Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Mewirawankan ahli politik berintegriti dalam Matinya Seorang Patriot

456
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU¬†ini sebuah stesen televisyen swasta menayangkan semula sebuah filem lama arahan Dato’ Rahim Razali, ‘Matinya Seorang Patriot’.

Filem yang ditayangkan di pawagam pada tahun 1984 ini turut dibintangi nama-nama besar iaitu Dato’ Mustapha Maarof, Eman Manan, Saadiah, Zulkifli Zain, Azmil Mustapha, Datuk S Roomai Noor, Noor Kumalasari dan Ahmad Tarmimi Saregar.

Dan penulis memang salah seorang pangkagum hasil kerja seni Dato’ Rahim Razali. Beliau adalah seorang pengkarya yang menghasilkan filem-filem berkualiti sejak dahulu.

Filem ‘Matinya Seorang Patriot’ ini berlatarbelakangkan dunia korporat Melayu pada era 80an, iaitu pada era berkembangnya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Pada era ini orang Melayu mula mengenal dunia korporat. Sebelum itu bukan tidak ada orang Melayu yang terlibat dengan dunia korporat. Ada juga. Cuma tidak serancak selepas DEB diperkenalkan.

Filem ini memaparkan konflik hubungan antara ahli politik dan ahli korporat yang mencetuskan penyelewengan dan kronisme dalam urusan perniagaan.

Dalam filem tersebut watak Haji Shaaban lakonan Dato’ Mustapha Maarof, dipaparkan sebagai seorang pemimpin politik dari sebuah kawasan luar bandar yang jujur dan tinggi integriti.

Watak Haji Shaaban lakonan Dato’ Mustapha Maarof,

Beliau turut memimpin pertubuhan koperasi penduduk tempatan di kawasannya yang mana koperasi ini memegang sebahagian saham dalam Syarikat Melati Holdings. Dan Haji Shaaban juga adalah salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah syarikat mewakili koperasi ini.

Konflik bermula apabila Lembaga Pengarah Syarikat Melati Holdings telah melakukan tindakan mempergunakan posisi Haji Shaaban di dalam politik untuk faedah syarikat tanpa pengetahuannya. Namun apa yang sebenarnya berlaku tidak dijelaskan secara terperinci di dalam plot cerita ini. Hal ini telah menyebabkan Haji Shaaban marah.

“Saya akan bongkarkan segala rahsia tuan-tuan. Saya akan laporkan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya penyelewengan syarikat akan diketahui ramai dan menerima hukuman yang sewajarnya,” kata Haji Shaaban dalam satu dialog pada filem itu.

Kemudian dialog ini disambut oleh watak Pengerusi Lembaga Pengarah Melati Holdings, bernama Yusuf, lakonan Datuk S Roomai Noor yang berkata:

“Kita saling bergantung satu sama lain. Bisnes pada politik, politik pada bisnes.”

Jawab Haji Shaaban pula:

“Perdana Menteri akan balik dari luar negeri seminggu lagi. Saya akan bawa terus perkara ini kepada Perdana Menteri. Dia ketua saya dalam parti dan dalam hidup saya tengah ni.

“Kalau dia mengatakan saya bodoh, salah, bodoh dan salahlah saya! Namun saya nak tunduk pada sindiran tuan-tuan bahawa tuan-tuan kebal kerana berselindung di sebalik politik, hah! Jauh panggang dari api!”

Rencana ini juga tersiar di Harakah cetak 10 September 2021

 

Apa yang menarik pada dialog yang diucapkan oleh Haji Shaaban ini tadi ialah walau pun beliau merupakan seorang yang berintegriti namun beliau sendiri sebenarnya tidak pasti adakah pimpinan tertinggi parti beliau pada masa itu juga akan bersetuju dengan prinsip integritinya itu.

Dia juga tidak pasti adakah sifat integritinya itu akan dibalas dengan sanjungan seperti yang sewajarnya dia dapat atau hanya akan dibalas dengan tawa sindiran dan dianggap sebagai seorang yang bodoh dan lurus kerana jujur dan berintegriti.

Filem ini seperti cuba memaparkan dilema realiti kehidupan seorang pemimpin berintegriti yang berada di dalam kelompok majoriti pemimpin yang tidak berintegriti dalam sesebuah organisasi politik.

Sambungan daripada plot filem ini tadi, akibat daripada perkara ini, salah seorang Ahli Lembaga Pengarah, Jamali Rahman, lakonan Azmil Mustapha, telah berpakat dengan semua Ahli Lembaga Pengarah yang lain membuat satu rancangan jahat mengugut Haji Shaaban agar tidak mengadukan hal ini kepada Perdana Menteri.

Jamali telah memperolehi beberapa foto lama isteri Haji Shaaban semasa muda dalam keadaan mengaibkan. Foto itu dijadikan bahan untuk mengugut Haji Shaaban. Kerana kejadian itulah Haji Shaaban terkena serangan jantung dan mati.

Keluarga Haji Shaaban

Selepas daripada itulah anak-anak Haji Shaaban diketuai oleh anaknya yang sulung Safuan, lakonan Zulkifli Zain, Saiful lakonan Eman Manan dan tiga orang lagi adik beradik mereka menjalankan operasi membalas dendam membunuh setiap seorang Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Melati Holdings.

Sebenarnya, perniagaan memang sering digunakan sebagai alat oleh ahli politik jahat untuk menjarah dana kerajaan. Sebab itu ada istilah ‘masuk politik sebelah kaki’ iaitu mereka yang oportunis yang menyertai politik bukan untuk berbakti kepada masyarakat tetapi untuk mengaut kekayaan melalui peluang-peluang perniagaan.

Golongan seperti ini memang ramai dan mereka hanya menyertai parti politik pemerintah yang berkuasa. Antara yang menjadi buruan golongan ini ialah lesen-lesen dan permit-permit setengah aktiviti perniagaan yang terhad dan ketat.

Ia sering dijadikan sumber pendapatan ahli-ahli politik kerajaan samada yang mempunyai kuasa atau pun sekadar mempunyai hubungan dengan ahli politik yang bertanggungjawab dalam meluluskan sesuatu permit. Setiap kelulusan ada habuan dan imbuhan untuk ahli politik yang meluluskannya.

Namun yang paling menarik ialah watak lakonan Mustapha Maarof itu diwirawankan sebagai ‘patriot’. Ini menunjukkan bahawa seseorang yang jujur dan berintegriti itu adalah sebenarnya seorang yang patriotik dan benar-benar mencintai tanah air dan negara.

Hakikatnya, patriot bukanlah pemimpin yang berdegar-degar dengan slogan dan ucapan berapi-api membangkitkan semangat cintakan negara tetapi dalam masa yang sama sibuk merampok kekayaan negara untuk kepentingan peribadi. Patriot itu adalah pemimpin yang tinggi integritinya.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.