpuasa yang tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga sahaja.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah no 1690)

(3) Belajar menghubungi silaturrahim.

Terdapat sebuah hadis yang melarang kita daripada sifat dengki ini yang bermaksud:

“Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara.” [Riwayat al-Bukhari, no. Hadis 5612]

Jadi jangan diputuskan hubungan kerabat di antara kita terutama hubungan adik beradik. Perbaiki hubungan dan saling memaafkan. Siapa yang tidak pernah berbuat salah? Tidak ada! Menjaga silaturrahim adalah tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah SWT.

(4) Belajar segera membayar hutang puasa.

Kalau sampai sekarang belum habis bayar hutang puasa, kena bayar sebelum datangnya Ramadan.

(5) Belajar banyakkan bacaan Quran.

Sesiapa yang tidak latih baca dari awal, sampai Ramadan, baca dua muka surat pun sudah rasa lelah. Jadi biasakan baca dari sekarang.

(6) Belajar menghidupkan malam kita dengan ibadah dan tahajjud.

Jadi mulai dari sekarang, perlahan-lahan menghidupkan malam-malam kita dengan solat malam dan qiamullail selepas bangun dari tidur. Allah SWT akan sediakan ganjaran besar untuk sesiapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan nanti sebagaimana hadis Nabi SAW di bawah yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendirikan (malam di bulan) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap (ganjaran Allah), akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari)

(7) Belajar banyakkan berdoa.

Kerana bulan Ramadan, bulan berdoa.

“Ibnu Hajar juga menjelaskan dengan berkata, “Doa dan istighfar di waktu sahur mudah dikabulkan.” (Fath Al-Bari, 3:32)

(8) Belajar iktikaf.

Latih diri dengan duduk antara waktu maghrib dan isyak di masjid tanpa balik ke rumah. Dan di waktu subuh duduk di masjid hingga waktu syuruk tanpa balik ke rumah, bakikan sedikit (dalam 12 minit) untuk mendirikan solat sunat dhuha atau yang lain-lain untuk mendapatkan pahala haji dan umrah.

(9) Belajar puasa sunat (sunnah)

Alhamdulillah, sekarang kalian belajar puasa sunat Syaaban. Nabi SAW sangat banyak berpuasa di bulan ini. Rasulullah SAW pernah berpuasa 30 hari penuh di bulan Syaaban untuk mempersiapkan diri memasuki bulan suci Ramadan. Puasa Syaaban merupakan salah satu puasa sunat yang utama kerana di bulan inilah amalan-amalan baik diangkat kepada Allah SWT.

(10) Belajar beri makan orang berpuasa.

Rasul kita SAW teladan terbaik bagi kita. Beliau adalah orang yang paling dermawan, dan kedermawanan beliau lebih dahsyat lagi di bulan Ramadan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA yang bermaksud:

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari, no.6)

(11) Umrah Ramadan.

Umrah Ramadan pahalanya seperti haji bersama Rasulullah SAW. Sekarang haji sangat lama untuk menunggu gilirannya, jadi daftarlah untuk umrah Ramadan. Siapkan diri untuk umrah Ramadan.

(12) Belajar meninggalkan jamuan makan.

Masya-Allah, jarakkan waktu makan, dan hindarkan menghadiri jamuan makan. Jangan jadikan bulan Ramadan bulan pesta makanan tetapi jadikan bulan Ramadan bulan pesta ibadah.

Kesimpulan

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.”

Alhamdulillah, semoga kita akan sentiasa istiqamah dalam menegakkan kebaikan dan menasihati agar semua orang menjauhi kemungkaran. Di samping itu kita sentiasa bersemangat untuk melengkapkan diri kita dengan ilmu agama dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunnah yang sentiasa di lakukan oleh Rasulullah SAW.

Wallahu a‘lam.

26 Mac 2022 (23 Syaaban 1443H)