Home Melaka

Rencana | Maaf… bukan semua yang buka rumah kebajikan berniat baik

261
SHARE

 

Telefilem Tanah Kubur lakonan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar berkisar ‘penunggang kebajikan’

Oleh IBNU JANIE

SEMASA penulis bekerja sebagai staf akademik di sebuah kolej sekitar awal tahun 2000 dahulu, penulis berkawan dengan seorang staf pentadbiran. Sepanjang berkawan dengannya, penulis mengenali beliau sebagai seorang yang ‘kurang jujur’ dan ‘kurang integriti’ semasa bertugas. Tidak perlu penulis jelaskan dengan lebih teliti di sini.

Beliau juga aktif dalam parti politik kerajaan pada masa itu dan mempunyai jawatan juga di peringkat cawangan partinya. Selain itu beliau juga adalah seorang anggota jawatankuasa kampung di kampungnya pada masa itu.

Ramai juga antara kami yang tahu tentang sikapnya yang suka mengambil peluang terhadap apa-apa pembelian yang dilakukan oleh pihak kolej untuk habuan ke poketnya sendiri.

Satu hari penulis bersama dengan individu ini dan beberapa orang rakan sedang minum di kafetaria kolej. Pada masa itu seorang rakan penulis bertanya pada individu ini jika dia mempunyai sebuah bangunan sebesar kafe itu, apa yang dia ingin buat.

Individu itu menjawab, jika dia dapat bangunan sebesar itu, dia ingin buat rumah kebajikan seperti rumah anak-anak yatim, anak-anak terbiar atau rumah orang-orang tua.

Jawapan yang diberinya itu membuatkan penulis rasa bersalah terhadap apa yang penulis fikirkan tentangnya selama ini. Rupanya dia seorang yang berhati mulia di sebalik perangai tidak jujurnya itu.

Namun kekaguman penulis pada dirinya hanya bertahan beberapa saat sebaik dia menyambung lagi jawapannya tadi.

“Banyak untung tau!” Katanya membuatkan penulis menyesal kerana terlalu cepat berasa kagum dengan niatnya yang penulis sangka suci tadi.

Inilah realiti yang ada dalam masyarakat kita. Ada individu atau kumpulan yang sebenarnya menggunakan platform kebajikan untuk membina keuntungan dan kekayaan peribadi. Ini khusus untuk rumah-rumah kebajikan swasta, bukan yang disediakan dan ditadbir sendiri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rumah kebajikan milik JKM (Kredit foto : Google)

Jadi jika orang yang menggunakan agama untuk mencari untung dunia kita panggil sebagai ‘penunggang agama’ maka mereka yang mencari untung dengan kerja kebajikan ini kita boleh panggil sebagai ‘penunggang kebajikan’.

Sebelum penulis pergi jauh, penulis suka memaklumkan bahawa tulisan ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu, organisasi atau peristiwa yang tertentu. Ia adalah satu pandangan umum terhadap realiti sebenar ‘dunia kebajikan’ ini. Jika ada, ia adalah kebetulan semata-mata.

Nak dijadikan cerita, baru-baru ini penulis dihubungi seorang lelaki yang tidak penulis kenali. Namun katanya dia pernah bertemu dengan penulis dalam satu program yang penulis ada membuat liputan.

Dipendekkan cerita, lelaki ini menjelaskan maksudnya yang dia meminta agar penulis dapat membuat liputan tentang seorang rakannya yang sangat dermawan sambil mengumpamakan rakannya tadi seperti seorang individu yang terkenal dengan aktiviti kebajikan di Malaysia ini.

Malah lelaki ini berkata dia dan rakannya itu sanggup membayar saguhati kepada penulis jika penulis boleh membuat liputan dan publisiti tentang program kebajikan rakannya itu tadi. Lalu penulis berkata dalam hati bahawa sekarang ini semua orang mahu jadi seperti ‘orang itu’ dengan modus operandi yang sama.

Tolong, tolong juga…

Mungkin ada antara kita yang pernah menonton telefilem Tanah Kubur lakonan Ahmad Tarmimi Siregar bersama Almarhum M. Rajoli yang diterbitkan pada tahun 2004. Dalam filem itu Ahmad Tarmimi melakonkan watak Datuk Fadhli, seorang tokoh korporat dan hartawan yang sangat dermawan.

Namun sikap dermawannya itu lebih kepada untuk riak dan menunjuk-nunjuk. Dan yang lebih teruk lagi dia membuat untung melalui aktiviti kebajikan yang dilakukannya.

“Tolong, tolong juga. Untung kita buat juga,” itulah dialog Datuk Fadhli yang penulis masih ingat hingga hari ini.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Berbalik kepada perbualan penulis bersama dengan bekas rakan sekerja penulis tadi yang memberi cadangan untuk membuka rumah kebajikan untuk anak yatim atau orang-orang tua, sebenarnya inilah realiti yang banyak berlaku sekarang ini.

Ramai yang membuka rumah kebajikan dengan tujuan untuk keuntungan. Penulis difahamkan kerajaan ada menyediakan geran untuk mereka yang mengusahakan rumah-rumah kebajikan ini.

Selain itu pengusaha-pengusaha rumah kebajikan ini boleh meminta derma daripada orang ramai untuk menampung kos operasinya. Dan derma inilah antara hasil keuntungan yang besar pada sesetengah pengusaha-pengusaha yang tidak ikhlas ini.

Kadangkala penubuhan yayasan juga antara modus operandi ‘penunggang kebajikan’ ini untuk mengutip sumbangan orang ramai dengan cara yang lebih berprestij. Dan penggunaan yayasan untuk tujuan ‘cuci wang’ pernah penulis dedahkan dalam satu rencana penulis berkaitan isu ini.

Sekadar gambar hiasan (Kredit foto : Google)

‘Penunggang-penunggang kebajikan’ ini juga banyak yang menggunakan aktiviti kebajikan untuk membina pengaruh dalam masyarakat. Dan dalam dunia siber sekarang pengaruh dan dikenali boleh menjadi sumber pendapatan.

Selain boleh mengutip derma dengan mudah mereka juga boleh mendapat pendapatan yang sah melalui Youtube jika saluran video mereka dilanggan dan ditonton oleh ramai orang.

Harus diingat bahawa apa yang penulis ingin sampaikan ini bukanlah bermaksud untuk menuduh bahawa semua individu atau organisasi yang aktif melakukan aktiviti kebajikan itu sebagai ‘penunggang kebajikan’. Tidak.

Kita harus ingat bahawa hidup ini pasti ada lawannya, yang baik lawannya jahat; yang tulin lawannya palsu dan yang ikhlas lawannya riak dan bermaksud tertentu.

Memang masih ramai yang berbuat kebajikan dengan ikhlas untuk membantu dan menjalankan tanggungjawab sebagai manusia. Namun ada yang membuat kebajikan untuk dikenang, disanjung, dan lebih teruk lagi untuk membuat untung dan menipu orang ramai.

Ia umpama pisau yang boleh digunakan untuk tujuan baik seperti menyiang ikan atau pun untuk tujuan jahat seperti membunuh orang.

Dan tidak dapat dinafikan tindakan ‘penunggang-penunggang kebajikan’ ini telah memburukkan nama mereka yang benar-benar ikhlas melakukan aktiviti kebajikan. Orang ramai sudah jadi bimbang dan curiga untuk menyumbang.

Namun dari sudut pahala pula, hasil rujukan penulis pada pandangan-pandangan ahli agama, memang sedekah dan derma itu tetap dapat pahala walau pun penderma itu ditipu. Tiada masalah dalam hal ini. Sungguh pun begitu kita kena berhati-hati agar tidak membantu menyuburkan ‘penunggang kebajikan’

Penulis adalah Ketua Editor Pusat portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka