Home Berita PAS Melaka

Rencana : Mendiang Karpal Pernah Minta Anwar Bertaubat – Sejarah Pengkhianatan Mandat Rakyat

19332
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

Sekarang ini pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) sedang sibuk mengadakan ‘roadshow’ ke seluruh negara. Mereka mahu menerangkan kepada rakyat bahawa mandat yang diberikan kepada mereka telah dikhianati oleh beberapa orang bekas pemimpin PH yang mengadakan pakatan dengan Muafakat Nasional (MN).

Di saat pemimpin-pemimpin PH sibuk ke sana sini menerangkan tentang pengkhianatan yang mereka alami, izinkan penulis untuk menyingkap tentang sejarah penting berkaitan dengan pengkhianatan mandat rakyat yang berlaku di Malaysia di abad ke 21.

Dalam PRU12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, buat kali pertamanya sejak PRU 1969 BN hanya mendapat majoriti mudah iaitu 140 daripada 222 kerusi parlimen. PRU12 ini juga dikenali sebagai tsunami politik dengan lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PKR, PAS dan DAP.

Beberapa bulan selepas PRU12 itu Anwar mula dilepaskan dari tempoh larangan tidak boleh melibatkan diri dalam politik selepas selesai menjalani hukuman penjara. Anwar memenangi PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 yang diadakan khas untuk menghantar semula beliau ke parlimen dan dikatakan bakal PM Malaysia.

Ketika itu keyakinan PR cukup kuat bahawa masa untuk BN dijatuhkan dan Anwar menjadi PM sudah dekat. Sejumlah 30 orang ahli parlimen BN diperlukan untuk melompat bagi membolehkan PR membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Projek ini bermula dari Mac 2008 dan mensasarkan tarikh 16 September 2008 sebagai tarikh PR mengambil alih kerajaan persekutuan. Penghujung Ogos 2008 Anwar telah mengadakan sidang akhbar mendakwa 27 orang ahli parlimen BN sudah menyatakan persetujuan untuk melompat.

Anwar juga secara sinis membuat tawaran agar PM pada ketika Tun Abdullah Badawi agar menyerahkan jawatan PM secara sukarela kepadanya. Malangnya sehingga memasuki tahun 2009 ia tetap gagal direalisasikan.

Sementara itu, dalam penggal yang sama tsunami politik PRU12 telah menyebabkan BN Perak hilang kuasa. PR menang dengan 31 kerusi berbanding BN yang hanya mendapat 28 kerusi. PR membentuk kerajaan dengan majoriti 3 kerusi.

Namun kerajaan PR Perak tumbang tidak sampai setahun apabila dua orang Adun PKR dan seorang Adun DAP mengisytiharkan menyokong BN. Pada 6 Februari 2009 Zambry Abdul Kadir akhirnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Perak yang baru selepas DYMM Sultan Perak berpuas hati BN mempunyai majoriti dalam DUN Perak.

Pada 8 Februari 2009 mendiang Karpal Singh telah membuat satu sidang akhbar susulan daripada tindakan BN pada ketika itu menggulingkan kerajaan PR Perak. Sebenarnya sidang akhbar itu adalah untuk mengumumkan rancangannya untuk menyaman Sultan Perak atas kejadian ‘rampasan kuasa’ ini.

Namun sidang akhbar ini telah menjadi medan menghentam Anwar dan beberapa orang pemimpin tertinggi DAP yang didakwa menurut sahaja kehendak Anwar. Kata Karpal dalam sidang akhbar itu “Anwar Ibrahim telah mencipta banyak masalah pada negara ini. Anwar Ibrahim harus bertaubat!”. Video ucapan Karpal yang terkenal ini masih boleh ditonton di Youtube.

Apa yang membuatkan Karpal naik hantu adalah kerana kekesalannya atas tindakan Anwar yang mempromosikan lompat parti berdasarkan rancangan meganya menjatuhkan kerajaan BN dalam peristiwa 16 September tahun sebelum itu. Dan akhirnya PR menanggung karma sehingga kerajaan PR Perak direnggut dengan cara yang sama yang cuba dilakukan Anwar terhadap kerajaan persekutuan yang dikuasai BN.

Itu kisah yang berlaku lebih sepuluh tahun dulu. Namun adakah PH yang menyambung perjuangan PR dulu sudah berubah pandangan mereka terhadap pengkhianatan mandat rakyat ini?

Sebaik keputusan PRU14 untuk Negeri Sabah diumumkan pada masa itu kedudukan kerusi di DUN Sabah ialah BN 29 kerusi, Warisan-PH 29 kerusi, sementara STAR 2 kerusi. Mulanya BN telah berjaya membentuk kerajaan dengan membuat pakatan dengan STAR yang dipimpin oleh Dr Jeffrey Kitingan dengan jumlah 31 kerusi pada 10 Mei 2018.

Pada 11 Mei 2018, enam Adun BN pula mengkhianati mandat rakyat dengan mengisytihar menyertai Warisan-PH. Mereka adalah dua orang Adun UPKO dan empat orang Adun UMNO. Dengan jumlah terbaru ini maka Warisan-PH membentuk kerajaan dan Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 12 Mei 2018.

Sementara itu di dalam DUN Perak pula asalnya PH memiliki 29 kerusi, BN 27 kerusi, sementara PAS 3 kerusi. Tidak ada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah 30 kerusi. Namun PH membentuk kerajaan dengan sokongan dua orang Adun BN yang mengkhianati mandat rakyat yang mengundi BN. Selepas pengkhianatan itu kedudukan kerusi di dalam Dun Perak ialah PH 30 kerusi, BN 25 kerusi, PAS 3 kerusi dan bebas 1 kerusi. Bebas ini juga menyokong PH.

Begitu juga Kedah. Sebaik sahaja keputusan PRU14 diumumkan kedudukan kerusi di dalam DUN Kedah ialah PH 18 kerusi, PAS 15 kerusi sementara BN 3 kerusi. Dengan itu tiada mana-mana parti politik pun yang dapat membentuk kerajaan yang memerlukan 19 kerusi.

Akhirnya kerajaan PH Kedah dibentuk dengan seorang Adun BN mengkhianati mandat rakyat di kawasannya yang memberi undi kepada BN dalam PRU itu. Kedudukan selepas pengkhianatan itu ialah PH 19 kerusi, PAS 15 kerusi sementara BN 2 kerusi.

Pembentukan kerajaan PH di Sabah, Kedah dan Perak adalah hasil dari pengkhianatan mandat rakyat. Wakil-wakil rakyat yang dahulunya BN dan diundi oleh rakyat yang mahu mengundi BN namun mereka beralih menyokong PH untuk membentuk kerajaan.

Dan sekarang tanpa rasa malu pemimpin PH jugalah sekarang ini menjadi juara pejuang moral menentang pengkhianatan mandat rakyat. Adakah sesiapa akan percaya pada parti yang tidak berprinsip ini? Mereka menjadi juara menentang pengkhianatan sedangkan pengkhianatan itu sebenarnya berakar umbi dari mereka sendiri.

Sejarah telah membuktikan kerakusan pemimpin-pemimpin PH dalam merobek mandat rakyat ketika mereka terdesak memerlukannya untuk membentuk kerajaan. Tetapi apabila mereka yang dikhianati habis semua rakyat diajak untuk melawan atas nama menentang pengkhianatan mandat rakyat. Double standard!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

(Rencana ini juga disiarkan dalam Harakah cetak edisi 16 – 19 Mac 2020)