Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Penanaman pokok karas secara ladang di Malaysia selamatkan industri gaharu

1390
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

POKOK gaharu adalah kayu beresin yang boleh diproses bagi menghasilkan minyak gaharu, minyak wangi, produk air suling, sabun, syampu, losen, manik, bau-bauan, bahan hiasan, kopi serta teh wangian dikenali dengan beberapa nama yang digunakan di sekitar Malaysia.

Namanya juga berbeza-beza mengikut negara. Sebagai contoh, di Malaysia nama yang digunakan adalah pokok tengkaras, pokok gaharu, pokok karas atau pokok depu juga dikenali sebagai agarwood, engkoh dan nama saintifiknya ialah aquilaria sp.

Pokok gaharu merupakan pokok hutan yang tumbuh secara liar di sekitar hutan-hutan yang terdapat di Malaysia. Terdapat lima spesis daripada 22 spesis yang terdapat di dunia yang sering terdapat di Malaysia.

Spesis itu ialah malaccencis, microcarpa, hirta, rostrata dan beccariana. Penerokaan gaharu tanpa kawalan kerana harganya yang lumayan menyebabkan kebanyakkan spesis ini hampir pupus.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali dalam sidang media ketika sesi lawatan kerjanya di Ladang Karas di Jasin, Melaka baru-baru ini berkata penjualan hasil gaharu masih banyak bergantung kepada pokok karas hutan dan tertakluk dengan kuota yang ditetapkan setiap tahun berdasarkan garis panduan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Fauna atau Flora (CITES).

Menurut Khairuddin, sepanjang tahun 2018 dan 2019, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB telah menetapkan kuota eksport produk karas atau gaharu liar adalah sebanyak 150,000 kilogram.

Nilai eksport produk karas-gaharu negara pada tahun 2019 berjumlah RM8.8 juta melibatkan produk seperti kayu serpai dan blok gaharu (RM7.4 juta), pati minyak gaharu (RM0.96 juta) dan kepingan gaharu (RM0.44 juta). Sebanyak 3,742.40 kilogram pati minyak gaharu (PMG) telah dieksport pada tahun yang sama.

Sebagai inisiatif mengekalkan industri ini, gaharu mula di tanam secara perladangan sama ada perladangan monokultur atau perladangan selingan. Dengan inisiatif ini, spesis yang kian terancam di dalam hutan dapat diselamatkan dan sumber bekalan mentah bagi gaharu tidak akan putus.

Di Malaysia, penglibatan individu dan korporat dalam penanaman gaharu semakin meluas dan mendapat liputan sejak kebelakangan ini. Namun negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja telah lama menjalankan industri ini secara besar-besaran dan negara pengeksport gaharu terbesar ialah Singapura.

Secara asasnya, di dalam industri tanaman karas dan penghasilan gaharu, inokulan merupakan sejenis bahan yang disuntik ke dalam batang pokok karas yang telah mencapai usia matang bertujuan untuk merangsang agar pokok karas berkenaan mengeluarkan resin sebagai satu bentuk tindakbalas hingga akhirnya bahagian dalaman pokok karas itu berubah menjadi gaharu yang mempunyai nilai komersil yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Kebiasaannya, gaharu dijual dalam bentuk minyak tulen atau campuran serta cip kayu yang dibakar sebagai pewangi. Pengeluar kayu gaharu memberi gred seperti A, B, C dan D.

Gred diberikan pengeluar dibuat berdasarkan beberapa ciri fizikal seperti perbezaan warna, ketumpatan, bentuk fizikal, aroma kayu apabila dibakar, nilai estetika arca blok kayu dan bau minyak pati gaharu itu sendiri.

Industri penanaman karas dilihat berkembang pesat di Malaysia dengan bertambahnya bilangan ladang karas. Sehingga Disember 2019 sebanyak 217 syarikat atau individu dengan keluasan ladang sebanyak 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta batang yang telah berdaftar sebagai penanam karas dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

MTIB merupakan sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertindak sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri perkayuan negara.

Khairuddin juga mencadangkan pengusaha pokok karas di negara ini menggunakan kaedah ‘Inokulasi Sistem Paku Buluh’ (Bamboo Stick) dan ‘Titisan’ (Dripping) bagi penghasilan gaharu yang lebih optimum, kos efektif dan berkualiti terbaik.

Beliau berkata kajian bagi kaedah itu telah dilakukan ke atas 100 batang pokok karas oleh dua penyelidik dengan peruntukan berjumlah RM100,000 di Ladang Karas, Empangan Jus, Jasin pada November 2017 dengan kos yang dibelanjakan untuk inokulasi adalah RM210 per pokok.

Kajian tersebut, menurut beliau lagi, dilakukan oleh MTIB dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka untuk mendapatkan hasil yang komprehensif bagi menghasilkan gaharu dan pati minyak gaharu (PMG) bagi setiap kaedah tersebut seterusnya memanfaatkan penanam-penanam karas bagi menjalankan proses inokulasi terbaik bagi penghasilan gaharu.

Tambah beliau hasil kajian tersebut akan menjadi penanda aras dan rujukan kepada MTIB dan KPPK untuk merangsang pertumbuhan industri gaharu di Malaysia khususnya menerusi Projek Bantuan Inokulasi dibawah Rancangan Malaysia ke-12 yang mana jika diluluskan akan memanfaatkan hampir 500 pengusaha gaharu di negara ini kelak.

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka yang telah membuat liputan lawatan YB Menteri KPKK ke Melaka baru-baru ini.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)