Home Melaka

Rencana | Cabaran membentuk koperasi berdaya maju

399
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KOPERASI adalah satu bentuk organisasi perniagaan yang sangat unik dan bersifat kemasyarakatan. Walau pun mempunyai matlamat untuk mendapatkan keuntungan namun faedah untuk manfaat ahli-ahli sendiri lebih diutamakan.

Namun untuk memastikan sesuatu koperasi itu berdaya maju dan berdaya saing ada tiga cabaran utama yang harus dihadapi oleh pihak pengurusan koperasi.

Cabaran yang pertama ialah untuk memastikan koperasi diuruskan oleh mereka yang benar-benar berkebolehan. Realitinya, banyak koperasi yang ditubuhkan oleh orang-orang yang tidak berpengalaman dengan perniagaan. Jadi mereka tidak benar-benar memahami pengurusan dan perniagaan.

Ini menyebabkan sesetengah koperasi diuruskan secara tidak cekap. Memang untuk menggajikan kumpulan pengurusan yang profesional dan berpengalaman memerlukan kos yang tinggi namun sebenarnya ia perlu dilakukan untuk mengelakan ketidakcekapan yang mungkin akan berakhir dengan koperasi menanggung kerugian.

Sekiranya sesebuah koperasi itu tidak mampu untuk menggaji pengurusan yang profesional, paling tidak pun mereka perlu menggaji pengurusan yang berpengalaman dalam perniagaan yang dijalankan. Sebagai contoh jika koperasi itu ingin membuka sebuah kedai komputer, mereka perlu mencari pengurus yang pernah bekerja menguruskan kedai komputer.

Gambar hiasan (kredit foto : Google)

Cabaran yang kedua ialah untuk memilih perniagaan yang ingin dijalankan. Penulis seringkali melihat koperasi-koperasi yang ditubuhkan sangat gemar menjalankan perniagaan yang stereotaip, contohnya membuka pasar mini atau pun memberi pinjaman peribadi kepada ahli-ahli.

Penulis secara peribadi melihat pasar mini bukanlah sesuatu yang menarik kerana yang pertama margin keuntungannya yang sangat kecil. Selain itu ia juga ia mempunyai persaingan yang tinggi terutamanya dengan rangkaian-rangkaian pasar mini yang mempunyai skala ekonomi yang boleh menjual dengan harga lebih rendah kerana mereka membeli stok dalam jumlah yang sangat besar.

Kadangkala di satu-satu kawasan terdapat terlalu banyak pasar mini. Selain itu memang ramai orang Islam yang mengusahakan pasar mini. Ia mungkin akan mengurangkan syer pasaran pasar-pasar mini milik orang Islam ini.


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 9 Mei 2022


Selain itu juga banyak koperasi yang menghasilkan produk sendiri. Namun ia juga ada risiko kesukaran orang ramai terutama ahli-ahli koperasi itu sendiri untuk bertukar daripada jenama yang biasa mereka gunakan, terutama jenama-jenama yang ‘melekat’.

Contohnya koperasi mengeluarkan syampu jenama sendiri. Namun mungkin ahli-ahlinya sudah biasa dengan sesetengah jenama. Jadi mereka keberatan untuk bertukar ke jenama yang dikeluarkan koperasi itu.

Bagi penulis, koperasi sebaik-baiknya menceburi perniagaan-perniagaan yang tidak streotaip dan kurang diceburi orang-orang Islam. Sekurang-kurangnya dapat menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Penulis melihat perniagaan pembuatan makanan proses seperti mi, bihun dan kuetiau masih kurang dijalankan oleh orang Islam walau pun permintaannya tinggi.

Sekiranya koperasi itu berjaya mengumpul modal yang besar sebaik-baiknya mereka menjalankan perniagaan seperti hotel, stesen minyak, hardware, kedai menjual motosikal atau lain-lain perniagaan yang jarang dilakukan umat Islam. Penulis melihat ramai orang Islam yang menggunakan motosikal namun sukar kita berjumpa kedai menjual motosikal milik orang Islam.

Kedai memjual motosikal (Gambar hiasan – kredit foto : Google)

Cabaran yang ketiga ialah untuk menangani sikap ahli-ahli terutama yang berjawatan dalam koperasi seperti pengerusi, ahli lembaga koperasi atau mereka yang dilantik dalam pengurusan yang tidak berintegriti.

Sesetengah mereka yang memimpin koperasi ini yang teruja dan ‘gelap mata’ apabila melihat sejumlah dana yang besar yang dikumpulkan daripada syer-syer ahli. Mereka mula melihat apa yang boleh mereka lakukan untuk mendapatkan keuntungan peribadi daripada kekayaan yang dimiliki sesuatu koperasi itu.

Antaranya mereka akan cuba mendapatkan pembekal di mana pembekal ini akan membayar peratus komisen peribadi sebagai sogokan daripada jumlah pembelian yang dibuat koperasi. Lebih teruk lagi situasi seperti ini pada kebiasaannya akan menyebabkan koperasi menanggung kos tambahan.

Boleh juga terjadi situasi di mana pegawai-pegawai koperasi ini yang sengaja membuatkan koperasi membeli secara ‘outright’ produk yang mereka keluarkan sendiri untuk dijual sedangkan produk itu mungkin tidak laku. Dan akhirnya koperasi menanggung stok tersebut.

Lebih teruk lagi jika pegawai-pegawai koperasi secara curang mengarahkan koperasi membeli aset-aset seperti tanah atau bangunan yang merugikan dengan harga yang mahal sedangkan ia tidak begitu.

Sekiranya pengurusan sesebuah koperasi berjaya mengatasi ketiga-tiga cabaran ini barulah koperasi itu boleh menjadi sebuah koperasi yang berdaya maju dan berdaya saing.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka