Home Artikel PAS Melaka

Rencana | #Kerajaangagal : PH yang tidak tahu malu

222
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEKARANG ini ‘cyber trooper’ Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya sedang mempromosikan tanda pagar (hashtag) #kerajaangagal untuk memburuk-burukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mereka cuba untuk memberikan imej buruk terhadap Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini dengan tanda pagar tersebut.

Tapi yang memburuk-burukkan PN itu adalah PH yang baru sahaja runtuh kerajaannya lebih setahun lepas kerana Perdana Menterinya meletakkan jawatan. Sebuah kerajaan yang sudah terbukti gagal!

Dalam bahasa Inggeris ada satu pepatah yang berbunyi ‘look who’s talking‘. Kalau kita terjemah secara terus ia akan bermaksud ‘siapa yang cakap itu?’ Atau dalam terjemahan sebenarnya bermaksud ‘cakap tak serupa bikin’ atau pun lebih tepat lagi ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

Sebenarnya penulis cukup kagum dengan ketabahan PH tanpa rasa malu melabel PN sebagai kerajaan gagal sedangkan mereka baru sahaja kehilangan kerajaan disebabkan kegagalan mereka untuk mentadbir.

Cuba ingat semula zaman.pemerintahan PH dahulu, perkara yang sering menjadi olok-olokan terhadap jemaah menteri PH ialah persoalan adakah mereka mempunyai grup ‘Whatsapps‘? Perkara Ini timbul adalah kerana pada masa itu berlaku banyak percanggahan arahan antara satu menteri dengan menteri yang lain.

PH kalah dalam banyak PRK

PH ditolak teruk dalam majoriti Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang disertainya. Tidak sepadan dengan sifat mereka sebagai parti Kerajaan Persekutuan. Biasanya sesuatu parti Kerajaan Persekutuan yang kalah di beberapa kerusi semasa PRU biasanya mampu merampasnya semula jika ada PRK di situ.

Ini adalah kerana pada waktu PRK kerajaan boleh menumpukan semua jenteranya di situ dan mampu merampasnya semula daripada pembangkang. Ini yang biasa berlaku pada zaman BN.

Tapi pelik pula pada zaman PH. Banyak kerusi yang mereka menangi semasa PRU kalah pada masa PRK. Jauh sekali untuk merampas kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU15 itu. Sedangkan pada masa itu mereka ada kelebihan kerana mereka parti Kerajaan Persekutuan.

Pada PRU14 dahulu mungkin ada orang yang mengundi BN kerana status quo BN sebagai parti kerajaan atau takut mengundi pembangkang. Sepatutnya selepas selesai PRU14 pengundi-pengundi ini tidak lagi takut untuk tidak mengundi BN kerana BN tidak lagi berkuasa.

Sepatutnya status quo itu beralih kepada PH. Tapi seperti yang kita tahu, PH tetap kalah dalam PRK! Nak kata PH pada masa itu jadi sebuah kerajaan yang kuat integriti dalam soal pilihan raya sehingga mereka kalah kerana tidak memanipulasi jentera kerajaan, tidak juga.

Meriah program-program agensi-agensi kerajaan untuk digunakan sebagai jentera meraih undi PH. Saling tak tumpah seperti masa BN menjadi kerajaan dahulu. Walau pun amalan-amalan itu dikritik hebat PH semasa mereka jadi pembangkang dahulu.

Malah mereka popular dengan jawapan ‘program ini sudah dirancang lebih awal sebelum tahu berlakunya PRK’ yang menjadi bahan jenaka.

Elok pula kebetulan agensi-agensi kerajaan ini merancang program untuk berkampung di situ, tiba-tiba mati pula wakil rakyat di situ. Dan program itu pula kebetulan secara tak sengaja sedang elok tempohnya semasa berlaku kempen PRK di situ. Wah! Kebetulan yang terindah. Lebih daripada Tok Nujum!

Sudahlah berdiri sebagai parti kerajaan dan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen dengan agresif sekali, namun tetap kalah besar. Itu sudah dikira kerajaan yang maha gagal!

Sebenarnya kegagalan kerajaan PH semasa mereka berkuasa dahulu adalah sesuatu kegagalan yang maha dahsyat. Tetapi PH tetap tidak tahu malu!

Kerajaan Muhyiddin dengan ujian maha dahsyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya sekarang ini sedang berhadapan dengan satu situasi yang tidak pernah dihadapi oleh mana-mana parti pun semenjak merdeka. Berdepan sebuah bencana yang memerlukan biaya kewangan yang sangat besar tetapi hasil kerajaan yang sangat sedikit kerana ekonomi terjejas teruk.

Jika PH sedang memerintah sekarang belum tentu PH boleh melaluinya. Mungkin sebab itu hikmahnya Allah swt jatuhkan PH dahulu sebelum Covid-19 mengganas. Jika PH yang masih memerintah mungkin hancur lebur negara ini kerana menteri-menterinya yang tidak cekap!

Secara analoginya, seorang ahli perniagaan yang kaya raya yang memberikan pelajaran yang sebaiknya hingga anaknya menjadi seorang doktor tidak pelik. Tetapi seorang penoreh getah yang miskin berjaya mendidik anaknya menjadi seorang doktor itu baru hebat.

Sebaliknya seorang penoreh getah yang anaknya tercicir dalam pelajaran tidak pelik kerana memang mereka tidak mampu. Tapi seorang kaya yang anaknya tercicir dalam pelajaran adalah pelik kerana kemampuan yang dimilikinya.

Katalah sekali pun kerajaan Muhyiddin gagal, tak pelik dengan segala dugaan besar yang sedang dihadapinya yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana Perdana Menteri pun sebelum ini. Namun sehingga kini kerajaan Muhyiddin belum lagi gagal.

Tetapi kerajaan PH yang gagal dalam keadaan tiada krisis besar seperti Covid-19 pada masa itu, memang sesuatu yang pelik. Dalam keadaan hasil petroleum pada masa itu masih tinggi; dalam keadaan rakyat masih ramai yang bekerja, tidak seperti sekarang yang pengangguran tinggi.

Dalam keadaan perniagaan pada masa itu tidak terjejas, tidak seperti sekarang. Tapi kerajaan PH telah pun melalui kegagalan dalam membantu rakyat terutama dalam soal kebajikan pada masa itu.

Dan paling melucukan kerajaan PH diruntuhkan oleh Perdana Menterinya sendiri yang meletak jawatan tapi masih sibuk menyalahkan orang lain.

Dengan muka tebal dan muka tembok PH tanpa segan silu pula menjaja yang PN pula sebagai kerajaan gagal. Sungguh tidak tahu malu! Itu ceritanya.

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) di ruangan Komen Editor pada 30 April 2021 bilangan 2645

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .