Home Melaka

Rencana : Impak kenaikan harga sepatutnya boleh dikurangkan

440
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MEMANG kita sekarang berada di dalam krisis kenaikan harga yang sangat meruncing. Hampir semua barang yang dijual di pasaran naik harga. Kenaikan harga ini sudah pasti akan menimbulkan krisis antara pengguna dan peniaga.

Peniaga mahu menaikan harga barang jualan mereka kerana mendakwa kos meningkat. Pengguna pula mendakwa sebenarnya peniaga sengaja menaikkan harga. Ini telah menimbulkan prasangka yang teruk antara peniaga dan pengguna.

Biasa kita dengar kenaikan kadar bil air, tambang pengangkutan atau lain-lain produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Awal tahun ini TNB telah mengumumkan bahawa tarif elektrik bakal naik. Namun ia kemudiannya ditangguhkan kerana desakan banyak pihak. Sebelum ini pun banyak kali sudah naik. Semuanya kerana kenaikan kos.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Walau pun kerajaan mempunyai agensi yang mengawal kenaikan harga barang, namun sesetengah situasi berlaku pula kenaikan harga produk atau caj perkhidmatan oleh GLC atau lain-lain agensi-agensi kerajaan itu sendiri.

Bagaimana kerajaan yang kita harapkan untuk mengawal harga barangan di pasaran tetapi tidak dapat mengawal harga produk yang dikeluarkan GLC atau agensi miliknya daripada naik?

Ianya adalah kerana dalam sesetengah keadaan kenaikan kos itu bukan sekadar alasan, tetapi ia memang berlaku. Jika GLC pun menghadapi masalah kenaikan kos, lebih-lebih lagilah untuk perniagaan biasa.

Apa yang penulis cuba sampaikan ialah dalam situasi kenaikan harga, kita tidak boleh terus menuduh bahawa peniaga memang sengaja menaikkan harga untuk mendapat untung lebih atau tamak. Walau pun peniaga tamak yang sengaja menaikan harga memang wujud dalam sesetengah situasi, tetapi bukan dalam semua situasi.

Bukan untuk mempertahankan peniaga, tetapi semua pihak harus realistik dan melihat kepada masalah sebenar yang berlaku, kemudian selesaikan masalah itu dari puncanya.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Sebab itu penulis berkali-kali menegaskan bahawa isu kenaikan harga barang ini harus ditangani secara holistik yang mengambilkira semua faktor secara keseluruhan. Bukan menghasilkan penyelesaian yang mencetuskan satu masalah baharu pula.

Kerajaan pula harus bertindak dengan pertimbangan dan penyelidikan yang tuntas. Bukan mengikut sama emosi rakyat sekadar untuk mengambil hati dan meraih sokongan mereka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 24 Jun 2022

 

Sebagai contoh jika penguatkuasa terus menyaman penjual yang menaikkan harga, sekadar menunjukkan pada pengguna bahawa kerajaan tegas, namun jika peniaga memang rugi dengan harga yang ditetapkan kerajaan, ia tidak akan dapat menurunkan harga semudah itu.

Dari sudut ekonomi, kenaikan harga ini sebenarnya ada dua kategori iaitu pertama kerana kenaikan kos dan kedua bukan kerana kenaikan kos.

Untuk produk yang harganya naik kerana peningkatan kos maka ia perlu diatasi dengan mencari jalan menurunkan kos yang naik itu. Sebagai contoh, sekiranya kos makanan haiwan ternakan naik maka alternatif perlu dicari bagi mengurangkan kos tersebut.

Kenaikan yang bukan disebabkan kos pula biasanya berlaku kerana peniaga menaikkan harga akibat kekurangan bekalan atau kenaikan mendadak dalam permintaan atau sengaja menaikkannya untuk meningkatkan keuntungan sedangkan kos mereka tidak meningkat pun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selama ini dilihat banyak bersikap reaktif dan sangat tidak proaktif dalam menangani isu kenaikan harga.

 

 

 

Contohnya, kita boleh lihat semasa beberapa kali bulan puasa yang lepas bagaimana KPDNHEP hanya bertindak selepas orang ramai marah kerana harga ayam, daging dan telur yang meningkat. Kemudian itu baru mereka mengeluarkan harga siling.

Sepatutnya sebelum bulan puasa, harga maksimum sudah diuar-uarkan dan amaran harus diberi awal kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga sebelum ia berlaku.

Sekiranya KPDNHEP bersikap pro-aktif mereka sebenarnya boleh sekurang-kurangnya mengekang kenaikan harga yang bukan disebabkan oleh kenaikan kos. Produk yang tidak berlaku kenaikan kos tidak merugikan peniaga jika harganya dikawal.

Katalah ada 100 produk yang naik harga. Jika 40 daripadanya memang mengalami kenaikan kos, sedangkan 60 lagi sengaja dinaikan, maka kerajaan sepatutnya dapat menghalang 60 produk itu daripada naik harga. Tidaklah gawat sangat.

Jadi, dua perkara penting yang harus kerajaan lakukan, pertama kawal harga produk yang tidak menghadapi peningkatan kos dan kedua, cari solusi menurunkan kos bagi produk yang kosnya meningkat.

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Pusat