Home Melaka

Rencana| PRN Melaka : PN dan BN perlu hantar calon bersih berintegriti

115
SHARE

Oleh IBNU JANIE

WALAUPUN kita tahu bahawa rakyat menyesal berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan DAP selama 22 bulan, namun itu belum cukup kuat untuk membuatkan pengundi Melayu memangkah calon Melayu samada daripada BN atau PN pada kali ini.

Suasana sekarang ini sangat berbeza daripada zaman sebelum berlakunya peristiwa jatuhnya kerajaan BN yang telah memerintah Malaysia semenjak Merdeka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lepas.

Sebelum zaman itu memang wujud prinsip status quo di dalam corak pengundian oleh rakyat Malaysia terutama dalam kalangan pengundi Melayu. Pada masa itu ramai yang mengundi untuk mengekalkan apa yang ada kerana mereka bimbang akan berlaku huru-hara jika berlaku perubahan dalam kerajaan.

Sungguh pun begitu, perubahan kerajaan pada PRU-14 membuktikan tiada huru-hara berlaku seperti yang sering dimomok-momokkan oleh rejim lama.

Namun pemerintahan PH banyak melakukan tindakan-tindakan yang melukakan hati orang Melayu. Itu yang orang Melayu marah.

Pada PRN Melaka kali ini rakyat sudah berada dalam satu fasa di mana mereka tahu kuasa dan hak mereka untuk menukar kerajaan tanpa rasa pelik atau serba salah.

Untuk menang pilihan raya dengan strategi merangka manifesto yang ‘cantik’ mungkin kurang berkesan pada ketika ini. Semenjak PH ‘mengencing’ rakyat dengan mengkhianati manifesto mereka sendiri rakyat sudah kurang percaya dengan dokumen ini.

Dan oleh kerana tidak wujud lagi mana-mana parti yang memiliki kelebihan status quo, penulis melihat bahawa faktor calon akan memberikan kelebihan utama kepada sesebuah parti politik yang bertanding.

Penulis melihat bahawa rakyat mahu melihat calon-calon yang bersih di samping tahap kecerdikan dan IQ mereka. Calon-calon yang bersih ini bukan sahaja perlu disahkan bersih namun mereka juga perlu ‘dilihat bersih’.

Kita boleh kata seseorang calon itu bersih dengan hanya menyatakan bahawa dia tidak pernah didakwa atau dia telah didapati tidak bersalah oleh mahkamah sekali pun. Namun persepsi sebenar rakyat terhadap seseorang calon itu sebenarnya lebih memainkan peranan.

Seseorang yang dilihat memiliki kekayaan luar biasa selepas menjadi orang politik parti pemerintah mempunyai potensi untuk dipandang rakyat sebagai sebagai koruptor. Walau pun mungkin dia tidak korup, tetapi dia akan ‘dilihat korup’ dan tidak bersih’ oleh rakyat. Ini persepsi yang sukar dielakkan.

Parti-parti politik Melayu pula jangan menjadikan frasa ‘demi menyelamatkan kuasa politik orang Melayu’ sebagai hamba tebusan. Jangan buat orang Melayu serba salah terpaksa mengundi parti-parti Melayu ini walau pun calon yang dipilih korup dan jahat semata-mata dengan menakut-nakutkan mereka bahawa Melayu akan hilang kuasa jika mereka tidak diundi.

Takut-takut nanti frasa ‘mempertahankan politik Melayu’ dah tak laku lagi kepada pengundi Melayu. Takut-takut nanti orang Melayu dah bosan dan mereka akan kata “DAP pun DAPlah! Bosan dengan perangai pemimpin Melayu!”. Jangan sampai ke peringkat ini!

Budaya politik korup; menyeleweng; mengambil keuntungan peribadi daripada projek-projek kerajaan; mengkayakan diri dan rakan-rakan semasa berkuasa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima lagi pada masa sekarang.

Rakyat pada masa sekarang bukan rakyat yang bodoh. Mereka bukan seperti dulu-dulu yang buta-buta percaya pada parti pemerintah. Jadi, BN dan PN tolong pastikan calon-calon kali ini adalah bersih dan dilihat bersih.

Penulis sekadar menasihatkan agar pisang tidak berbuah lapan kali. Nanti menyesal tidak berguna. Adakah kita tak serik hilang kuasa? Atau nak tunggu sehingga bangsa DAP diangkat oleh orang-orang Melayu sendiri menjadi Perdana Menteri baru nak insaf?

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.