Home Berita PAS Melaka

Rencana : Celik Ekonomi – Mengapa kerajaan tidak cetak wang bagi pada rakyat?

1479
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

PENULIS percaya ramai yang berfikir bahawa sebenarnya kerajaan mempunyai sumber kewangan yang tidak terhad, malah kerajaan boleh bagi duit kepada rakyat dengan hanya mengarahkan Bank Negara mencetak wang.

Sebenarnya kepercayaan ini sangat salah. Memang benar kerajaan boleh mencetak wang untuk perbelanjaan kerajaan. Tapi ia akan menimbulkan kesan yang maha buruk kepada ekonomi sesebuah negara selepas itu.

Selain daripada negara yang menghadapi defisit yang teruk dalam belanjawan, negara yang menghadapi peperangan juga adalah antara negara yang banyak terlibat dalam aktiviti mencetak wang bagi menampung perbelanjaan kerajaan mereka. Biasanya sesebuah kerajaan yang terpaksa mencetak wang akan cuba melakukannya secara berhati-hati kerana jika tersalah langkah ia boleh menyebabkan inflasi naik dengan cepat.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Mungkin ada yang bertanya benarkah akan terjadi sesuatu perkara buruk jika kerajaan mencetak wang untuk perbelanjaannya? Berapa burukkah situasi itu? Iya, memang benar, malah ada beberapa negara yang pernah mengalami situasi inflasi yang sangat tinggi atau dipanggil sebagai ‘hiperinflasi’ disebabkan oleh tindakan kerajaan mereka mencetak wang sesuka hati.

Negara yang mencetak wang terlalu banyak sehingga mewujudkan hiperinflasi

Dalam sejarah dunia moden terdapat lima negara yang pernah menghadapi hiperinflasi terburuk pernah direkodkan. Senarai ini bermula dengan kes paling teruk iaitu negara Hungary (1946) diikuti oleh Zimbabwe (2008), seterusnya Yugoslavia (1994), keempat German (1923) dan yang kelima terburuk ialah Greece (1944).

Di Hungary semasa berlaku Perang Dunia Kedua, negara itu berada di dalam situasi ekonomi yang sangat lemah. Bank Pusat Hungary yang dikawal penuh kerajaan telah mengambil tindakan mencetak wang berdasarkan jumlah perbelanjaan yang diunjurkan oleh kerajaan di dalam belanjawannya.

Biasanya kerajaan akan mengambilkira hasil daripada cukai dan pendapatan lain untuk digunakan sebagai perbelanjaan. Sekiranya tidak cukup kerajaan akan berhutang. Namun kerajaan Hungary yang ketika itu menggunakan matawang Pengo mengambil tindakan mudah dengan mencetak wang untuk menampung perbelanjaan belanjawan mereka. Dan ia telah menjadikan negara itu menghadapi hiperinflasi.

Hiperinflasi dikatakan berlaku apabila tahap inflasi melepasi kadar 50 peratus. Sebagai perbandingan, di Malaysia, dari tahun 1960 sehingga tahun 2019 rekod tertinggi kadar inflasi yang pernah dicatatkan ialah pada tahun 1974 iaitu 17.33 peratus. Sebahagian besarnya ialah berada di bawah lima peratus setahun.

Berapa kadar inflasi Hungary?

Tahukah anda berapa peratuskah jumlah inflasi yang dihadapi oleh Hungary ketika itu akibat mencetak wang sesuka hati? Inflasi tertinggi bulanan (bukan tahunan) yang dihadapi oleh Hungary pada tahun 1946 ialah 13,600,000,000,000,000 peratus! Harga barang-barang yang dijual di kedai-kedai pula meningkat sekali ganda setiap 16 jam!

Sebelum berlakunya hiperinflasi, iaitu pada tahun 1944, nilai muka tertinggi matawang Pengo hanyalah Pengo1000. Namun pada pertengahan tahun 1946 itu nilai muka matawang terbesar Hungary ialah Pengo 100,000,000,000,000,000,000 (seratus quintilion). Sebagai perbandingan, nilai muka tertinggi bagi Ringgit Malaysia pada masa ini ialah RM100.

Wang pokok pisang tenteraJepun di Malaya (Kredit foto : Google)

Jika kita mendengar cerita daripada datuk-nenek kita dahulu yang pernah hidup di zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu juga pernah berlaku hiperinflasi. Pada masa itu Jepun telah memberi kebenaran kepada tentera-tentera mereka untuk mencetak sendiri wang gaji mereka.

Ini telah menyebabkan berlaku lambakan wang Jepun yang dipanggil wang pokok pisang di pasaran Tanah Melayu. Akhirnya nilainya jatuh dan berlaku hiperinflasi. Sehingga diceritakan untuk membeli sebungkus garam pun terpaksa membawa seguni wang!

Cara yang sepatutnya?

Jadi, bagaimana cara yang betul bagi sesebuah kerajaan untuk berbelanja agar tidak mewujudkan inflasi? Yang pertama, kerajaan mestilah berbelanja dengan hasil yang benar-benar diterima oleh kerajaan.

Hasil paling besar pada sesebuah kerajaan biasanya ialah cukai. Antaranya ialah cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai barangan, cukai import, cukai jalan dan lain-lain cukai lagi.

Hasil yang kedua ialah hasil bukan cukai. Hasil bukan cukai ini antaranya ialah keuntungan daripada perniagaan milik kerajaan, denda, hasil duti setem, sewa dan lain-lain hasil bukan cukai yang diperolehi oleh kerajaan.

Bank Negara Malaysia (Kredit Foto : Google)

Sekiranya hasil cukai dan hasil bukan cukai ini masih tidak dapat menampung perbelanjaan kerajaan maka kerajaan perlu berhutang. Cara kerajaan berhutang ialah dengan menerbitkan bon yang akan dibeli oleh institusi kewangan, syarikat dan orang ramai. Ini sahaja cara yang selamat bagi mengekalkan kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Sebenarnya mencetak wang tidak menjadikan sesebuah negara itu bertambah kaya. Ia hanya akan menaikkan harga barang dan inflasi. Malah keadaan akan jadi lebih teruk berbanding tidak mencetak wang.

Belanjawan defisit Malaysia 2021

Dalam Belanjawan Malaysia tahun 2021 yang baru dibentang oleh kerajaan pada hujung tahun lepas kita dapat melihat bahawa kerajaan mengunjurkan perbelanjaan keseluruhan yang sangat besar iaitu RM322.54 bilion bagi menampung belanja memerangi dan mengatasi Covid-19 yang sangat tinggi.

Namun jangkaan hasil yang bakal diterima oleh kerajaan juga sangat rendah iaitu sekitar RM236.9 bilion. Dengan peruntukan perbelanjaan yang jauh lebih besar daripada jangkaan hasil maka akan menyebabkan berlakunya defisit sebanyak 26.5 peratus atau RM85.64 bilion dalam Belanjawan 2021.

Kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tanggungjawab yang besar dan sangat sukar bagi memastikan mereka dapat menampung defisit itu dengan berhutang. Namun ia dapat dielakkan sekiranya kerajaan berjaya meningkatkan hasil cukai bagi tahun 2021 melebihi daripada jangkaan asal. Dan bukan dengan mencetak wang.

Walau pun berhadapan dengan pelbagai kritikan dan cemuhan terutama daripada pihak pembangkang namun Kementerian Kewangan di bawah Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terus bekerja keras untuk memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, stabil dan dapat menampung segala perbelanjaan untuk membantu rakyat.

Jadi jika ada yang berfikir bahawa ‘bukan susah manapun’ jadi kerajaan kerana kerajaan boleh mencetak wang untuk berbelanja dan membantu rakyat, maka anda harus berfikir sekali lagi.

Mereka yang susah perlu dibantu oleh kerajaan namun yang tidak terjejas jangan pula menambah lagi kesukaran kerajaan dengan tumpang sekaki menuntut itu dan ini daripada kerajaan. Kita mesti bertimbang rasa pada rakyat yang benar-benar susah yang perlu dibantu oleh negara yang juga sedang berada dalam kesusahan.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2623 bertarikh 8 Februari 2021

 

PAU USTAZ
Gerai hadapan Taman Bunga Raya Seksyen-3 dan Klinik Munshi, Bukit Beruang Melaka. Tempahan Whatsapps : +60136315113

Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN – Bahrum : 011-16964842