Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Gabenor-gabenor Negeri Melaka – Menanti Gabenor Pertama Anak Jati Melaka

1943
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Khalil adalah Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke enam. Beliau dilantik kali pertama pada 4 Jun 2004 dan masih memegang jawatan ini sehingga kini.

Sebelum ini jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka ini dipanggil Gabenor Negeri Melaka. Istilah gabenor digunakan dari tahun 1957 hingga 1975. Selepas itu ia ditukar kepada Yang Dipertua Negeri Melaka. Sebab itu kebanyakan orang Melaka terutama orang-orang lama lebih senang dan biasa menyebutnya sebagai gabenor.

Jawatan gabenor wujud di negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Begitulah nasib rakyat Melaka, walau pun Kesultanan Melayu Melaka adalah empayar yang sangat agung suatu masa dahulu tetapi akibat penjajahan, akhirnya Melaka sudah tidak beraja lagi sehingga ke hari ini.

Semenjak jawatan Gabenor Negeri Melaka diwujudkan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan ada enam orang tokoh yang telah menjawat jawatan ini. Ironinya, tidak ada seorang pun dari mereka adalah anak jati Negeri Melaka.

Gabenor Negeri Melaka yang pertama, TYT mendiang Tun Leong Yew Koh yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1959 adalah orang Perak. Mendiang dilahirkan pada 22 Ogos 1888 di Salak Utara Perak. Mendiang pernah menjadi peguam di Ipoh, Perak.

Sebelum dilantik menjadi gabenor, mendiang adalah Menteri Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat dalam Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1955.

Gabenor Melaka yang kedua, TYT Allahyarham Tun Haji Abdul Malek bin Yusof yang berkhidmat dari tahun 1959 hingga 1971, adalah orang Negeri Sembilan. Allahyarham dilahirkan pada tahun 1899 di Kampung Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 1948 hingga 1953. Sebelum dilantik menjadi Gabenor Melaka, Allahyarham adalah Speaker Majlis Perundangan Persekutuan dari 1957 hingga Jun 1959.

Gabenor Negeri Melaka ketiga, TYT Allahyarham Tun Hj Abdul Aziz bin Hj Abdul Majid yang berkhidmat dari tahun 1971 hingga 1975, adalah orang Selangor. Allahyarham dilahirkan pada 10 Mac 1908 di Kajang, Selangor. Pada 15 April 1952, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan kemudiannya menjadi Menteri Besar Selangor pada 1 September 1954.

Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Gabenor Negeri Melaka ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga tahun 1971.

Gabenor keempat, TYT Allahyarham Tun Syed Zahiruddin Bin Syed Hassan yang berkhidmat dari tahun 1975 hingga 1984, adalah orang Perak. Allahyarham dilahirkan pada 11 Oktober 1918 di Pondok Tanjung, Kerian Perak.

Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Gabenor Negeri Melaka ialah sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Duta Malaysia ke Republik of Ireland dari 1 April 1974 hingga 18 Mei 1975.

Gabenor kelima, TYT Allahyarham Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al Haj Bin Syed Mahmud Shahabudin yang berkhidmat dari tahun 1984 hingga 2004, adalah orang Kedah. Allahyarham dilahirkan pada 14 Mei 1925 di Kulim, Kedah.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Besar Kedah dari tahun 1967 hingga 1978. Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Gabenor Negeri Melaka ialah sebagai Duta Besar Malaysia ke Singapura dari tahun 1982 hingga 1984.

Gabenor keenam, TYT Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Bin Yaakob yang berkhidmat dari tahun 2004 hingga sekarang, adalah orang Pahang. Beliau dilahirkan pada 29 Disember 1937 di Kuantan, Pahang.

Beliau pernah menjadi Menteri Besar Pahang selama tiga penggal bermula pada tahun 1986. Jawatan terakhir beliau di dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Gabenor Negeri Melaka ialah sebagai Menteri Penerangan sehingga tahun 2004.

Dari sumber rujukan penulis, bagi negeri Sabah dan Sarawak semua gabenor-gabenor mereka adalah terdiri daripada anak negeri masing-masing. Sementara bagi Pulau Pinang pula, daripada tujuh orang gabenor yang pernah berkhidmat, seorang daripadanya ialah anak jati Pulau Pinang iaitu Tun Datuk Seri Hj Abdul Rahman Abbas. Tetapi bagi Negeri Melaka, belum ada lagi anak jati Melaka yang dilantik menjadi Gabenor Negeri Melaka.

Sebenarnya rakyat Melaka telah lama menunggu-nunggu agar satu masa nanti akan ada juga anak jati Negeri Melaka yang akan dilantik sebagai Gabenor Negeri Melaka.

Penulis ingat lagi sekitar tahun 90an ada ura-ura yang Allahyarham Tun Ghaffar Baba ketika itu bakal meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana disebut-sebut akan dilantik sebagai Gabenor Negeri Melaka yang baru. Pada masa itu di pihak PAS telah membuat persediaan kemungkinan berlaku pilihanraya kecil di parlimen Jasin susulan maklumat tersebut. Tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Tidak pasti samada pihak kerajaan yang tidak jadi melantik Tun Ghaffar sebagai gabenor atau berita bahawa Tun Ghaffar bakal dilantik sebagai gabenor itu adalah sekadar khabar angin. Jika tidak, sudah tentu rakyat Melaka pada waktu itu akan mendapat gabenor pertama dari kalangan anak jati Melaka.

Pada pandangan penulis, bagi pelantikan baru Gabenor Negeri Melaka seterusnya, selain dari tokoh itu sepatutnya orang Melaka, sebaik-baiknya tokoh itu biarlah bukan orang politik. Sekiranya kerajaan PH Melaka dapat melakukannya ia menunjukan kerajaan PH Melaka adalah kerajaan yang ada prinsip dan berjiwa besar.

PH yang sebelum ini amat menjengkeli cara kerajaan BN dahulu yang kerap melantik ahli-ahli politik kerajaan ke jawatan-jawatan kerajaan sepatutnya membuat perubahan di Melaka dengan tidak lagi melantik orang politik ke jawatan gabenor ini.

Sebenarnya ramai tokoh-tokoh dari kalangan rakyat Melaka yang banyak berjasa samada dalam perkhidmatan awam atau swasta. Antara nama yang pernah meniti di bibir rakyat Melaka sebagai calon Gabenor Negeri Melaka ialah Tan Sri Rahman Arshad, seorang tokoh pendidik yang sangat terkenal.

Penulis percaya ramai tokoh-tokoh akademik yang sudah bersara dalam kalangan rakyat Negeri Melaka yang berkaliber yang layak untuk diletakkan di kedudukan itu.

Atau kerajaan PH Melaka boleh mencari tokoh-tokoh ulama bukan politik yang banyak berjasa dan terkenal dengan keilmuannya. Barulah institusi ulama dapat dimuliakan. Jika kerajaan Melaka di bawah pimpinan Adly Zahari berjaya membuat perubahan ini pasti beliau akan dikenang oleh rakyat Melaka bukan sahaja sehingga ke anak, cucu dan cicit tetapi juga sehingga piut, piat dan miat.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah