Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Hari Kebangsaan ke-64: Perpaduan Kunci Kesejahteraan Negara

32
SHARE

Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT atas usia kemerdekaan negara kita yang menjangkau 64 tahun.

Semestinya tidak mudah untuk mengekalkan kemerdekaan selama ini tanpa bantuan Allah, dan juga kunci utamanya iaitu perpaduan.

Negara kita mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah dengan perpaduan semua kaum. Peristiwa bersejarah 13 Mei 1969 juga dapat kita tangani dengan perpaduan sehingga lahirnya Rukun Negara.

Kini, kita masih belum “merdeka” dalam peperangan melawan COVID-19 yang seharusnya dihadapi juga dengan perpaduan seluruh rakyat Malaysia merentasi fahaman politik dan perkauman.

Janganlah disebabkan kepentingan sendiri atau terpengaruh dengan agenda tertentu, kita menggadaikan perpaduan ini yang akhirnya merugikan negara keseluruhannya.

Erti kemerdekaan sebenar itu bukan hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi dengan menghayati perpaduan generasi terdahulu dan berusaha mengekalkannya demi kesejahteraan negara.

Akhirnya, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dan seluruh saff kepimpinan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-64. Semoga negara kita terus aman sejahtera dalam lindungan Allah SWT.

Siiru ‘ala barakatillah.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

‘Wilayah Sejahtera’

USTAZ AZHARYAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
30 Ogos 2021 l 20 Muharram 1443H