Home Berita PAS Pahang

Kuala Kedah hantar 55 sukarelawan bantu mangsa banjir di Bentong

138
SHARE

Oleh:  KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 5 Jan: PAS Kawasan Kuala Kedah telah menghantar seramai 55 orang sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kejadian banjir di sini pada 18 Disember lalu.

Delegasi diketuai Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kuala Kedah, Ustaz Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi bersama Naib Yang Dipertua (NYDP), Abd Basir Ahmad dan Setiausaha Kawasan, Rasidi Abd. Razak.

Turut serta sayap pemuda melalui ketuanya, Ustaz Majdi Husin dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Kuala Kedah, Noriza Saad.

Menurut Ustaz Dr. Ahmad Fakhruddin, beliau bersama para sukarelawan sangat teruja untuk membantu PAS Kawasan Bentong menyantuni mangsa-mangsa banjir di sini.

Ujar beliau, Bentong bukanlah lokasi utama tumpuan banjir seperti yang biasa terjadi di tempat-tempat lain saban tahun kerana landskap mukabumi yang berada di tanah tinggi dan secara geografinya tempat-tempat sebegini jarang berlaku banjir.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah itu juga berkata, pasukan kerja yang dibawa merangkumi pasukan dapur rakyat, cuci bersih dan penghantaran sumbangan.

Antara sumbangan yang dihulur berbentuk wang tunai, bahan makanan, pakaian, keperluan solat, selimut, bantal, toto, makanan bayi, daging mentah dan tulang serta air mineral dengan jumlah semua muatan di dalam lori seberat tiga tan.

Pada hari terakhir delegasi berada di Bentong, para sukarelawan telah turun ke beberapa lokasi sekitar DUN Sabai disertai YDP Bentong, Mohd Khairuddin Abdullah, dan TYDP Ustaz Ahmad Junaidi Ishak.

Antara lokasi dikunjungi dan diziarahi adalah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kg. Lengkong seramai 36 mangsa banjir, PPS Paya Pelantar seramai 22 mangsa, PPS Jambu Rias, 6 mangsa, PPS Rumah Murah Kg. Teroh seramai 66 mangsa dan sumbangan penutup di Kg. Chegar Medang, Benus.

Dalam perkongsian Dr. Ahmad ketika menyantuni mangsa-mangsa banjir, beliau menitip kata-kata semangat agar mereka semua dapat bersabar menghadapi musibah yang datang daripada Allah SWT.

“Jika kita bersabar insya Allah, Allah akan ganti harta benda kita dengan suatu pemberian yang lebih baik,” ujar beliau penuh harap.

PAS Kawasan Bentong melalui Khairuddin Abdullah, merakam ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAS Kuala Kedah di atas khidmat bantu sepanjang empat hari pasukan sukarelawan berkampung di Bilik Operasi Banjir Khidmat Malaysia Dar Abrar Bentong bermula 1 Januari 2022 lalu.