Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Menyingkap keagungan silam masyarakat Melayu

72
SHARE

Oleh ANUAR IBRAHIM

MENGIMBAS semula kepada perjalanan sejarah yang pernah dilalui oleh masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu, Tanah Melayu berjaya menjadi tumpuan para pedagang bukan sahaja kerana kedudukan yang terletak di antara pedagang Timur dan Barat.

Bahkan boleh dikatakan kemahiran bidang maritim yang menjadi suatu kebanggaan dan penguasaan masyarakat Melayu diakui oleh para pedagang.

Kemahiran yang dimiliki oleh para pelayar Melayu pada ketika itu, sering menjadi tumpuan kepada kapal-kapal pedagang samada untuk membina kapal yang berprestij dan juga membaiki kapal yang dibawa.

Melihat kepada soal keselamatan pula, Jong yang diberi gelaran Mendam Berahi berjaya mengawal perairan selat Melaka telah berjaya mewujudkan keyakinan kepada pedagang untuk berniaga.

Menurut Lynda Shaffer (1996) seorang profesor sejarah daripada Turfts Universiti Amerika Syarikat, dalam bukunya Maritime Southeast Asia to 1500, telah menyatakan bahawa pelayar-pelayar Melayu merupakan pelayar-pelayar yang mempunyai ilmu laut yang tinggi, belayar merentasi lautan beribu-ribu batu tanpa bantuan kompas atau carta-carta bertulis.

“Pelayar-pelayar Melayu menggunakan angin, bintang, warna air laut, rupa bentuk gelombang laut untuk mengetahui lokasi. Mereka boleh tahu kedudukan sebuah pulau walaupun mereka masih berjarak 30 batu dari pantainya hanya dengan melihat tabiat burung-burung tertentu, haiwan dan tumbuhan laut dan juga rupa bentuk gelombang pada permukaan laut.

“Malah pelayar-pelayar China telah mengetahui tentang orang-orang Melayu dari seawal kurun ke-3 Masihi,” kata Shaffer.

Inilah salah satu sebab mengapa terma ‘Tanah Air’ digunakan untuk merujuk kepada asal usul masyarakat Melayu yang bukan sahaja menetap di daratan bahkan menguasai perairan sebagai jalan perdagangan antarabangsa.

Kejayaan dan kegemilangan pelabuhan Tanah Melayu ini telah membuka mata, kuasa-kuasa besar untuk menakluki dan merampas kekayaan yang dimiliki Tanah Melayu.

Justeru, kehebatan inilah yang menjadi kebanggaan kepada masyarakat Tanah Melayu dan tidak seharusnya dilupakan bahawa kita adalah bangsa yang disegani sehingga Bahasa Melayu itu sendiri pernah dijadikan lingua franca untuk mendapatkan perkhidmatan dan kepakaran yang dimiliki oleh Kerajaan Melayu pada ketika itu.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu