Home Berita PAS Perlis

Sambutan Hari Guru, Jamuan Aidilfitri PASTI Arau meriah

84
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 17 Mei: Setelah lebih dua tahun disambut dalam majlis yang serba terhad akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Arau yang diadakan hari ini berlangsung dalam suasana yang cukup meriah.

Lebih 70 orang hadir pada majlis yang diadakan serentak dengan Jamuan Aidilfitri itu, yang berlangsung di Balai Islam MADI, di sini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Ruslee Eizan, Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau, Noramrul Amri Chan dan Timbalan YDP PAS Kawasan Kangar, Wan Hassan Ismail, antara pimpinan PAS yang hadir pada majlis tersebut.

Turut hadir, Pengerusi PASTI Kawasan Arau, Abdul Hadi Halipah serta Pengerusi MGP Kawasan Arau, Mashitoh Baharom.

Abdul Hadi yang ditemui selepas tamat majlis tersebut menyifatkan sambutan hari guru pada kali ini cukup bermakna kerana dapat diadakan secara bersemuka dengan lebih banyak kelonggaran seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Apatah lagi pada kali ini, kami (PASTI Kawasan Arau) mengadakannya bersama dengan jamuan hari raya (Aidilfitri), memang terasa kemeriahannya.

“Mereka (para guru) pula sangat teruja dan bersungguh-sungguh dalam membuat persiapan termasuklah dalam menyediakan juadah untuk jamuan hari raya, menandakan masing-masing sememangnya ternanti-nantikan program secara bersemuka seperti ini.

“Bagi pihak PASTI Kawasan Arau, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga dan Selamat Hari Guru kepada semua guru PASTI yang tidak dapat dinafikan telah banyak menabur bakti, berkorban jiwa dalam mendidik generasi PASTI hingga ke hari ini,” katanya.

Terdahulu, upacara memotong kek sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Guru telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Ruslee Eizan.

Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada semua guru PASTI sebagai tanda penghargaan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan.