Home Berita PAS Melaka

Rencana : Halatuju politik negara | Adakah kronisme masih relevan?

1206
SHARE

SEWAKTU saya berbaris menunggu giliran untuk masuk ke sebuah farmasi di Bandar Melaka tiba-tiba seorang wanita pertengahan umur berkata kepada rakannya “Saya bosanlah cerita politik” dengan menunjukkan telefon bimbitnya kepada rakanya yang juga menunggu giliran untuk masuk ke farmasi tersebut.

Apakah benar rakyat Malaysia bosan dengan politik?

Tinjauan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) tahun 2018 mendapati dari tujuh topik berkaitan dengan kegemaran rakyat Malaysia didapati isu politik berada di tempat paling akhir atau corot. Isu berkaitan Pendidikan menduduki tempat teratas.

Majoriti  pengundi di kalangan rakyat Malaysia sebenarnya adalah mereka yang tidak berparti dengan istilah ‘atas pagar’ atau ‘silent voters’. Undi mereka inilah sebenarnya yang akan menentukan kemenangan sesebuah parti politik.

Kalau diihat dari keputusan PRU14 yang lalu, komponen parti dalam PH seperti Bersatu, PKR dan AMANAH mereka tidak mempunyai kekuatan jentera pilihanraya yang disokong dan digerakkan di peringkat akar umbi seperi UMNO dan PAS, tetapi mereka boleh menguasai banyak kerusi terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.

UMNO hanya mampu menguasai di kawasan-kawasan luar bandar dan daerah perkampungan yang tidak terdedah dengan pengaruh media sosial. Sedangkan PAS menguasai negeri-negeri tradisional yang  mempunyai kekuatan institusi pondok  dan berlatarbelakangkan agama yang kuat.

Sebenarnya rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik adu domba, politik korup yang membesarkan perut sendiri dan kroni serta politik berebut jawatan dan pengaruh yang mana semuanya ini berhujung dengan  ringgit dan habuan dunia semata-mata.

Rakyat Malaysia dahagakan sistem pemerintahan yang dibentuk oleh orang-orang politik yang telus, bersih, bebas dari pengaruh kronisme dan nepotisme, bebas dari perebutan jawatan bagi mengumpul wang dan harta.

Rakyat mahukan sebuah pemerintahan yang adil melayani semua kaum tanpa diskriminasi dan pilih kasih.

Itulah antara faktor yang telah menumbangkan kerajaan BN dalam PRU ke 14 yang lalu. Isu 1MDB dan lain-lainnya yang dimainkan oleh PH hanyalah sekadar pencetus kepada gelombang kebencian kepada politik kronisme dan cinta jawatan seperti yang disebutkan di atas.

Malangnya walaupun PH diberi mandat untuk menjadi kerajaan, jelas kelihatan mereka juga tidak dapat memisahkan diri mereka dengan amalan-amalan yang dinyatakan di atas, walaupun tidak separah apa yang dilakukan BN sebelum ini tetapi cukup dalam tempoh 22 bulan meraka berkuasa rakyat dapat merasakan pahit getir hidup di dalam sebuah pemerintahan yang dikuasai oleh PH yang didominasi oleh DAP.

Sejarah tidak akan menipu, PH menang bergaya di dalam beberapa pilihanraya kecil seperti di Balakong, Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson tetapi semenjak dari wujudnya persefahaman baik antara dua gergasi besar politik Melayu iaitu UMNO dan PAS,  BN telah memenangi kesemua pilihanraya kecil selepas itu dengan penuh keyakinan. Inilah antara isyarat bahawa pengundi semakin bijak dan mereka punya kuasa untuk menentukan corak pemerintahan dan masa depan rakyat dan negara.

Orang-orang politik mesti tahu membaca minda rakyat terutama mereka yang disebut sebagai ‘Pengundi Atas Pagar’ di mana kelompok ini merupakan golongan terbesar di kalangan pengundi. Mereka punya pengaruh besar dan mampu mempengaruhi yang lainnya untuk melakukan kejutan dan perubahan politik agar dapat melahirkan sistem pemerintahan yang bersih, telus, adil dan bebas dari kronisme, budaya rasuah dan lain-lain.

Oleh itu menuju PRU15, walaupun UMNO berkuasa kembali di atas talian hayat yang diberikan oleh PAS dan Bersatu atas nama PN maupun MN, tetapi ini bukanlah sutu jaminan bahawa kemenangan PRU15 dalam tangan.

Rakyat, terutama pengundi atas pagar adalah hakim. Mereka sedang memerhatikan gelagat dan tingkah laku orang-orang politik yang 22 bulan yang lalu kehilangan kuasa dan jawatan sekarang kembali berada dipersada poltik tanah air.

Apakah mereka ini benar-benar telah bermuhasabah dan berubah atau menjadi kaduk naik junjung apabila kekuasaan berada di tangan. Apakah mereka benar-benar telah membuang semua budaya lama yang menjadi punca perubahan landskap politik Malaysia?

Apakah terbentuknya MN atau PN dengan kehadiran PAS di dalamnya betul-betul dapat merubah sikap lama menjadi lebih baik, bersih, tulus, ihklas untuk rakyat dan sebagainya?

Sama-samalah kita lihat sehingga ke PRU yang ke 15. Dan jangan lupa rakyat adalah hakim yang akan menentukan. Harus diingat bahawa rakyat yang semakin berinformasi dan tidak ada maklumat yang boleh disembunyikan dan mereka dahagakan ketelusan dan keadilan.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HJ. BAKRI B. JAMALUDDIN
• Ketua Penerangan PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu

Wartawan Rakyat Melaka (WARM)