Oleh IBNU JANIE
SEKONYONG-konyong pemimpin PH-BN yang dahulunya lantang memperjuangkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat kini sudah berubah arah tidak membenarkan pengeluaran ini setelah mereka berkuasa.
Pada masa kerajaan PN-BN di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudiannya Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin-pemimpin PN dan sebahagian BN yang ada dalam kerajaan cuba mempertahankan agar pengeluaran dibuat secara bersasar.
Namun suara mereka yang mempertahankan pengeluaran secara bersasar ini tenggelam dipukul suara-suara politikus-politikus populis dari PH dan sebahagian pemimpin BN yang tidak berada dalam kerajaan. Rakyat pada masa itu sudah pasti akan menyanjung mereka yang memperjuangkan pengeluaran tanpa syarat ini.
Pada masa itu penulis pernah menulis satu rencana tentang perkara ini yang disiarkan di Harakah cetak dan Harakahdaily. Dalam rencana itu penulis menyarankan agar pengeluaran wang KSWP dilakukan secara bersasar bagi mengelakkan ia merugikan sesetengah pencarum yang tidak terjejas. Teruk penulis dihentam di ruangan komen ketika itu!
Bagi penulis adalah tidak wajar pengeluaran KWSP dibuat oleh semua pencarum. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa sesetengah pencarum mempunyai sikap tidak cermat terhadap penggunaan wang. Mereka tidak terjejas tetapi mereka tetap mahu mengeluarkan wang mereka untuk berbelanja sakan.
Ini bukan soal duit itu duit siapa. Memang duit itu adalah duit pencarum. Namun kita harus tahu bahawa falsafah di sebalik pewujudan KWSP ini. Ia adalah bagi memastikan setiap golongan pekerja mempunyai simpanan semasa mereka bersara.
Jika hendak dikira duit itu adalah duit seseorang pekerja pekerja itu, maka sepatutnya mereka boleh mengeluarkan wang KWSP mereka pada bila-bila masa sahaja. Atau tidak perlu wujudkan KWSP. Biarkan sahaja rakyat menabung sendiri. Bukankah seseorang itu tahu bahawa mereka memerlukan wang apabila mereka sudah bersara nanti?
Namun kerajaan sudah mengkaji semua itu. Ada sesetengah rakyat yang tidak mempunyai kesedaran dan disiplin untuk mengumpul wang bagi persediaan hari tua mereka. Kerana itu kerajaan mewujudkan ‘simpanan paksa’ ini secara sistematik. Demi untuk kebaikan setiap rakyat.
Sebenarnya pencarum yang sibuk mendesak pengeluaran tanpa syarat adalah dalam kalangan mereka yang tidak terjejas tetapi mereka mahu mengeluarkan wang KWSP untuk berbelanja lebih. Mereka yang terjejas sudah tentu tidak bising. Ini adalah kerana mereka memang akan dapat mengeluarkan wang mereka.
Semasa Covid-19 dahulu sebenarnya ada banyak sektor-sektor yang tidak terjejas antaranya kakitangan kerajaan; syarikat-syarikat GLC; syarikat berasaskan kesihatan; pengeluar makanan; dan beberapa sektor lagi. Malah ada di antara sektor ini mendapat durian runtuh akibat dari bencana ini. Jadi bukan semua perlu mengeluarkan wang KWSP mereka.
Tidak timbul soal dahulu situasi memerlukan tetapi sekarang tidak lagi. Ini adalah kerana baik pada masa dahulu atau sekarang memang wujud golongan yang terkesan dan yang tidak terkesan dengan Covid-19 ini.
Namun dahulu mereka sewenang-wenangnya mendesak kerajaan agar membenarkan kepada semua untuk mengeluarkan. Jika pada masa kini kerajaan tidak membenarkan pengeluaran pada mereka yang masih terjejas itu adalah sangat tidak adil.
Ada yang bertanya mengapa pemimpin-pemimpin PN yang semasa menjadi kerajaan dahulu sibuk menghalang pencarum untuk mengeluarkan wang mereka, tetapi kini sibuk pula mendesak kerajaan agar memberi kebenaran?
Pemimpin-pemimpin PN bukan u-turn. Mereka cuma menyindir sikap pemimpin-pemimpin PH-BN yang dahulu sibuk mendesak kerajaan memberi kebenaran untuk perkara ini tetapi setelah menjadi kerajaan mereka pula yang garang menghalangnya.
Alasan-alasan yang mereka beri pula sama dengan alasan-alasan yang diberikan oleh pemimpin PN dahulu. Antaranya untuk memastikan para pencarum mempunyai simpanan pada hari tua nanti.
Malangnya sudah terlewat untuk pemimpin PH-BN sedar rakyat sudah hilang banyak tabungan mereka dalam KWSP. Kebanyakan pencarum sudah tidak mempunyai wang caruman yang banyak untuk dibawa ke hari tua kerana ia sudah dikeluarkan dahulu semasa kerajaan PN-BN didesak untuk memberi kebenaran.
Kerana mahu menjadi popular di mata rakyat pemimpin PH dan BN sanggup mendesak sesuatu yang akhirnya menjahanamkan masa depan pencarum. Kini sudah sangat terlambat untuk pemimpin PH-BN membetulkan keadaan.
Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 24 Februari 2023
Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.
Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.
Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.
Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.
Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.
JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH