Oleh IBNU JANIE
TIDAK lama dulu kecoh tentang beberapa orang peniaga ayam di Terengganu yang dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjual ayam melebihi harga maksimum.
Namun peniaga-peniaga ini mendakwa harga dijual pembekal tinggi menyebabkan mereka tidak boleh menjual pada harga yang ditetapkan. Jadi bagaimana perkara ini harus ditangani?
Kita harus tahu bahawa pada dasarnya ada dua sebab utama mengapa harga sesuatu barangan itu boleh naik. Sebab yang pertama ialah kerana berlaku kenaikan kos dalam pengeluaran.
Kenaikan kos pengeluaran terjadi apabila berlaku kenaikan dalam apa-apa kos yang terlibat dalam pengeluaran atau penjualan sesuatu barang. Ia boleh berlaku samada di peringkat pengeluar, pemborong atau peruncit.
Antara kos yang terlibat dalam pengeluaran ialah kos bahan mentah iaitu bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk. Bagi peruncit pula ia adalah kos untuk membeli produk jualan mereka daripada pengilang atau pemborong.
Selain kos bahan mentah terdapat juga kos operasi seperti sewa kedai, bil elektrik, bil air, gaji pekerja, kos pengangkutan, kadar faedah bank, cukai-cukai dan caj-caj yang dikenakan kerajaan. Kenaikannya akan meningkatkan kos.
Sebab yang kedua berlaku kenaikan harga barang-barang ialah disebabkan peniaga-peniaga sengaja mengambil kesempatan menaikan harga barang walau pun kos pengeluaran tidak meningkat.
Ia boleh berlaku apabila permintaan melebihi pengeluaran. Oleh kerana ramai yang mahu membelinya sedangkan stok tidak mencukupi maka peniaga akan menaikan harga untuk mengambil kesempatan.
Selain itu peningkatan permintaan pada musim-musim atau situasi-situasi tertentu juga mendorong peniaga menaikkan harga walau pun stok sebenarnya mencukupi. Contohnya seperti peningkatan permintaan terhadap bahan masakan pada musim perayaan.
Jika pengeluar atau pengilang sengaja menaikan harga untuk mengambil kesempatan dan bukan disebabkan kos, ini menjadikan harga borong dan harga runcitnya meningkat. Ini bermakna kenaikan yang berlaku pada pemborong dan peruncit adalah kerana peningkatan kos. Jadi masalah di sini pada pengeluar.
Apabila kerajaan mahu mengambil langkah-langkah mengatasinya maka kerajaan harus mengenalpasti adakah kenaikan harga yang berlaku itu disebabkan oleh kenaikan kos atau kerana peniaga sengaja menaikkan harga.
Kerajaan boleh menggunakan kaedah penetapan harga maksima hanya jika kenaikan harga itu kerana peniaga sengaja menaikkan harga, bukan disebabkan kenaikan dalam kos pengeluaran. Pada situasi ini kerajaan boleh mengarahkan peniaga menurunkan harga pada takat yang masih menguntungkan peniaga.
Namun jika kenaikan harga itu berlaku kerana kenaikan kos maka kerajaan sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengarahkan peniaga menurunkan harga.
Jika mereka menurunkan lagi harga maka mereka akan rugi. Keuntungan adalah gaji kepada peniaga. Tidak ada peniaga yang akan berniaga tanpa untung. Jika ini berlaku ia akan berakhir dengan mereka berhenti berniaga.
Apabila berlaku kenaikan harga disebabkan oleh kos, maka kerajaan harus mengenalpasti di mana punca kenaikan kos itu dalam sistem saluran pengedaran samada di peringkat kilang, pemborong atau peruncit.
Penulis berpendapat bahawa kejadian beberapa orang peniaga yang dikompaun KPDNHEP kerana menjual ayam melebihi harga maksimum ini sebenarnya adalah kaedah untuk memberi tekanan kepada peruncit supaya menekan pemborong dan pengeluar pula agar menurunkan harga.
Namun ia kurang berkesan jika kenaikan yang dilakukan oleh pengeluar atau pemborong itu juga memang kerana kenaikan dalam kos operasi mereka.
Memang sebelum ini banyak rungutan tentang harga dedak makanan haiwan ternakan yang dikatakan meningkat. Kerajaan harus mengenalpasti di mana puncanya.
Banyak produk yang naik harga sekarang ini yang menyebabkan rakyat semakin resah dan tertekan. Harga bahan binaan, alat ganti kenderaan, tiket kapal terbang, makanan asas, makanan proses dan banyak lagi perlu kepada kajian yang terperinci.
Kerajaan kena kenalpasti puncanya. Jika bukan disebabkan kos, paksa peniaga turun atau kekalkan harga lama. Jika disebabkan kenaikan kos maka selesaikan isu kenaikan kos itu. Penyelesaian ini lebih tuntas berbanding sekadar memaksakan penurunan harga secara melulu.
Dan janganlah tunggu rakyat sudah bising baru mahu bertindak. Jika kerajaan kata mereka sudah bekerja keras untuk membendung kenaikan harga tetapi harga tetap naik maka kerajaan harus bekerja lebih keras, berkali-kali ganda lagi.
Penulis adalah Ketua Editor Pusat Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka