Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Perlu peruntukan besar bantu peniaga kecil bermula semula

111
SHARE
Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

BERDASARKAN Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mengandungi empat fasa Malaysia disasarkan untuk berada pada Fasa 3 menjelang September. Pada Fasa 3 ini indikatornya ialah 40 peratus rakyat dewasa sudah menerima dua dos vaksin.

Sementara Fasa 4 pula indikatornya ialah 60 peratus rakyat dewasa sudah menerima dua dos vaksin yang dijangka akan dicapai menjelang Oktober ini. Apabila Fasa 4 ini berjaya dicapai maka negara telah berjaya mencapai imuniti kelompok.

Pada Fasa 4 ini juga aktiviti ekonomi dijangka akan dibuka sepenuhnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian. Antara yang dibenarkan pada fasa ini ialah aktiviti sosial, rentas negeri dan pelancongan domestik dengan SOP ketat.

Insya-Allah, jika segalanya berjalan lancar negara kita sedikit demi sedikit akan melalui fasa-fasa ini hingga ke fasa akhir. Dengan ini sektor ekonomi akan dibuka secara berperingkat-peringkat. Banyak perniagaan yang sebelum ini tidak boleh beroperasi akan beroperasi semula.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Hasil tinjauan penulis terhadap rakan-rakan penulis sendiri yang berniaga mereka memang sangat mengalu-alukan pembukaan sektor ekonomi ini memandang sesetengah mereka sudah lama tidak berniaga dan tidak buka kedai.

Ramai rakan-rakan penulis yang terlibat dalam perniagaan sebagai peniaga kecil dan sederhana. Antara mereka yang menjual pakaian, makanan, barang-barang permainan, kedai gunting rambut dan sebagainya.

Memang sesetengah peniaga yang boleh menguasai kaedah perniagaan dalam talian, jadi mereka dapatlah mengatasi masalah ini dan tetap terus berniaga. Namun bagi mereka yang masih kekal dengan cara perniagaan konvensional tidak dapat berniaga.

Tidak boleh salahkan mereka juga. Penguasaan teknologi ini sesuatu yang mungkin mudah kepada sesetengah orang namun amat susah kepada sesetengah yang lain. Selain itu perniagaan perkhidmatan seperti menggunting rambut memang tidak boleh ‘didalamtaliankan’.

Sesetengah peniaga yang telah sekian lama tidak boleh berniaga mungkin berhadapan situasi peralatan, perabot atau stok jualan mereka yang rosak kerana ditinggalkan terlalu lama tidak beroperasi.

Wang daripada perniagaan yang mereka simpan selama berniaga kebanyakannya sudah habis dibelanjakan sepanjang PKP. Ramai di antara mereka yang mengeluh memikirkan bagaimana mereka mahu berniaga semula dalam keadaan kurang atau tiada modal langsung.

Rata-rata peniaga-peniaga sangat mengharapkan agar kerajaan dapat membantu mereka dengan menyediakan dana untuk menyambung semula aktiviti perniagaan mereka yang terhenti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan yang benar-benar memadai

Namun bantuan sekadar dalam bentuk saguhati yang hanya mampu meringankan beban mereka sahaja dilihat tidak benar-benar membantu mereka untuk beroperasi semula. Mereka mengharapkan bantuan yang sekurang-kurangnya membolehkan mereka berniaga semula.

Walau pun kerajaan tidak berkewajipan untuk memberikan bantuan sehingga mencukupi untuk memulakan perniagaan namun kerajaan harus melihat situasi pada hari ini adalah situasi yang kita panggil sebagai ‘special case’ di mana ramai antara peniaga ini seperti hilang segala-galanya ditelan gelombang Covid-19.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Kerajaan boleh memberikan bantuan dalam bentuk berkembar iaitu geran beserta pinjaman mudah. Contohnya kerajaan memberi bantuan kepada peniaga kecil sebanyak RM10 ribu dengan RM4 ribu dalam bentuk geran dan RM6 ribu lagi dalam bentuk pinjaman.

Penulis melihat bagi peniaga-peniaga mikro seperti peniaga-peniaga pasar malam, penjaja, peniaga gerai tepi jalan, nilai bantuan yang sesuai ialah sebanyak RM5 ribu. Jadi kerajaan boleh memberi bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM2 ribu dan pinjaman mudah sebanyak RM3 ribu.

Untuk peniaga-peniaga kecil seperti pekedai-pekedai atau sektor pembuatan bersaiz kecil penulis melihat kadar yang memadai ialah RM20 ribu dengan RM8 ribu dalam bentuk geran dan RM12 ribu lagi dalam bentuk pinjaman mudah.

Peniaga mikro dan kecil ini dari segi jumlahnya besar walau pun setiap satunya bersaiz kecil. Jadi walau pun sumbangan mereka secara individu adalah kecil namun secara kumulatif mereka mampu memberi kesan yang besar kepada ekonomi.

Apabila sektor perniagaan ini berjaya dihidupkan semula ia akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Bagi peniaga-peniaga kecil dan mikro contohnya ia dapat memberi peluang pekerjaan, sekurang-kurangnya kepada ahli keluarga sendiri.

Dengan memberi bantuan kepada peniaga-peniaga kecil ia sekali gus dapat merancakkan perniagaan-perniagaan besar seperti pengilang dan pemborong apabila peniaga-peniaga kecil ini mula membeli stok jualan daripada mereka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 30 Ogos 2021

 

Selain itu ia juga dapat menghasilkan pendapatan kepada pemilik-pemilik hartanah yang akan dapat menyewakan kedai-kedai mereka kepada peniaga-peniaga ini. Ia juga merancakkan perniagaan pengurus-pengurus acara berbentuk ekspo samada besar atau kecil seperti peniaga-peniaga pasar malam sehinggalah kepada ekspo-ekspo besar.

Akhirnya ia akan pulang semula kepada kerajaan dalam bentuk hasil cukai. Selain itu dengan merancakan perniagaan akan memulihkan semula sosio-ekonomi masyarakat sekali gus mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam mengeluarkan bantuan tunai kepada rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat Covid-19.

Ekonomi ini memang sifatnya terikat dengan kesan berantai yang akan sangkut menyangkut dan memberi kesan antara satu sama lain.

Bantuan ini juga wajar dilanjutkan untuk peniaga-peniaga bersaiz sederhana dengan geran dan pinjaman yang bersesuaian dengan saiz perniagaan mereka.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Kerajaan boleh menggerakkan agensi-agensinya seperti MARA, TEKUN, PUNB, SME Bank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk menyalurkan dana-dana ini kepada para usahawan.

Sebenarnya pembukaan semula sektor-sektor ekonomi ini akan memberi peluang besar kepada para peniaga untuk bangkit kembali. Namun tanpa bantuan daripada kerajaan, ramai peniaga yang tidak berkemampuan ini akan berputih mata tidak dapat merasai nikmat pembukaan semula ekonomi pasca Covid-19.

Tanpa bantuan untuk mereka bukan sahaja merugikan para peniaga, malah proses pemulihan akan menjadi lebih lambat berdasarkan kesan berantai tadi yang akhirnya akan terus membuatkan kerajaan masih terpaksa mengeluarkan bantuan tunai membantu rakyat yang terjejas dengan hasil kerajaan yang tetap berkurangan.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.