Home Melaka

Rencana | Peningkatan kadar faedah naikkan inflasi?

829
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PADA bulan ini (September) kadar dasar semalaman (OPR) naik lagi sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus, iaitu kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini. Kenaikan OPR telah menyebabkan kenaikan dalam kadar faedah pinjaman pengguna seperti pinjaman kenderaan rumah dan lain-lain lagi.

Jika kita meneliti di media-media sosial kita boleh membaca komen-komen orang ramai yang mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan kadar faedah di saat berlaku inflasi. Kata mereka, tidakkah dengan menaikkan kadar faedah akan meningkatkan inflasi yang ditanggung rakyat?

Sebenarnya ia adalah satu teknik biasa yang digunakan oleh ahli ekonomi untuk mengawal inflasi. Inflasi adalah kenaikan harga barang barang secara umum.

Antara sebab berlaku inflasi ialah apabila orang ramai mempunyai banyak wang dan mereka memilih untuk berbelanja dan kurang menyimpan di bank.

Pengeluar pula tidak dapat meningkatkan pengeluaran kerana bank tidak dapat memberi mereka pinjaman disebabkan kurangnya tabungan orang ramai. Akibatnya penawaran barang-barang berkurang di saat permintaan meningkat.

Dengan menaikkan kadar faedah ia akan menggalakkan lagi orang ramai untuk menyimpan sebahagian wang mereka di bank selain yang ingin mereka belanjakan. Perbelanjaan yang berlebihan dapat dikurangkan dan inflasi dapat diturunkan.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 7-9 Oktober 2022

 

Selain itu sekiranya inflasi meningkat dan bank tidak menaikkan kadar faedah ia akan menjadikan simpanan di bank yang sedia ada sesuatu yang merugikan orang ramai.

Katalah ada seorang individu yang mempunyai wang sebanyak RM1000. Dia ingin membeli sebuah televisyen yang juga berharga RM1000 pada masa itu.

Andaikan dia ingin menyimpan dahulu wangnya di bank untuk mendapat faedah sebanyak lima peratus bagi simpanan selama setahun. Ini bermakna selepas setahun wangnya akan menjadi RM1050. Selepas setahun dia boleh membeli televisyen itu dan mendapat keuntungan RM50 daripada simpanan.

Andaikan tiba-tiba inflasi pada hujung tahun itu meningkat pada kadar 10 peratus. Ini bermakna pada masa itu harga televisyen yang sama telah meningkat kepada RM1100. Jadi pada masa ini dia sudah tidak mampu lagi membeli televisyen tersebut kerana dia hanya mempunyai RM1050 sedangkan harga televisyen telah pun meningkat kepada RM1100

Kerana itulah kadar faedah mestilah sentiasa lebih tinggi daripada kadar inflasi. Jika tidak orang tidak akan menyimpan di dalam bank. Bayangkan dalam keadaan inflasi yang tinggi dan orang tidak lagi mahu menyimpan di bank ia akan memburukkan lagi inflasi.

Apabila kadar faedah ini dinaikkan untuk menggalakkan orang menyimpan, namun ia akan memberikan bebanan kepada para peminjam yang membeli kenderaan atau rumah dengan pinjaman bank. Tetapi ia tidak dapat dielakkan.

Ia sama halnya sekiranya kita ingin membantu memakmurkan pekebun sawit dengan menaikkan harga buah sawit, kita tidak dapat mengelakkan untuk terpaksa menjual minyak masak pada harga yang tinggi. Begitu juga dengan isu kadar faedah.

Selain itu dengan menaikan kadar faedah kita dapat mengawal kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (USD) yang sedang berlaku sekarang. Sehingga kini, Ringgit telah menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding USD sejak awal 2022.

Pada 14 September lepas Ringgit telah mencatat paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun berbanding USD sewaktu dibuka pada kadar 4.5200/5220 berbanding USD.

Kita tidak boleh membiarkan nilai tukaran kita berbanding USD jatuh lebih teruk lagi. Kejatuhan ini akan menyebabkan inflasi. Harga akan meningkat lagi apabila produk-produk import terutama berkaitan makanan naik harga akibat tukaran asing.

Kita perlu faham bahawa 80 peratus daripada perdagangan import export kita disebut dalam nilai USD. Contohnya jika kita mengimport produk dari India kita tidak menukar Ringgit dengan Rupee, tetapi kita menggunakan USD.

Dengan menaikkan kadar faedah kita dapat mengawal kemerosotan Ringgit berbanding USD sekaligus mengurangkan peningkatan inflasi keseluruhan. Malah Amerika Syarikat sendiri sudah beberapa kali menaikkan kadar faedahnya untuk mengukuhkan USD.

Kita harus ingat bahawa ekonomi kita berada dalam situasi inflasi yang tinggi sebenarnya akibat daripada krisis yang berpunca dari Covid-19. Krisis ini sama teruk dengan negara yang baru tamat perang. Usaha perlu dijalankan untuk mengawalnya jika tidak kita mungkin berhadapan dengan hiperinflasi yang ‘fatal’.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH