Home Melaka

Rencana | PAS lebih syumul jika kuasai ekonomi

115
SHARE

Oleh IBNU JANIE

JIKA kita cuba membandingkan PAS dari era-era terdahulu pasti kita akan dapati banyak perubahan telah berlaku di dalam parti ini. Parti yang dahulunya dikenali sebagai ‘parti lebai’ kini sudah semakin rencam dengan penyertaan para profesional dan juga non-Muslim.

Ini terus membawa PAS ke arah untuk menjadi sebuah parti yang inklusif. PAS sendiri sebenarnya telah menjadi bukan sahaja sebuah parti politik, tetapi juga sebuah badan dakwah yang membawa mesej Islam sebagai ad-din atau pun cara hidup meliputi segala urusan duniawi dan ukhrawi.

Cuma bagi penulis PAS masih perlu memberi tumpuan pula kepada usaha-usaha peningkatan aktiviti ekonomi parti yang boleh mengukuhkan lagi kedudukannya di mata masyarakat.

Penulis teringat kisah bagaimana semasa Allayarham ayahanda penulis ingin membeli sebuah kereta terpakai pada sekitar awal 90an. Allahyarham telah pergi ke sebuah syarikat milik Al-Arqam yang menjual kenderaan terpakai dan juga membiayai pinjaman kenderaan.

 

Pada masa itu penulis benar-benar teruja melihat bagaimana ‘pak-pak lebai’ berserban dan berjubah berbangsa Melayu itu mampu menjalankan perniagaan kereta terpakai dan syarikat kredit pembiayaan kewangan.

Ini adalah kerana perniagaan menjual kereta terpakai dan kredit pembiayaan kenderaan bukanlah perniagaan yang biasa bagi orang-orang Melayu pada ketika itu. Biasanya orang Melayu sekadar membuka kedai runcit atau pasar mini.

Hiasan pejabatnya sangat ekslusif dan korporat, bukan berimej ‘syarikat Melayu’ yang biasa kita bayangkan. Ini memberi satu keyakinan dalam diri penulis pada ketika itu bahawa orang Melayu pun boleh berniaga setaraf dengan bangsa lain.

Dalam perbincangan ini, kita tolak tepi dahulu tentang ajarannya yang difatwakan salah oleh kerajaan. Yang penulis ingin bincangkan ialah tentang kegiatan ekonominya yang bagi penulis memiliki pencapaian yang boleh dibanggakan.

Al Arqam ketika itu adalah sebuah pertubuhan dakwah dan nampak hebat dan menonjol dengan program ekonominya yang gah. Dan penulis melihat bahawa penumpuan pertubuhan itu terhadap ekonomi sama penting dengan aktiviti dakwahnya.

Penulis melihat betapa walau pun ahli Al Arqam pada ketika itu tidak mungkin seramai ahli PAS pada ketika ini, namun mereka berjaya membina sebuah empayar perniagaan yang hebat walau pun Al Arqam adalah sebuah pertubuhan dakwah sebenarnya.

Gambar hiasan | Perniagaan di kompleks membeli-belah (Kredit foto : Google)

 

Dan tidak mustahil jika PAS menjalankan usaha-usaha ke arah ini maka PAS dapat melakukan lebih baik daripada Al Arqam. Ini adalah kerana PAS mempunyai ahli-ahli yang ramai dan tokoh-tokoh yang berwibawa dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Memang kebanyakan pimpinan PAS di dalam lajnah-lajnah yang ada sudah cukup sibuk dan mempunyai peranan yang besar dalam aktiviti hakiki parti sebagai sebuah badan politik. Ini ditambah dengan persediaan untuk menghadapi ‘acara-acara rutin’ politik seperti menghadapi pilihan raya dan aktiviti politik.

Namun, penulis berpendapat jika PAS dapat membentuk satu pasukan khas dalam kalangan pimpinan yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, perkara ini tidak akan menjadi mustahil. Biarkan pasukan ini fokus kepada usaha pembinaan sayap perniagaan dan elakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti politik.

Mulakan dengan membentuk sebuah koperasi baharu dengan imej dan nafas baharu bagi menjadi platform kepada sayap perniagaan PAS ini dengan mengajak ahli-ahli menyumbang modal. Pasukan khas ini akan berperanan untuk membina perniagaan melalui koperasi ini sehingga berjaya.

Kita tidak menafikan peranan infak sebagai nadi penggerak perjuangan Islam di seluruh dunia dari dahulu lagi. Namun jika aktiviti infak dilakukan seiring dengan pembangunan aktiviti ekonomi perniagaan sudah pasti perjuangan Islam itu akan lebih dihormati dan disegani.

Bukan kita mahu berpaksikan material, namun kekuatan material juga menjadi izzah dalam perjuangan dan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa PAS mampu mentadbir negara bukan sahaja dari sudut agama, tetapi juga ekonomi.

Bangunan PAS Kedah

Kompleks PAS Kedah

 

Dan dengan kekuatan ekonomi kita akan dapat membina lebih banyak bangunan seperti Kompleks PAS Kedah yang tersergam indah dan moden itu.

PAS sudah matang dalam politik dan juga dalam aktiviti dakwah. Kini masanya untuk PAS mengukuhkan peranannya dalam pembangunan ekonomi ummah. Jika ia dapat menjadi kenyataan, PAS akan jadi pertubuhan Islam yang lebih syumul, insya-Allah.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 16-18 September 2022

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH