Home Melaka

Rencana | Rafizi : Entahlah tak tahu di mana silapnya…

393
SHARE

Oleh IBNU JANIE

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli ini bukan orang ‘tak sekolah’. Latar belakang akademik dan kerjaya beliau sebelum melibatkan diri sepenuh masa dalam politik cukup hebat sebenarnya.

Beliau lulusan luar negara dan kerjaya beliau di dalam bidang pengurusan korporat memang cemerlang. Tetapi… entahlah… tidak tahu di mana silapnya dan siapa yang salah ‘ku tak tahu’.

Seingat penulis ada beberapa kali juga penulis menulis tentang beliau. Jika tidak silap, yang terakhir adalah bersempena beliau mengumumkan persaraan beliau dari dunia politik tidak lama dulu.

Dan setiap kali bercakap tentang Rafizi, penulis pasti tidak akan lupa tentang ramalan badan penyelidikannya, Invoke, yang tersasar dalam membuat ramalan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lepas yang meramalkan bahawa PAS akan dapat kosong kerusi di Kelantan.

 

Isu tentang ramalan ini adalah yang paling ikonik melibatkan Rafizi bagi penulis secara peribadi. Entah mengapa, bukan sahaja ramalan itu tersasar, bahkan terbalik daripada ramalan.

Dan lebih menambah derita Rafizi apabila Pakatan Harapan (PH) pula yang mendapat kosong kerusi, bukan sahaja di Kelantan malah berjangkit hingga ke Terengganu!

Apabila PAS bukan sahaja menang, malah menang majoriti dua pertiga dalam DUN Kelantan maka itu bukan tersasar, itu terbalik lintang pukang. Benarkah penyelidikan dibuat atau temberang sahaja?

Baru-baru ini dalam satu ceramah Rafizi menghentam PAS ‘kaw-kaw’! Kata Rafizi PAS sekarang tidak berani membuat ceramah dan himpunan besar kerana bimbang tiada orang datang. Dan kata Rafizi lagi, jika ada pun PAS akan membuat perhimpunan dengan kerahan dan menggunakan jentera kerajaan supaya ramai orang datang.



Kasihan Rafizi… Dia menunjukkan kebodohannya dengan bercakap tanpa fakta, sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh sosok bernama Rafizi ini jika mengambil kira latar belakang beliau.

Hakikatnya, dalam dua bulan yang lepas PAS baru sahaja selesai mengadakan siri pelancaran jentera pilihan raya peringkat negeri-negeri. Di negeri penulis, Negeri Melaka yang kecil ini pun PAS berjaya membuat pelancaran dengan dihadiri lautan manusia! Sedangkan di Melaka PAS adalah pembangkang. Celah mana jentera kerajaan yang PAS gunakan?

Kalau ada pun kakitangan KASA, KETSA dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) di Melaka berapa kerat sangat. Jika sekali pun ada surat arahan kementerian untuk mereka hadir pastilah sudah sampai ke tangan Rafizi. Tak mungkin dalam kementerian-kementerian ini tidak ada penyokong PH.

Malah di Sabah pun himpunan ini berjaya mengumpulkan ramai aktivis PAS. Itu belum lagi di Kelantan dan Terengganu. Himpunan Jentera PRU di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat baru-baru ini Rafizi boleh rujuk videonya.

Di negeri-negeri ini PAS memang majoriti rakyatnya penyokong PAS. Tak perlu nak kerah kakitangan dan jentera kerajaan pun.

Rafizi nampaknya bercakap tanpa buat ‘research’. Tak sepadan dengan diri beliau yang mengasas dan mengepalai Invoke, sebuah badan penyelidikan yang tersohor itu.

Cuba kita ingat semula, yang rakus menggunakan jentera kerajaan semasa berkuasa ialah PH. Ingat lagi tak apabila program-program rasmi kerajaan berbentuk ekspo jabatan kerajaan tiba-tiba berlaku elok-elok dalam tempoh sesuatu pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14. Kata pimpinan PH masa itu ia telah dirancang lama. Satu kebetulan yang terindah!

Ingat tak bagaimana calon PH, Anwar Ibrahim masuk ke kem tentera di Port Dickson dengan menumpang kenderaan rasmi Menteri Pertahanan ketika itu dan memberi ucapan di hadapan bekas tentera ketika PRK Port Dickson?

Ingat lagi tak bagaimana seorang timbalan menteri Pusat ketika itu meminjam beberapa buah kenderaan pacuan empat roda sebuah jabatan dan menggunakannya dengan menampal sticker PH untuk menutup logo asal jabatan?

Malah perkara-perkara ini tercatat dalam laporan BERSIH, sebuah NGO pemantau pilihan raya pro-PH. Boleh Google di internet.

Semasa PKR ditubuhkan PAS sudah 50 tahun bergerak di bumi Malaysia ini dan melalui jatuh bangun. Ramai atau sedikit program tetap jalan.

PAS lama jadi pembangkang dan tidak perlu guna jentera kerajaan atau sedia makanan dan kenderaan pun untuk tarik orang ramai hadir ke perhimpunannya. Dan pada ketika ini perhimpunan PAS memang mendapat sambutan ramai.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 19-22 September 2022

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH