Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Masuk politik sebelah kaki

122
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SESEORANG individu yang berminat dengan politik dan mahu menyerahkan jiwa raganya untuk politik mempunyai matlamat untuk bekerja dan berbakti untuk rakyat sebagai tugas utama.

Mereka tahu kerja sebagai seorang ahli politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat yang sekali gus dapat menaikkan nama parti yang didukungnya. Dengan menjadikan dirinya dan partinya itu disayangi oleh rakyat, maka mereka mengharapkan untuk memenangi pilihan raya dan berkuasa. Ini asasnya.

Namun ada golongan yang masuk politik tetapi tiada niat untuk berbakti kepada masyarakat, tetapi mereka mahu masuk politik semata-mata untuk mencari keuntungan peribadi dan perniagaan semata-mata.

Golongan inilah yang penulis sifatkan sebagai ahli politik yang masuk politik hanya sebelah kaki. Mereka masuk politik bukan kerana mereka mahu jadi orang politik. Mereka hanya mahu laba daripada kedudukan mereka.

Dan sudah pasti mereka akan mendukung parti politik yang memerintah sahaja. Tidak kira parti kerajaan atau pembangkang asalkan parti itu memerintah kerajaan samada di Persekutuan atau pun kerajaan negeri.

Hanya sebelah sahaja kaki mereka yang masuk dalam politik, sebelah lagi dalam dunia perniagaan. Kesibukan mereka lebih kepada berniaga berbanding berpolitik.

Jika parti politik yang mereka sertai hilang kuasa mereka dengan mudah akan menarik sebelah kaki mereka itu untuk diletakkan pada parti politik yang baru berkuasa.

Mereka ini golongan yang tidak ikhlas dalam menceburi politik. Malah mereka sebenarnya tidak minat dengan politik dan tidak berminat pun untuk menjalankan aktiviti yang biasa dilakukan ahli politik. Namun kerana kepentingan material, mereka masuk juga ke arena politik.

Golongan seperti ini berpendapat masuk politik tidak perlu sehingga terpaksa pening kepala menanggung beban agenda parti atau beban membantu rakyat. Cukup sekadar dapat membantu diri mereka sendiri untuk mendapatkan peluang bisnes.

Malah penulis banyak kali bertemu dengan orang-orang seperti ini. Mereka biasanya membidik jawatan yang rendah-rendah sahaja, asalkan mereka dilihat sebagai salah seorang daripada mereka yang berkuasa.

Mereka memilih sekadar untuk menjadi ahli jawatankuasa (AJK) biasa kerana jika memegang jawatan yang penting yang berstatus ketua mereka terpaksa pecah kepala berfikir untuk parti atau membantu rakyat.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 17 September 2021.

 

Dengan sekadar memegang jawatan sebagai AJK biasa ini gunanya ada dua. Yang pertama sebagai sandaran untuk mereka menakut-nakutkan pegawai kerajaan apabila mereka berurusan dengan mereka dalam soal permohonan permit, tender atau perolehan kerajaan. Dengan jawatan itu seolah-olah mereka membawa arahan parti yang sedang memerintah.

Yang kedua gunanya jawatan kecil dalam parti yang mereka pegang itu agar mereka lebih mudah mendekati penjawat-penjawat berstatus ketua di dalam organisasi parti mereka yang mungkin seorang pengurus GLC, wakil rakyat atau menteri yang berkuasa untuk memberi mereka peluang perniagaan.

Golongan ahli politik sebelah kaki ini boleh jadi pada peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi. Mereka yang terlibat dalam perniagaan besar dan korporat mungkin membidik untuk menjadi AJK parti peringkat kebangsaan. Bagi peniaga kecil-kecilan mungkin sekadar membidik untuk menjadi AJK parti peringkat cawangan atau kawasan parlimen.

Mereka akan menjalin hubungan baik bukan sahaja dengan pemimpin politik yang berkuasa dalam kerajaan malah mereka juga akan berbaik-baik dengan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam pemberian permit, tender atau perolehan.

Tidak boleh dinafikan bahawa pegawai-pegawai kerajaan juga sebenarnya ada sebahagian kuasa mengikut ruang lingkup mereka. Kuasa tidak hanya ada pada penjawat politik dalam kerajaan sahaja. Hakikatnya majoriti ahli jawatankuasa tender dan sebut harga adalah pegawai-pegawai tetap kerajaan.

Sebab itu kita melihat pelobi-pelobi seperti ini yang aktif dalam satu-satu parti politik tetap boleh ‘cari makan’ walau pun kerajaan bertukar. Ini adalah kerana mereka sudah ada hubungan yang kuat di peringkat ‘akar umbi’. ‘

‘Akar umbi’ yang penulis maksudkan di sini ialah sesetengah pegawai-pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan mereka. Boleh dikatakan pegawai kerajaan lebih bertahan lama di dalam jawatan mereka. Ini berbanding penjawat politik dalam kerajaan yang kerap bertukar. Kerana itu penulis gelarkan mereka sebagai ‘akar umbi’.

Ahli-ahli politik sebelah kaki ini walau pun disedari kewujudan mereka, namun mereka ini penting kepada sesetengah ahli politik korup kerana mereka akan menjadi ‘akauntan’ bagi kegiatan merampok dana kerajaan.

Maknanya penjawat-penjawat politik dalam kerajaan akan membantu mereka mendapatkan permit, tender atau perolehan. Sebagai peniaga mereka akan dapat untung daripada tender atau perolehan yang mereka dapat.

Dalam masa yang sama mereka akan memberikan komisen pada ahli politik yang mempunyai jawatan dalam kerajaan yang membantu mereka. You help me, I help you…

_______________________________________

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.