Home Melaka

Rencana : Juarai kesederhanaan perbelanjaan

38
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MENGIKUT catatan sejarah, bermula daripada Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan maka sistem pemerintahan kerajaan Islam pada masa itu bertukar menjadi sistem beraja yang diwarisi turun temurun.

Kebiasaan sifatnya kehidupan raja-raja sukar untuk dipisahkan dengan imej kemewahan, begitu juga dengan dinasti Bani Umaiyah ketika itu. Dengan kemakmuran wilayah jajahan Islam ketika itu tambah merasionalkan perkara ini.

Dan seperti yang kita biasa baca daripada sejarah, munculnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang bersusur galur kepada Umar Al Khattab R.A, telah memecah tradisi kemewahan raja-raja Islam Bani Umaiyah ketika itu.

Antaranya, Umar Abdul Aziz menjual kuda-kuda dan aset-aset diraja ketika itu untuk digunakan bagi perbelanjaan kerajaan. Dan kisah integriti, ketelitian dan kecermatan baginda mengurus wang kerajaan sudah diketahui umum dan tidak perlu penulis riwayatkan di sini.

Dalam ramai-ramai Khalifah Bani Umaiyah itu ada seorang yang istimewa seperti Umar Abdul Aziz. Ini menunjukkan manusia seperti ini tidak ramai. Sesuatu yang jarang berlaku itu adalah ganjil. Jika ia berlaku, itu yang dinamakan kelainan. Kelainan ini yang menjadikan sesuatu itu istimewa.


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 29 Julai 2022


 

Sebagai parti Islam pula, PAS melalui pimpinan-pimpinannya harus menunjukkan kelainan agar dilihat istimewa. Sekiranya tindakan pimpinan PAS sama seperti ahli-ahli politik yang lain, maka rakyat akan melihat bahawa tidak ada bezanya antara pimpinan PAS dan pemimpin parti-parti lain.

Pada masa ini isu kenaikan harga barang benar-benar menghantui rakyat. Walau pun hakikatnya krisis ini adalah global namun kerajaan sedia ada tidak dapat lari daripada menjadi ‘serangan’ rakyat yang ‘naik hantu’. Peranan pembangkang pula dalam mengapi-apikan isu ini menjadikan ia lebih panas.

Perkara yang paling sensitif pada masa ini ialah jika rakyat melihat pemimpin bersenang-senang dan bermewah-mewahan.

Ada pemimpin kerajaan yang memang kaya sebelum jadi pemimpin lagi. Namun, bermewah-mewahan dengan kemewahan peribadi itu pun sesuatu yang menjengkelkan di mata rakyat, apatah lagi jika seseorang pemimpin itu bermewah-mewah dengan penggunaan wang kerajaan.


Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

 

Kerajaan-kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh PAS harus cermat dalam membuat apa-apa keputusan yang melibatkan isu ini. Kenaikan apa-apa elaun, gaji atau imbuhan kepada wakil rakyat atau pun jawatan-jawatan politik lain dalam kerajaan harus dielakkan daripada berlaku lagi.

Pada masa ini di mana pentadbiran berada di tengah-tengah garis masa, mungkin isu ini tidak ketara sangat. Ia akan timbul apabila berlaku perubahan dalam kerajaan disebabkan oleh pilihan raya.

Selepas pilihan raya, sekiranya PAS masih ditampuk kuasa, mungkin berlaku perubahan dari segi portfolio exco, menteri atau peneraju di agensi-agensi kerajaan atau GLC.

Jika ini berlaku elakkanlah daripada berbelanja besar untuk melakukan renovasi pejabat baharu. Renovasi apa yang perlu sahaja. Jika masih elok untuk digunakan maka guna sahajalah yang lama dengan sedikit penyelenggaraan.

Elakkan daripada membeli kenderaan rasmi baharu jika kenderaan lama masih elok untuk digunakan. Jika mengambil jawatan daripada penyandang lama gunakanlah kenderaan yang digunakan sebelum itu jika masih baik kondisinya.

Jangan jadikan kadar maksima yang ditetapkan oleh peraturan perbelanjaan sebagai takat perbelanjaan yang digunakan dengan alasan ia memang dibenarkan undang-undang.

Jika seseorang penjawat politik itu layak menggunakan kenderaan rasmi bernilai RM500 ribu tetapi dia beli kenderaan yang berharga RM700 ribu, maka itu penyelewengan. Jika kelayakannya RM500 ribu dan dia beli kenderaan RM500 ribu, maka itu biasa. Tetapi jika dia layak RM500 ribu tetapi dia beli kenderaan berharga RM200 ribu maka itu barulah lain dari yang lain.


‘Banglo’ Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Jika tidak silap penulis, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan Tan Sri Khalid Ibrahim semasa menjadi Menteri Besar dahulu menggunakan kenderaan sendiri sebagai kenderaan rasmi. Sebagai kemudahan, penyelenggaraan kenderaan mereka ditanggung kerajaan. Ia lebih menjimatkan wang kerajaan.

Belilah kenderaan yang tidak terlalu mewah walau pun ia melibatkan keselesaan dan kesihatan. Korbankan sedikit keselesaan agar tidak timbul fitnah pada rakyat dan tidak menyakiti hati mereka secara senyap.

Pimpinan PAS di dalam kerajaan harus menunjukkan mereka benar-benar lain. Sebagaimana lainnya Khalifah Umar Abdul Aziz berbanding khalifah Bani Umaiyah yang lain.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat dan Ketua Editor Negeri Melaka bagi Portal Berita PAS.

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH