Home Melaka

Rencana | Melahirkan tokoh pimpinan PAS Melaka bertaraf Pusat

82
SHARE

Oleh IBNU JANIE

TIDAK ramai tokoh-tokoh pimpinan PAS Melaka sebelum ini yang berjaya menempatkan diri sebaris dengan pimpinan-pimpinan PAS di peringkat Pusat.

Seingat penulis Almarhum Ustaz Ab Ghani Ab Rahman satu-satunya pimpinan PAS Melaka yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang dimenangi dalam pemilihan. Yang lain sekadar menjadi AJK Pusat automatik sebagai pesuruhjaya.


Almarhum Ustaz Ab Ghani Ab Rahman

Almarhum Ustaz Ab Ghani adalah seorang pendakwah bebas yang popular sebelum beliau aktif berpolitik. Almarhum adalah salah seorang ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam RTM yang sangat popular sekitar tahun 1990-an dahulu. Tidak hairan beliau terpilih untuk jawatan itu.

Dalam banyak hal biasanya kemenangan seseorang tokoh itu atau prestasi sesebuah negeri dalam pilihan raya menjadi antara faktor yang memberi kekuatan kepada seseorang tokoh itu untuk mendapat tempat di peringkat Pusat. Walau pun bukan syarat rasmi namun ia biasanya memberi kelebihan.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 13 Jun 2022


Negeri Melaka sekerdil saiznya bukanlah negeri yang PAS mempunyai pengaruh yang kuat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di ketiga-tiga negeri ini PAS sekurang-kurangnya ada membentuk kerajaan negeri atau paling tidak pun akan mendapat kerusi yang banyak dan menjadi pembangkang yang kuat.

Selain negeri-negeri tadi, negeri seperti Pahang, Perlis, Perak dan Pulau Pinang adalah antara negeri yang tidak pernah tidak berjaya menyumbangkan kerusi, paling kurang pun satu kerusi semenjak Pilihan Raya Umum ke 10 pada tahun 1999.

PAS Johor pula mula mempunyai kerusi DUN pada PRU ke 11 (2004). Semenjak itu juga Johor tidak pernah gagal menyumbang kerusi untuk PAS. Tidak hairan Johor mampu melahirkan tokoh-tokoh sehingga ke peringkat Pusat sehingga ada bekas pemimpinnya pernah menjawat jawatan Naib Presiden.

PAS Melaka hanya berjaya memenangi satu kerusi pada PRU ke 13 (2013) di DUN Bukit Baru dengan calonnya Dr Md Khalid Kassim. Lama sebelum itu, PAS Melaka pernah memenangi satu lagi kerusi di DUN Tanjung Minyak melalui calonnya Mohammad Noor Nordin. Itu pun semasa PAS dalam BN pada PRU ke 4 (1974). Itu sahaja pencapaian setakat hari ini.

Sungguh pun dengan segala kekurangan, PAS Melaka tetap perlu mencungkil lagi tokoh-tokoh negeri ini yang berkebolehan untuk ditonjolkan agar mendapat tempat di peringkat Pusat.

PAS Melaka perlu mengenalpasti tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang-bidang profesional mahu pun keagamaan yang memang menjadi teras PAS. Selain itu. mereka juga harus memiliki kualiti kepimpinan dan pengurusan yang tinggi, yang menjadi pelengkap untuk menjadi pemimpin parti di peringkat Pusat.

Walau pun mungkin tidak termampu untuk menonjolkan tokoh ke jawatan seperti Naib Presiden, jauh sekali untuk jawatan timbalan presiden atau presiden, sekurang-kurangnya dapat diketengahkan bagi memberi sumbangan kepada parti sebagai AJK PAS Pusat atau jawatan-jawatan seperti Setiausaha Agung atau Ketua Penerangan.


Tuan Guru Zulkifli Ismail

Bersyukur pada Allah S.W.T, Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dalam Muktamar pemilihan yang lepas telah terpilih sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Ini antara pencapaian terbaik pernah dilakukan pimpinan PAS dari Melaka.

Sebagai sebuah parti yang sudah lama menjadi pembangkang dan sekarang ini pun hanya ‘sebelah kaki’ sahaja sebagai kerajaan, mungkin sukar untuk mengajak ahli-ahli PAS yang berkebolehan dan profesional untuk menjadi pimpinan di Melaka.

Mereka mungkin bimbang kerjaya asal mereka akan terancam sekiranya PAS menjadi pembangkang semula berdasarkan budaya menekan pembangkang yang biasa menjadi amalan parti yang berkuasa sebelum ini.

Mungkin PAS Melaka boleh membentuk bakal-bakal pemimpin ini di peringkat awal lagi. Ia boleh dilakukan dengan mengenalpasti bakat-bakat daripada peringkat sekolah lagi yang boleh dibentuk dari awal dalam kalangan anak ahli atau pimpinan PAS tempatan.

Perlu ada program yang tersusun yang bersifat jangka panjang untuk tujuan ini. Ini juga untuk mengelakkan daripada benih-benih hebat yang lahir daripada keluarga PAS ini terlepas kepada parti lain.

Usaha untuk mencungkil dan membina tokoh pimpinan bertaraf ‘Pusat’ ini perlu dilakukan sebagai salah satu elemen dalam memperkasakan PAS Melaka di persada politik tanah air. Walau pun Melaka kecil, buktikan bahawa ‘size doesn’t matter’.

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Pusat