Home Melaka

Rencana | Politik Malaysia 2021, drama politik menggusarkan rakyat

531
SHARE

 

 

Oleh IBNU JANIE

TIDAK dapat dinafikan semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 pada tahun 2018 politik Malaysia memang tidak pernah tidak berkocak dari semasa ke semasa biar pun berdepan dengan bahaya Covid-19.

Sekiranya tahun 2018 dikejutkan dengan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN); tahun 2019 kita dikejutkan dengan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji; tahun 2020 kita dikejutkan dengan runtuhnya kerajaan PH;

Sementara tahun 2021 babak-babak cemas politik negara berterusan dengan pergolakan dalam kerajaan Perikatan Nasional. Drama-drama politik penuh aksi dan mencemaskan ini bersambung-sambung umpama sekuel filem aksi ‘Die Hard’.

Tahun 2021 memang diwarnai dengan banyak detik-detik cemas hidup dan mati kerajaan yang dibina pada awal tahun 2020 ini oleh parti-parti yang sebelum ini sebenarnya bermusuhan. Seperti lirik lagu Ziana Zain- Kemelut Di Muara Kasih: ‘Kita bagaikan pertaruhan, pada yang menyaksikan jauh manakah kita bertahan’.

Walau pun bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan pada tahun 2020, dalaman Umno-BN dilihat terpecah dua dengan satu puak mesra Perikatan Nasional dan satu puak lagi menjurus kepada pemisahan selepas pembentukan kerajaan itu.

Di samping berdepan ketidakstabilan politik, kerajaan Perikatan Nasional juga diancam gelombang ketiga Covid-19 sehingga pada 10 Mei kerajaan terpaksa mengumumkan perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei hingga 27 Jun.

Pada 9 Jun beberapa pemimpin politik negara termasuk dari pihak kerajaan mahupun pembangkang mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendesak agar darurat ditamatkan. Ia juga antara usaha BN menuntut jawatan Perdana Menteri (PM) daripada Perikatan Nasional.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan kemungkinan Dewan Rakyat mungkin terbubar sekiranya krisis ini bertemu jalan buntu. Ini akan menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sedangkan wabak Covid-19 semakin mengganas.

Sebagai usaha untuk meredakan tekanan daripada Umno, pada 7 Julai, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) di samping kekal memegang jawatannya sebagai Menteri Pertahanan.

Pada 8 Julai BN mengisytiharkan hilang sokongan terhadap PM Muhyiddin dan mendesak beliau untuk melepaskan jawatan. Tindakan ini dikatakan sebagai tindak balas terhadap usaha Muhyiddin menyelamatkan kerajaannya dengan melantik Ismail Sabri sebagai TPM. Kerana pelantikan ini bukan yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan Umno.

Namun pengisytiharan ini tidak meliputi semua Ahli Parlimen BN kerana sebahagian besar mereka masih lagi menyokong PM sedia ada.

Pada 1 Ogos darurat ditamatkan di sebalik desakan dan tuduhan bahawa darurat ini sekadar untuk mempertahankan kuasa Muhyiddin semata-mata. Tindakan ini dibimbangi menjurus kepada ketidakstabilan politik. Ada kemungkinan Umno akan menggunakan strategi yang sama di Perak untuk melengserkan Muhyiddin di Parlimen.

Sebagai meningkatkan tekanan kepada Muhyiddin, pada 3 Ogos, Shamsul Anuar Nasarah melepaskan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, sementara Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad pula melepaskan jawatan menteri pada 6 Ogos.

Kemudian pada 16 Ogos, Muhyiddin akhirnya melepaskan jawatan sebagai PM ke-8. Sementara menunggu pelantikan PM baharu, beliau dilantik sebagai PM Caretaker.

Demi meneruskan pentadbiran dan mengelakkan PRU daripada berlaku, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai PM Malaysia ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong pada 20 Ogos. Pelantikan beliau mendapat sokongan majoriti mudah 114 Ahli Parlimen.

Kabinet Ismail Sabri kemudiannya bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan utama kepada reformasi parlimen dan pemerintahan dengan turut sama disepakati parti-parti pembangkang utama yang menandatangani satu MoU pada 13 September. Antara kandungan MoU itu ialah bersetuju untuk tidak menuntut PRU sebelum 31 Julai 2022.

Tidak cukup dengan babak cemas di peringkat Pusat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara mengejut pada 4 Oktober 2021 apabila empat Ahli DUN kerajaan menarik sokongan pada Ketua Menteri. Ia menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada 20 November.

Kejayaan Umno-BN menguasai PRN Melaka secara solo dilihat bagaikan memberi satu isyarat baharu tentang masa depan hubungan politik antara Umno dan PAS, juga antara Umno dan Perikatan Nasional di peringkat Pusat. Ia membawa kemungkinan tiada kerjasama lagi antara BN dan Perikatan Nasional pada PRU15.

Penulis ada Editor Berita PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 3 Januari 2022