Home Minda Presiden

Tidak mengundi adalah mengundi juga, akibatnya menimpa bersama

120
SHARE

Minda Presiden PAS

[Bil: 58 / 2022]

TIDAK MENGUNDI ADALAH MENGUNDI JUGA, AKIBATNYA MENIMPA BERSAMA

Marilah kembali kepada al-Quran dan petunjuk Allah SWT yang mengatasi kemampuan akal manusia, termasuk kalangan mereka yang bertaraf pemimpin besar dan ilmuwan mahupun bertaraf ahli falsafah atau profesor bertaraf dunia atau bertaraf negara. Sekiranya mereka menyalahi petunjuk-Nya, maka mereka pasti akan tersesat. Firman Allah SWT:

﴿وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ٢٣ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ  أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ٢٤﴾

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad SAW), maka datangkanlah satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain daripada Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23); Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya terdiri dalam kalangan manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Al-Quran menegaskan bahawa setiap orang manusia yang berakal tetap mempunyai kewajipan di hadapan Allah SWT dalam kehidupan dunia yang menjadi ujian. Kemudian ditugaskan para malaikat untuk menulis amalannya, dan Allah itu Maha Mengetahui apa yang ada dalam hatinya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

 ﴿كَلَّا بَلْ تُكَذِّبُونَ بِالدِّينِ٩ وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ١٠ كِرَامًا كَاتِبِينَ١١ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ١٢﴾

“(Bukan hanya derhaka sahaja), bahkan kamu mendustakan hari pembalasan (Hari Kiamat). (9); Padahal, sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu). (10); Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). (11); Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan. (12)” (Surah al-Infitar: 9-12)

Para malaikat mengawasi manusia bukan sahaja dalam pekerjaan ibadat, bahkan semua pekerjaan dunia dan tingkah laku dalam perjalanan hidup sehingga sampai ajalnya. Sama ada perkataan, perbuatan dan kepercayaan dalam hatinya. Dalam perkara yang diwajibkan, diharamkan, termasuk juga yang diharuskan. Dalam semua hubungannya dengan Allah, dengan manusia, dirinya, keluarga, masyarakat dan segala benda yang digunakan, dilihat, didengar dan dirasai. Firman Allah:

﴿يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ٦ فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ٧ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ٨﴾

“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam kelompok, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) segala pekerjaan mereka. (6); Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya). (7); Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya) pula. (8)” (Surah al-Zalzalah: 6-8)

Ini menunjukkan bahawa setiap kepercayaan dan amalan akan dihisab pada Hari Kiamat nanti. Allah SWT menetapkan petunjuk bagi manusia dalam menghadapi cabaran hidup.

Petunjuk Allah SWT bukan sahaja melalui para rasul yang dilantik secara langsung daripada-Nya, malah dengan membawa kitab yang menjadi kalamullah kepada setiap umat dan pada setiap zaman sehingga rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT telah mewajibkan adanya kumpulan yang memelihara agama sehingga pada zaman tiada lagi para rasul ini. Perkara dinyatakan melalui firman-Nya:

﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat (kumpulan) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf (baik) dan mencegah daripada perkara yang munkar (haram); merekalah orang-orang yang berjaya dan selamat (dunia dan akhirat).” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Rasulullah SAW pula menetapkan setiap orang daripada umatnya tidak boleh berkecuali terhadap semua perkara yang berlaku di hadapannya, sama ada yang dilihat atau didengarinya. Hal ini sebagaimana sabda Baginda SAW:

‌مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ ‌مُنْكَرًا ‌فَلْيُغَيِّرْهُ ‌بِيَدِهِ، ‌فَإِنْ ‌لَمْ ‌يَسْتَطِعْ ‌فَبِلِسَانِهِ، ‌فَإِنْ ‌لَمْ ‌يَسْتَطِعْ ‌فَبِقَلْبِهِ، ‌وَذَلِكَ ‌أَضْعَفُ ‌الْإِيمَانِ.

“Sesiapa dalam kalangan kamu melihat perkara munkar (yang haram), maka hendaklah mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu mengubahnya, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka hendaklah membenci dengan hatinya dan membenci dengan hati ini adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim no. 49 dan Ahmad no. 11460)

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَا ‌مِنْ ‌نَبِيٍّ ‌بَعَثَهُ ‌اللهُ ‌فِي ‌أُمَّةٍ ‌قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ. 

“Tiada seorang nabi pun yang dilantik oleh Allah kepada umat sebelumku, melainkan ada dalam kalangan umatnya para pengikut yang setia serta para sahabat yang kuat berpegang dengan ajarannya dan mengikuti perintahnya. Kemudiannya, selepas nabi itu wafat, terdapat kalangan pengikutnya yang menyeleweng daripada ajarannya, sehingga mengada-adakan dengan melakukan perkara yang tidak disuruh dan bercakap perkara yang tidak diamalkan (berbohong). Maka, sesiapa yang berjihad menentang kemungkaran ini dengan tangannya, maka dia beriman. Sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, maka dia beriman dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya (benci dan tidak redha), maka dia beriman dan tiada iman selepasnya walaupun sebesar biji yang paling halus (berkecuali tanpa menentangnya).” (Riwayat Muslim no. 50)

Dalam kedua-dua hadis di atas telah dinyatakan satu per satu huraian secara terperinci agar setiap individu menentukan pendirian masing-masing terhadap kemungkaran yang berlaku, sama ada mengerjakan perkara yang haram atau meninggalkan perkara yang baik. Sehinggakan, ke atas tiap-tiap orang itu hukumnya menjadi fardu ‘ain dan sekali-kali tidak boleh berkecuali atau berdiam diri tanpa menentukan sikapnya.

Dalam amalan demokrasi moden, rakyat diberikan peluang untuk menentukan kepimpinan negara berdasarkan pengundian melalui saluran pilihan raya bagi memilih dasar kerajaan dan pemimpin yang diwakili akan menentukan dasar serta amalan kerajaan. Jika boleh, hendaklah melantik pemimpin yang berkuasa atau melantik wakil yang akan bercakap, dan terakhir menyatakan perasaan hati sama ada bersetuju atau tidak terhadap apa yang berlaku.

Maka, mereka yang tidak mengundi juga terlibat bagi memenangkan atau mengalahkan, bersetuju atau tidak bersetuju. Dengan kekurangan undinya adalah menentukan pendiriannya. Mereka juga terlibat dalam menentukan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka, sama ada benar atau salah. Jika mereka berdiam diri terhadap perkara yang benar, maka hukumnya adalah berdosa dan jika berdiam diri dalam perkara yang salah juga adalah berdosa.

Kata ulama’ salaf (generasi awal umat Islam) dengan menegaskan:

الساكت عن الحق شيطان أخرس، والناطق بالباطل شيطان ناطق، فالذي يقول الباطل، ويدعو إلى الباطل؛ هذا من الشياطين الناطقين.

“Orang yang mendiamkan diri terhadap perkara benar itu ialah syaitan bisu, dan orang yang bercakap perkara yang salah ialah syaitan yang bercakap. Orang yang bercakap dan mengajak kepada yang salah ialah syaitan yang bercakap.”

Allah SWT memerintahkan kepada umat Islam supaya saling tolong-menolong sesama mereka dalam menjalankan kewajipan tersebut. Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:

﴿وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ  يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٧١﴾

“Dan orang-orang yang beriman, daripada kalangan lelaki dan perempuan, sebahagian daripada mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) perkara yang ma‘ruf, mencegah daripada perkara yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Tawbah: 71)

Allah SWT telah melaknat kaum Yahudi Bani Isra’il pada zaman dahulu terhadap mereka yang diam dengan sikap berkecuali terhadap kemungkaran yang berlaku. Firman Allah SWT:

﴿لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٧٨ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ٧٩﴾

“Orang-orang kafir daripada kalangan Bani Isra’il telah dilaknat dengan lisan (ucapan) Daud dan ‘Isa putera Maryam. Oleh yang demikian, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. (78); Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya, amatlah buruk apa yang selalu mereka perbuat itu. (79)” (Surah al-Ma’idah: 78-79)

Rasulullah SAW memberi suatu amaran kepada umatnya supaya sekali-kali tidak meninggalkan kewajipan ini. Sabda Rasulullah SAW:

‌وَالَّذِي ‌نَفْسِي ‌بِيَدِهِ، ‌لَتَأْمُرُنَّ ‌بِالمَعْرُوفِ، ‌وَلَتَنْهَوُنَّ ‌عَنِ ‌المُنْكَرِ، ‌أَوْ ‌لَيُوشِكَنَّ ‌اللَّهُ ‌أَنْ ‌يَبْعَثَ ‌عَلَيْكُمْ ‌عِقَابًا مِنْهُ، ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ.

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam tangan-Nya! Sama ada kamu menyuruh kepada perkara yang baik dan kamu mencegah daripada kemungkaran, atau Allah menghantar balasan (bencana) ke atasmu kerana menghukummu (tidak menjalankan kewajipan itu). Kemudian kamu berdoa kepadanya, nescaya Allah tidak akan menerimanya (memperkenankannya).” (Riwayat al-Tirmizi no. 2169)

Kita wajib mengambil iktibar daripada sejarah umat Islam yang menyaksikan penindasan terhadap umat di bumi Palestin, apabila bangsa Arab meninggalkan perintah Allah agar mempertahankan Islam dan tanah sucinya. Sehingga sekarang umat Islam di Palestin masih memikul akibatnya.

Almarhum Jeneral Mahmud Syit Khattab dari Iraq yang datang berperang di Palestin pada tahun 1948 pernah menceritakan dalam salah satu bukunya, bahawa beliau menyaksikan ramai dalam kalangan bangsa Arab yang berpeluk tubuh dan bergembira sahaja tanpa mempedulikan apa yang berlaku pada peringkat awalnya. Maka, setelah itu mereka menghadapi suatu bencana apabila dijajah dan diperhambakan secara nyata dan halus, sehingga mereka menjadi bangsa yang dihinakan walaupun kaya-raya.

Termasuklah di tanah air kita sendiri yang pernah dijajah, apabila hanya beberapa orang pahlawan seperti Dato Maharaja Lela di Perak, Datuk Dol Said di Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau di Pahang, hanya segelintir sahaja orang Melayu yang ikut serta. Adapun sebahagian besarnya berkecuali dengan berpeluk tubuh menjaga rumah dan perut masing-masing, lalu akhirnya semuanya menerima bencana penjajahan sekali gus menjadi lebih hina daripada isi perutnya.

Bencana juga berlaku dalam berbagai-bagai keadaan seperti menularnya wabak, payahnya untuk dapatkan mata pencarian, berlakunya pengangguran, kezaliman, rasuah, penipuan, kenaikan harga barangan, keruntuhan akhlak, gejala dadah, banyaknya jenayah dan bencana alam yang nyata menimpa semuanya. Ini adalah suatu amaran Allah SWT supaya kita bangkit mencegah kemungkaran yang semakin banyak, laksana banjir sehingga masuk ke dalam bilik rumah.

Langkah untuk mencegahnya ialah dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, iaitu sebuah kerajaan yang beraqidah, beriman dan berakhlak, bukan sahaja memandang dari sudut ekonominya. Akan tetapi, sekiranya tidak mempunyai iman dan akhlak, maka ekonominya juga akan runtuh, politiknya pula zalim dan menipu, lantas tiada keamanan dan keselamatan lagi.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ٩٧ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ  فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ٩٩ أَوَلَمْ يَهْدِ لِلَّذِينَ يَرِثُونَ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ أَهْلِهَا أَنْ لَوْ نَشَاءُ أَصَبْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ  وَنَطْبَعُ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ١٠٠﴾

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami menyeksa mereka disebabkan perbuatannya. (96); Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dengan kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari saat mereka sedang tidur? (97); Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dengan kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain? (98); Maka, apakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang rugi. (99); Dan apakah belum jelas bagi orang-orang yang mewarisi suatu negeri sesudah (lenyap) penduduknya, bahawa kalau Kami menghendaki tentu Kami mengazab mereka kerana dosa-dosanya; dan Kami mengunci mati hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (pelajaran lagi)? (100)” (Surah al-A‘raf: 96-100)

Marilah sama-sama kita keluar mengundi dan memilih pemimpin dengan betul dan benar, janganlah sekali-kali memilih golongan yang salah dan sesat. Bahkan, janganlah sekali-kali tidak keluar mengundi sehingga memberikan kemenangan kepada pihak yang salah. Mereka yang tidak menolong pihak yang benar, akibatnya akan menimpa ke atas seluruh manusia di dunia dan di akhirat. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ  فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا٧١ وَمَنْ كَانَ فِي هَذِهِ أَعْمَى فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيلًا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (yang di Hari Kiamat) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitab amalannya itu, dan mereka tidak akan dianiaya sedikit pun. (71); Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman daripada Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Kitab itu menjadi petunjuk dalam semua perkara, termasuklah dalam memilih pemimpin negara yang akan turut dihisab pada Hari Akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌مَاتَ ‌وَلَيْسَ ‌لَهُ ‌إِمَامٌ، ‌مَاتَ ‌مِيتَةً ‌جَاهِلِيَّةً.

“Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada imam (pemimpin), nescaya matinya dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Abi Ya‘la dalam Musnadnya no. 7375, Ibn Hibban no. 4573 dan lain-lain)

ABDUL  HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Rabi‘ al-Awwal 1444 / 19 Oktober 2022