Home Melaka

Rencana | ‘Food security’ negara: Apakah masih mampan?

511
SHARE

Oleh BAKRI JAMALUDDIN

TAHAP kebergantungan Malaysia terhadap import makanan terlalu tinggi. Tahun 2020 sahaja Malaysia mencatatkan nilai import makanan berjumlah RM55.5 bilion, sedangkan nilai eksportnya pula hanya RM33.8 bilion.

Peningkatan ini secara langsung mendorong kepada lonjakan defisit perdagangan produk makanan dengan jumlah RM21.7 bilion iaitu telah meningkat sebanyak 24 peratus berbanding tahun 2019. Jika dilihat jumlah terkumpul import produk makanan selama 10 tahun adalah sekitar RM482.8 bilion berbanding eksport RM296 bilion.

Sektor pertanian merupakan salah satu tonggak ekonomi negara pada awal tahap pembangunan negara di tahun 70an , di mana sektor ini telah menyumbang sekitar 28.8 peratus kepada KDNK Negara. Ianya telah menurun kepada 22.9 peratus pada tahun 80an. Dan hari ini sektor pertanian hanya menyumbang sekitar 7.4 peratus secara keseluruhan kepada KDNK negara. Pun begitu sebahagian besar daripadanya adalah daripada sektor perladangan dan komoditi sawit, getah, koko dan lain-lainnya.

Penurunan ini adalah disebabkan perubahan dasar negara yang memberikan penumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan melalui Pelan Induk Perindustrian Malaysia yang mana sektor pembuatan dan perkhidmatan hari ini telah mengambil alih peranan sektor pertanian dengan nilai sumbangan masing-masing sekitar 24.6 peratus dan 57 peratus kepada KDNK negara.

Apa yang menarik di sini adalah nilai import produk makan terus meningkat dari tahun ke tahun. Senario ini sangat membimbangkan. Perubahan dasar yang memberikan penumpuan kepada sektor perindustrian turut menjejaskan dan merubah budaya kerja serta minda masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu yang dahulunya menjadi sumber kepada pengeluaran makanan rakyat Malaysia.

Rencana ini disiarkan di Harakah cetak bertarikh 10 Jun 2022.

 

Generasi yang dilahirkan pada tahun 80-an ke atas sudah tidak berminat kepada sektor pertanian dan mereka lebih gemar kepada sektor perindustrian berasaskan elektronik dan digital. Lebih membimbangkan sektor pertanian negara terpaksa bergantung kepada pekerja asing dari luar negara seperti Indonesia, India dan Bangladesh.

Tidak dinafikan bahawa sektor industri dan perkhidmatan telah memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat sekitar 6.2 peratus secara purata serta menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Malaysia, tetapi ‘food security’ negara juga perlu diberi tumpuan secara bersama.

Apakah ‘food security’ negara berada dalam tahap yang selamat dan mampan? Walaupun data perangkaan menunjukkan ‘food security’ negara berada pada tahap yang baik, tetapi hanya untuk beberapa item tertentu dan tidak menyeluruh. Ada pendapat mengatakan ‘food security’ Malaysia hanya boleh bertahan selama 45 hari sahaja.

Pengeluaran beras sebagai contoh, negara-negara Asia lain sudah mampu mengeksport beras keluar, malangnya Malaysia masih lagi bergantung kepada beras import bagi memenuhi keperluan dalam negara. Malaysia hanya mampu menghasilkan sebanyak 1.5 juta tan beras atau 63 peratus daripada keperluan, sementara 890 ribu tan lagi atau 27 peratus darinya terpaksa diimport dari luar negara.

Malaysia juga masih bergantung kepada negara luar dalam memenuhi permintaan daging di mana 70 peratus keperluan daging diimport dan 30 peratus lagi dihasilkan di dalam negara. Begitu juga dengan buah-buahan dan sebagainya yang gagal memenuhi keperluan permintaan dalam negara.

Malaysia perlu mengkaji semula dasar pertanian negara dengan memberikan penumpuan khusus kepada ‘food security’ dan mengurangkan pergantungan kepada negara luar terhadap bekalan makanan negara. Banyak agensi di bawah Kementerian Pertanian (MOA) perlu digerakkan dengan lebih proaktif bagi menangani masalah ini secara holistik.

Hari ini negara mempunyai hanya sekitar satu juta hektar tanah pertanian berbanding 5.5 juta hektar tanah untuk usaha komoditi kelapa sawit, getah, koko dan sebagainya. Pelabur dan pemain sektor komoditi atau perladangan tidak harus mengabaikan sektor pertanian makanan dengan membiarkan sektor itu diusahakan oleh petani kecil sahaja.

Sawah padi – gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Sektor komoditi yang mempunyai ‘land bank’ yang begitu luas perlu diajak bersama menggembling usaha untuk mempertingkatkan kemampuan sara diri sektor makanan negara sebagai tanggung jawab sosial kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga pemain industri pertanian harus mengambil kira pulangan sosial iaitu kestabilan serta keamanan negara, dan tidak pulangan ekonomi semata-mata ketika membuat pelaburan bagi memastikan kestabilan terus kekal. Pulangan daripada sekuriti makanan adalah kestabilan dan keamanan negara, ia tanggungjawab semua.

Kerajaan Malaysia harus segera membangunkan minda baharu (New Development Mindset) secara komprehensif bagi melakukan transformasi terhadap dasar dan model pertanian sedia ada kepada yang lebih produktif dan berkelanjutan (productive and sustainable).

Penggunaan teknologi pertanian pintar seperti precision farming, internet of things (IOT), big data, artificial intelligence (AI), block chain serta drone bagi aktiviti pemetaan, taburan benih, semburan racun dan baja. Ini akan dapat meningkatkan produktiviti hasil pertanian walaupun dengan jumlah keluasan tanah yang terhad.

Hal ini sangat penting bagi mengurangkan pergantungan kepada buruh asing dalam rantaian pengeluaran agro-makanan negara.

Sebagai contoh Australia hari ini, melalui penggunaan teknologi di atas, telah berjaya mengeksport berasnya keluar dengan hasil sekitar 800 juta dollar Australia setahun.

Usaha perlu dilakukan untuk memastikan tanah-tanah terbiar dapat dibangunkan sebagai salah satu daripada sumber makan negara melalui usahasama koperasi-koperasi, NGO dan institusi yang berkaitan.

Pertubuhan Peladang (Kredit Foto : Google)

Agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA, RISDA, Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan yang lain-lain harus digembling dan digerakkan secara aktif untuk sama-sama terlibat secara serius bagi meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan agro-makanan.

Kita tidak boleh mengambil sikap ‘sudah terhantuk baru tengadah’. Sebagai contoh makanan haiwan ternakan seperti jagung masih diimport. Bila berlakunya krisis harga ayam barulah tergesa-gesa mengambil inisiatif untuk menanam jagung di bawah usaha FGV.

Palm Kernel Expeller (PKE) sebagai contoh adalah produk sampingan (by-product) daripada perahan isirong sawit. Ianya dieksport ke luar negara sebagai bahan asas dalam pembuatan makan haiwan ternakan terutama lembu. Mengapa ini tidak dimanfaatkan untuk kegunaan dalam negara bagi mempertingkatkan usaha memajukan industri penternakan negara?

Peranan MARDI yang suatu ketika dulu dilihat sebagai pusat kepada kecemerlangan dalam melahirkan teknologi dan bahan tanaman pertanian harus dikembalikan. MARDI sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan pertanian perlu diberi dana yang mencukupi bagi menerokai teknologi baharu dalam meningkatkan hasil pertanian dari setiap hektar keluasan tanah.

Kerajaan perlu menggubal akta bagi menghalang tanah-tanah pertanian termasuk sawah padi dari diubah menjadi kawasan perumahan dan industri. Kita berasa amat sedih di saat negara masih kekurangan bekalan beras tempatan, banyak tanah-tanah sawah telah berubah menjadi kawasan perumahan.

Bagi menjamin ‘food security’ negara mampan dan berkelanjutan (sustainable), MOF serta kementerian-kementerian lain yang berkaitan mesti mampu memanfaatkan dan mengguna pakai (adoption and implementation) teknologi-teknologi dan penemuan baharu seperti yang dinyatakan di atas untuk tujuan meningkat hasil pengeluaran agro-makanan.

Membina perubahan baharu minda dan budaya kerja perlu dilakukan bagi menggalakkan penyertaan rakyat tempatan dalam sektor agro-makanan dan penggunaan buruh asing perlu dikaji semula. Semoga negara berjaya keluar daripada kemelut dan krisis makanan kesan daripada pandemik Covid-19.

Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan industri komoditi.