Home Berita PAS Perlis

PAS Perlis adakan hi-tea bersama media

92
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 18 Jun: Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) PAS Negeri Perlis hari ini menganjurkan Program Hi-Tea Bersama Media bertempat di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini.

Program selama hampir dua jam itu berlangsung secara santai dan dihadiri oleh wakil media daripada sembilan buah agensi media, antaranya Bernama, Berita Harian, Awani dan Suara Merdeka.

Hadir mewakili PAS Negeri Perlis pula, pesuruhjayanya Mohd. Shukri Ramli, Ketua Penerangan Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Arau, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim.

Menurut pengarahnya, Husna Hashim, program berkenaan menjadi ruang pertemuan dengan wakil-wakil media daripada pelbagai agensi yang beroperasi di negeri ini.

“Meskipun berlangsung secara santai, banyak input yang kami peroleh pada hari ini manakala di pihak wakil media, mereka berpeluang mengemukakan soalan serta pandangan berkenaan pelbagai isu kepada wakil daripada PAS Perlis yang hadir pada hari ini.

“Alhamdulillah, banyak isu yang menjadi topik perbincangan pada petang ini termasuklah perkembangan semasa melibatkan Muafakat Nasional serta soal pembahagian kerusi di negeri ini.

“Di pihak PAS Negeri Perlis, kami sentiasa percaya interaksi dua hala sebegini amat penting khususnya dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada agensi-agensi media serta mengukuhkan hubungan sedia ada,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Mohd. Shukri dalam ucapannya turut menekankan kepentingan hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam membantu menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Jelasnya, perkembangan politik pada hari ini menyaksikan PAS bukan lagi sebuah parti yang ditakuti bahkan PAS telah meluaskan lagi hubungannya dengan pelbagai pihak termasuk pengamal media.

Beliau turut berterima kasih kepada para pengamal media yang sehingga kini sentiasa memastikan ketepatan maklumat yang dilaporkan.