Home Melaka

Rencana | PAS masuk pilihan raya untuk kalah?

179
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULIS ingat lagi di saat berlaku pergolakan dan perpecahan dalam PAS pada tahun 2015 sebelum ini, puak-puak penentang pada masa itu mempersendakan PAS dengan frasa ‘PAS bertanding pilihan raya untuk kalah’.

Semua ini berpunca daripada sikap PAS yang pada ketika itu sedang dalam ura-ura untuk meninggalkan PKR dan DAP yang berada di dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana DAP mula menunjukkan taring.

Pada masa itu PR berada di ambang kemenangan. Isu 1MDB sangat kuat untuk dijadikan sandaran untuk membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang bakal berlaku pada masa itu. Dan memang kemudiannya PR yang bertukar kepada Pakatan Harapan (PH) benar-benar mendapat mandat Kerajaan Persekutuan dalam PRU-14 pada tahun 2018.

Lalu sikap PAS yang mahu keluar daripada pakatan tersebut dan ingin bertanding bersendirian dikatakan sebagai sesuatu yang bodoh dan membunuh diri. Ini ditambah lagi dengan kemesraan PAS dengan Umno pada masa itu yang dianggap sebagai strategi ke belakang memandang Umno dikatakan bakal tumbang.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 15 Ogos 2022

 

Apabila mereka tanya pada PAS adakah PAS tidak mahu menang pilihan raya? Maka PAS jawab bahawa kita bukan tidak mahu menang tetapi kita mahu menang dengan prinsip dan kita rela kalah daripada terpaksa melanggar prinsip.

Dari situlah punca lahirnya frasa ‘PAS masuk pilihan raya bukan untuk menang’ yang dijaja oleh puak-puak penentang yang kemudiannya menubuhkan PAN untuk kekal bersama DAP. Frasa ini dijadikan bahan mempersendakan PAS dan kuat digunakan apabila mereka menitipkan komen di media-media sosial PAS pada masa itu.

 

Baru-baru ini, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali, bekas pemimpin PAS yang keluar parti tidak lama dahulu, kerana tidak berpuas hati dengan PAS yang membuat pakatan rasmi dengan Bersatu di dalam Perikatan Nasional dalam laporan beberapa buah media mendakwa bahawa PAS tersilap strategi.

Menurut Khairuddin, PAS silap percaturan sehingga gagal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sedangkan Umno-BN berjaya membentuk kerajaan. Katanya lagi pilihan yang dibuat oleh pimpinan PAS ‘tidak menguntungkan’ PAS dari segi politik kerana PAS gagal berkuasa.

Pelik. Nada mereka sudah mula sama dengan nada pengikut PAN yang meninggalkan PAS pada tahun 2015. Sedangkan pada masa itu golongan penentang ini kuat menghentam pengikut PAN yang berpendirian sebegini pada masa itu.

 

Baru-baru ini penulis membuat liputan untuk Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka kali yang ke 47 di Maahad Ar-Rahmah Solok Gaung yang dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hanafi Zulkapli.

Dalam ucapan perasmian beliau itu, jelas ditegaskan pendirian PAS dalam tuduhan bahawa ‘PAS silap strategi’ ini. Menurut beliau PAS bertanding pilihan raya dan melakukan tahaluf bukan semata-mata untuk menang ‘by hook or by crook’, namun keputusan itu mesti berpegang pada prinsip, walau pun ia menyebabkan PAS kalah.

Kata beliau lagi, agenda PAS lebih besar lagi daripada memenangi pilihan raya iaitu untuk menyatukan ummah dengan mengajak Bersatu dan Umno berada dalam satu gabungan dan sama-sama membentuk kerajaan.

Menurut Ustaz Hanafi lagi, sekiranya matlamat PAS hanya kuasa, sebelum PRU-14 lagi Umno sudah mengajak PAS untuk bersama dan sekiranya ia berlaku, PAS sudah boleh berada dalam kerajaan sebelum PRU-14 lagi.

Tambah beliau lagi, PH juga masih memujuk PAS untuk bersama mereka dan jika PAS kemaruk kuasa maka PAS sudah pun berada dalam kerajaan selepas PRU-14. Namun PAS tetap dengan prinsip.

Malah seingat penulis selepas PH berkuasa dan pada itu mereka kerap kalah dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan Umno dan PAS mula bersatu mereka cuba memujuk PAS untuk menyertai kerajaan, namun PAS tetap tolak.

Lalu penulis tertanya-tanya apakah definisi ‘keuntungan’ yang dimaksudkan oleh Khairuddin dan pengikut-pengikutnya yang masih berada di dalam PAS dan sedang mengelirukan fikrah orang PAS ini?

Apakah ‘keuntungan’ itu bermaksud kita boleh menggadai prinsip demi mengikut telunjuk pihak lain atau mendapat laba jawatan dan pangkat?

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Semua ahli dan penyokong PAS dijemput menghadiri Majlis Himpunan.5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Melaka pada Rabu, 17 Ogos 2022, 9.00 malam di perkarangan Pejabat PAS Negeri Melaka, yang akan disempurnakan oleh Timbalan.Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.


 

 


Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH