Oleh : Ibnu Janie
“ADA tiga perkara yang boleh menjatuhkan sesebuah negara, yang pertama rasuah, kedua tak menepati masa, yang ketiga ‘cinggey’ (perempuan)”. Ini dialog terkenal yang diucapkan oleh watak ‘Jijoe’ lakonan Khir Rahman dalam filem terkenal ‘Rock oo’ arahan pengarah tersohor Mamat Khalid.
Semua orang faham tentang bencana yang disebabkan oleh rasuah tetapi mengapa ia tetap berlaku?
Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan maklumat terbaru kedudukan negara kita yang telah jatuh ke kedudukan 57 berbanding di kedudukan 51 dalam tahun 2019 bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International. Skor yang diperolehi Malaysia pada tahun 2020 ialah sebanyak 51 berbanding 53 pada tahun 2019.
Ramai yang mengaitkan sesuatu aktiviti rasuah itu dengan sesuatu parti tertentu. Ia sebenarnya bukan sangat berkaitan parti. Ia sebenarnya adalah berkaitan sikap seseorang individu. Individu-individu yang berperangai sama ini pula akan membentuk kumpulan manusia korup. Kumpulan manusia korup ini apabila mendapat kuasa maka mereka akan melakukan korupsi.
Korup ini juga berkaitan peluang. Pemimpin pembangkang yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan contohnya sebagai wakil rakyat atau tidak menguasai pentadbiran negeri mereka tidak ada peluang untuk menjadi korup.
Tapi iman mereka akan diuji apabila telah mendapat kuasa. Jika sebelum itu sering sahaja mereka bising membongkar perlakuan rasuah ahli politik yang berkuasa maka mereka pula akan teruji bila berkuasa.
Jatuhnya kerajaan korup, rasuah akan terkubur?
Ada sebuah negara di Asia Tenggara ini yang pernah melalui zaman jatuhnya sebuah regim diktator yang bertahan puluhan tahun. Seluruh rakyat merayakannya sebagai satu zaman baharu kononnya jatuhnya sebuah kerajaan korupsi, kronisme dan nepotisme.
Mereka meraikan seolah-olah tidak akan ada lagi rasuah di negara itu. Seolah-olah budaya rasuah ikut sama terkubur dengan jatuhnya regim itu. Namun, hakikatnya sehingga sekarang mereka masih bergelut dengan rasuah. Sehinggakan, menurut rakyat negara itu yang penulis pernah temui berkata, sesetengah keadaan, untuk mendapatkan pekerjaan di jabatan kerajaan pun perlu bagi rasuah!
Perkara ini berlaku kerana banyak kemungkinan. Kemungkinan yang pertama ialah kerana rasuah juga berlaku di kalangan penjawat awam di negara itu, bukan hanya orang politik. Walau pun orang politik yang korup sudah jatuh tetapi penjawat awam yang tinggal yang tidak jujur akan meneruskan amalan rasuah.
Kemungkinan yang kedua ialah kerana kerana ahli politik yang dahulunya pembangkang yang menggantikan ahli politik yang tewas itu juga sebenarnya kaki rasuah. Cuma sebelum ini mereka tidak ada peluang.
Pejuang menentang rasuah yang ‘munafik’!
Apa yang penulis lihat bahawa rasuah ini masih gagal dihapuskan kerana ramai lagi di antara kita yang sebenarnya hanya membenci rasuah secara separuh masak, menipu dan bermuka-muka!
Walau pun di mata kasar mereka kononnya pejuang anti rasuah tapi di belakang mereka sendiri makan rasuah. Ini adalah munafik nombor satu di kalangan mereka yang termasuk dalam golongan yang dilihat menentang rasuah!
Mereka menjerit paling kuat melahirkan rasa benci dengan rasuah. Tapi sebenarnya mereka adalah ‘bapak’ pemakan rasuah. Telunjuk mereka lurus tetapi kelingking mereka berkait!
Penulis juga bergaul dengan ramai rakan-rakan daripada kalangan kontraktor. Daripada perbualan-perbualan penulis dengan rakan-rakan penulis tadi wujud juga watak-watak seperti ini dalam kalangan kontraktor.
Ada yang gagal mendapatkan tender mereka akan bising dan menuduh ada berlaku penyelewengan dan rasuah. Mereka berkuar-kuar ingin melaporkan kepada SPRM. Namun hakikatnya mereka pun jenis yang menggunakan ‘kabel’ dan sogokan juga!
Mereka cuma marah kerana mereka tidak dapat sesuatu tender. Bukan sangat kerana orang yang dianugerahkan tender itu menang dengan rasuah atau penyelewengan. Dan bukan kerana mereka itu memang bencikan rasuah dan penyelewengan.
Kebencian terhadap rasuah haruslah berdasar dan berakar umbi bahawa ianya adalah sesuatu yang dosa dan jijik. Bukan semata-mata nampak jijik bila orang lain yang melakukannya. Tapi bila diri sendiri melakukan ia jadi mulia dengan berbagai-bagai alasan yang mulus.
Bila rasuah hanya jadi alat menjatuhkan orang lain
Golongan ‘munafik’ bermuka-muka seperti inilah yang kerap menjadikan isu rasuah sebagai alat untuk menjatuhkan orang lain. Kalau mereka ahli politik, mereka jatuhkan parti lawan mereka dengan isu rasuah. Malah taktik ini juga digunakan untuk menjatuhkan rakan politik sesama parti mereka. Kalau mereka peniaga seperti kontraktor pula isu rasuah ini mereka gunakan untuk menjatuhkan pesaing perniagaan mereka.
Pada orang politik seperti ini, apabila pemimpin atau parti yang telah dituduh itu berjaya dijatuhkan mereka pula akan menggantikan tempat rakan politik yang dijatuhkan tadi, atau mereka akan jadi kerajaan baharu yang akan membuat rasuah baharu.
Jika mereka kontraktor, mereka pula akan meneruskan kegiatan merasuah orang kerajaan untuk mendapatkan tender selepas perniagaan pesaingnya tadi jatuh kerana aduan rasuah.
Salah kalau banyak, sikit tak apa?
Selain pejuang anti rasuah ‘munafik’ tadi ada juga golongan manusia yang berpendapat bahawa rasuah tidak salah sekiranya jumlahnya sedikit. Yang mereka ‘berapi’ marah apabila jumlah ‘makannya’ besar.
“Biasalah orang politik makan duit. Tapi yang aku tak boleh terima sampai berbilion-bilion,” satu ungkapan yang penulis pernah dengar dengan telinga penulis sendiri.
Mazhab ini juga merbahaya. Rasuah harus dianggap seperti hukum haramnya arak. Arak itu diharamkan kerana memabukkan. Tapi tidak bermakna meminum arak jika tidak mabuk hukumnya tidak haram. Jelasnya hukum arak itu walau pun diambil sedikit dan tidak memabukkan tetap haram.
Ini konsep yang harus dipegang dalam menentang rasuah. Malah lebih teruk lagi rasuah bukan sekadar dosa besar, ia adalah dosa yang dilaknat oleh Allah SWT!
Mazhab penentang rasuah yang tepat ialah mazhab yang berpegang bahawa rasuah adalah rasuah seperti mana yang didefinisikan oleh agama dan undang-undang tanpa kompromi.
Tidak perlu malu untuk mengakui bahawa memang masalah rasuah yang berlaku di negara kita memang agak parah melibatkan jangkamasa puluhan tahun. Memang terlalu banyak kerosakan yang perlu diperbaiki. Ada bahagian yang tidak boleh diperbaiki pula perlu dibuang. Ia bukan kerja satu dua hari. Namun ia harus bermula dari sekarang.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2624 bertarikh 12 Februari 2021 |
PAU USTAZ
Gerai hadapan Taman Bunga Raya Seksyen-3 dan Klinik Munshi, Bukit Beruang Melaka. Tempahan Whatsapps : +60136315113
TEPEN FROZEN YONG TAU FOO
Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera – Bahrum : 011-16964842