Home Berita PAS Melaka

Rencana : PH Yang Menjatuhkan Diri Sendiri

1806
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

Pada masa rencana ini ditulis masih belum ada apa-apa perkembangan tentang usaha untuk membentuk satu kerajaan baru untuk menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Namun kerajaan PH telah pun berkubur dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan pengumuman Bersatu keluar dari gabungan PH.

Mengulas tindakan ini, ahli parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani berkata “Saya pasti pengkhianat ini akan dihukum oleh rakyat yang telah diberi mandat.” Beliau berkata demikian di perkarangan kediaman Anwar Ibrahim pada Ahad malam lepas ketika spekulasi pembentukan kerajaan baru sedang bertiup kencang.

Sebenarnya perkara ini pernah berlaku selepas PRU12 (2008) di Perak. Dalam PRU12 yang berlaku pada 8 Mac 2008 itu Pakatan Rakyat (PR) Perak pada masa itu menang 31 kerusi berbanding 28 yang dimenangi oleh BN. Kerajaan PR Perak hanya bertahan 11 bulan sehingga Februari 2009. Pada masa itu bilangan Adun DAP melebihi PAS dan PKR. Bilangan Adun DAP 18 orang, PKR 9 dan PAS hanya 6 orang sahaja.

Sejak kecil lagi selalu sangat penulis dengar frasa ‘Melayu sesama Melayu bergaduh, yang untung bangsa DAP’. Memang pada masa itu kami orang-orang PAS sangat jelik mendengar kata-kata itu. Hujah kami ketika itu ialah jika di sesuatu kawasan pilihanraya calon Melayu UMNO berlawan dengan calon Melayu dari PAS yang menang tetap Melayu. Jadi di mana logiknya kenyataan “apabila UMNO dan PAS bergaduh yang untung bangsa DAP”?

Namun kejadian yang berlaku di Perak pada PRU12 itu sebenarnya menjadi contoh hidup kepada frasa itu tadi. Pada masa itu tiba-tiba DAP menjadi majoriti di dalam kerajaan PR yang dibentuk di Perak akibat PAS dan UMNO berseteru. Mujurlah undang-undang tubuh Negeri Perak ketika itu tidak membenarkan orang bukan Islam untuk menjadi Menteri Besar. Jika tidak sudah tentu kerajaan Negeri Perak pada ketika itu bukan sahaja majoritinya Adun bukan Melayu, malah exco dan Menteri Besarnya juga bukan Melayu.

Kita bukan bercakap soal rasis. Tapi kita boleh lihat bagaimana keangkuhan DAP apabila mendapat kuasa, segalanya mereka ingin kuasai.

Penulis ingat lagi, dalam tahun PRU12 (2008) itu juga PR dapat menakluk Kedah dan Pulau Pinang. Yang menariknya pada masa itu DAP mendapat hanya satu kerusi di DUN Kedah. Manakala PAS pula hanya mendapat satu kerusi di DUN Pulau Pinang.

Pada malam pengisytiharan kemenangan itu, Pesuruhjaya PAS Kedah ketika itu, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah mengumumkan komposisi Exco di mana DAP juga mendapat satu kerusi Exco Kedah. Itu penulis lihat dan dengar sendiri di telivisyen. Malangnya DAP enggan untuk melantik seorang ADUN PAS itu ke jawatan Exco Pulau Pinang menyebabkan Ustaz Azizan tidak jadi melantik Adun DAP itu ke jawatan Exco di Kedah.

Ini adalah contoh kebongkakan DAP bila mereka mendapat kuasa. Dan yang lucunya bukan hanya PAS yang diperlakukan begitu. Selepas PRU14, PAN yang merupakan adik angkat kesayangan DAP yang mendapat dua kerusi DUN tetap tidak mendapat walau satu pun kerusi Exco Pulau Pinang. Begitulah dahsyatnya kebongkakan DAP.

BN telah ‘mengkudeta’ kerajaan PR Perak pada Februari 2009 dengan suasana begitu tegang sekali. Dua orang adun PKR dan seorang Adun DAP telah berpaling tadah dan menyokong BN. Peristiwa Speaker DUN Perak diusung keluar bersama kerusi yang beliau duduk menjadi bualan hangat ketika itu.

Adakah rakyat Perak menghukum BN Perak kerana rampasan kuasa itu? Tidak. BN sebaliknya menang pada PRU13 dengan 31 kerusi berbanding PR yang mendapat 28 kerusi. Walau pun menang dengan majoriti tipis namun BN menang berbanding dengan kekalahan mereka pada PRU12.

Ini membuktikan bahawa rakyat Perak, terutama pengundi Melayu tidak menganggap bahawa tindakan kudeta BN Perak pada tahun 2009 itu sebagai sesuatu yang menodai demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat. Pada masa itu isu ketidakselesaan orang Melayu bertuankan DAP dipandang lebih besar berbanding dengan isu pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Lalu rakyat tidak menghukum BN dalam PRU13 itu.

Penulis sendiri tidak bersetuju dengan perampasan kerajaan seperti apa yang sedang berlaku sekarang ini. Namun kita melihat polisi-polisi yang sedang dilakukan oleh kerajaan PH sekarang ini sangat merugikan orang Melayu dan Islam. Sedangkan PRU15 pula masih jauh lagi.

Sikap kerajaan PH yang lunak dengan alumni Parti Komunis Malaya (PKM) contohnya telah mengguris hati rakyat Malaysia terutama orang-orang Melayu. Rakyat jadi runsing melihat alumni-alumni komunis ini boleh mengadakan pertemuan semula secara terbuka. Malah ada wakil rakyat DAP yang hadir dalam program itu tanpa rasa bersalah. Itu belum lagi dengan tindakan Peguam Negara baru-baru ini yang menbebaskan tahanan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Orang-orang Islam sudah hilang sabar dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan PH. Yang terbaru ialah isu pemindahan aset Tabung Haji iaitu rangkaian hotel TH yang dikatakan bermasalah dan tidak menguntungkan namun hasil carian maklumat mendapati hotel-hotel ini sebenarnya sudah bertahun-tahun mencatat keuntungan. Apa sudah jadi?

Penulis yakin rakyat terutama orang-orang Islam sekali-kali tidak akan menganggap apa yang berlaku ini sebagai pengkhianatan kepada demokrasi. Kekalahan besar PH dalam lima PRK yang terkini boleh menjadi sandaran yang rakyat mengaku tersilap memberi mandat kepada PH dalam PRU14.

Dan rakyat tidak akan menghukum parti-parti yang berusaha untuk menamatkan riwayat kerajaan PH ini. Itu tidak perlu risau. Malah penulis percaya dalam mana-mana pilihanraya pada masa akan datang mana-mana parti politik yang bekerjasama dengan DAP akan ditolak oleh pengundi-pengundi Melayu.

Yang PH perlu salahkan adalah diri mereka sendiri. Sudahlah menjadi kerajaan yang tidak cekap, tindakan mereka pula seolah-olah beraja di mata bersultan di hati dengan tidak menghormati sensitiviti rakyat. Rakyat telah membuktikan bahawa jika PH boleh ‘main gila’, rakyat juga boleh ‘naik hantu’.

Namun bagi penulis secara peribadi mengharapkan agar kemelut ini akan berakhir dengan pembubaran parlimen. Maka dengan itu Muafakat Nasional dapat membentuk kerajaan melalui pilihanraya dengan selesa. InsyaAllah.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka Dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini telah disiarkan di dalam Harakah 28 Februari 2020)