Home Berita PAS Sabah

PAS parti politik bebas rasuah

204
SHARE

Oleh : Salmiah Ismail
20 September 2022

BATU SAPI: PAS parti politik bebas rasuah dan terbukti kerana tidak ada pimpinan yang disabitkan dengan jenayah itu, kata ADUN lantikan, Dr Aliakbar Gulasan.

Menurut beliau, parti itu juga bukan rasis dan perjuangan PAS atas dasar kerana Allah.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Sabah berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra pimpinan PAS bersama ketua cawangan PAS Batu Sapi di markas kawasannya, Flat Karamunting, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu mengingatkan semua ketua cawangan supaya memperkemaskan ahli jawatankuasa diperingkat cawangan.

“Anda semua merupakan mata dan telinga untuk melaporkan isu-isu kemasyarakatan supaya boleh disalurkan kepada kerajaan.

“Berusaha menjaga kebajikan ahli, menambah keahlian dan menjadi duta yang akan memperkenalkan PAS kepada orang ramai,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS kawasan.

Norsah turut merakamkan ucapan tahniah kepada ketua serta ahli cawangan Bukit Nanas dan Pulau Shanghai yang dilihat sudah ke depan di dalam menganjurkan program sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Secara tidak langsung kedua-dua program ini telah mempromosikan PAS kepada masyarakat Sandakan khususnya di sekitar kawasan Batu Sapi,” katanya.

Ketua Cawangan Pulau Shanghai, Halim Osman pula melahirkan rasa gembira di atas pertemuan itu dan mencadangkan agar diwujudkan madrasah ataupun sekolah pondok di Pulau Shanghai bagi menyuburkan lagi majlis ilmu di pulau tersebut.

“Kami berharap majlis seumpama ini kerap diadakan supaya dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara pimpinan PAS dengan ahli,” katanya.

Seramai 20 orang ketua cawangan bersama beberapa orang ahli PAS cawangan hadir ke majlis itu.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid dan Abdul Hisham Othman.