Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Bank perlu longgarkan syarat pinjaman bantu usahawan terjejas

180
SHARE
Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

NEGARA kita pada masa ini sedang dalam proses untuk membuka semula sektor ekonomi sedikit demi sedikit selaras dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan perkembangan kawalan Covid-19 melalui program vaksinasi.

Boleh dikatakan sebahagian besar aktiviti ekonomi terhenti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berlangsung sekarang.

Perniagaan-perniagaan yang terhenti sekian lama ini perlu bersedia untuk beroperasi semula apabila kebenaran untuk beroperasi diberikan berdasarkan fasa pemulihan di geografi di mana perniagaan itu beroperasi.

Tidak dapat dinafikan pada masa ini ramai usahawan-usahawan yang tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh PKP berada dalam situasi yang sangat sukar. Sesetengah mereka sudah kehabisan modal untuk memulakan operasi semula.

Pada masa sekarang memang harapan mereka adalah pada bank dan institusi kewangan yang mereka harap dapat memberikan mereka pinjaman pada kadar yang memadai untuk mereka beroperasi semula.

Bank pula seharusnya mempunyai satu wajaran baharu dalam menilai ‘kepercayaan kredit’ atau ‘creditworthiness’ (kaedah mengukur dan menilai samada seseorang pelanggan mampu membayar balik pinjaman) kepada pelanggan dalam situasi sekarang.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak pada 13 September 2021

 

Ia seharusnya tidak terlalu ketat dan tidak hanya melihat kepada situasi semasa. Situasi semasa perniagaan seseorang usahawan itu yang telah melalui tempoh PKP tidak begitu tepat untuk dijadikan kayu ukur dalam menilai kepercayaan kredit bagi seseorang usahawan untuk situasi sekarang.

Maksud penulis, biasanya bank akan meletakkan kepercayaan kredit yang tinggi untuk perniagaan yang sedang berada dalam situasi pendapatan jualan yang tinggi sebagai kayu ukur mereka berpotensi untuk membayar balik pinjaman.

Namun dalam situasi PKP ini mungkin ada perniagaan yang sebelum berlaku Covid-19 ini, iaitu sekitar sebelum Februari 2020 perniagaan mereka berada dalam kondisi yang sangat baik. Tetapi keadaan mungkin berubah 180 darjah apabila mula berlakunya pandemik Covid-19.

Kerana itu bagi penulis, bank perlu mempunyai satu wajaran baharu dalam menilai tahap kepercayaan kredit pelanggan semasa mereka mengutarakan permohonan pinjaman pada masa ini.

Dan institusi kewangan dan bank perlu membantu usahawan yang sedang dalam masalah kewangan pada masa ini. Penulis bimbang jika penilaian cara biasa digunakan oleh pihak bank pada masa sekarang maka ramailah usahawan akan mendapat penilaian rendah dalam kepercayaan kredit mereka.

Gambar hiasan (Kredit foto: Google)

Penulis teringat, suatu masa dahulu penulis pernah menghadiri satu dialog usahawan dan institusi kewangan. Ada seorang usahawan yang berkata bahawa bank ini selalunya akan memberi payung apabila hari panas, namun apabila hari hujan mereka akan tarik semula payung itu dan biarkan usahawan tadi kebasahan.

Maksudnya bank dilihat hanya akan membantu usahawan-usahawan yang senang. Namun apabila usahawan itu dalam kesusahan mereka akan tidak lagi berminat untuk membantu. Sedangkan hakikatnya yang perlukan pinjaman itu sudah tentulah mereka yang sedang dalam kesusahan.

Iya, memang benar, bank juga berniaga. Mereka perlu untung untuk mereka persembahkan kepada pemegang-pemegang saham mereka dan tidak mahu mengambil risiko.

Namun ramai sebenarnya usahawan yang sedang berada dalam situasi genting sebenarnya boleh berjaya sekiranya mendapat suntikan modal daripada institusi kewangan.

Seorang sahabat penulis yang merupakan seorang kontraktor yang sangat bagus. Namun dia ada melakukan kesilapan sehingga dia muflis. Akibat daripada itu dia tidak boleh meminjam daripada institusi kewangan.

Namun, untuk meneruskan perniagaannya beliau meminta bantuan daripada rakan-rakan yang berwang untuk menanam modal dan berkongsi untung apabila selesai sesuatu projek. Dan penulis lihat dia semakin maju sehingga akhirnya dia mampu membayar semula pinjaman yang menyebabkan dia muflis.

Ini yang penulis cuba sampaikan kepada institusi kewangan bahawa mereka harus mempunyai satu kaedah yang lebih fleksibel untuk menilai kepercayaan kredit pelanggan terutama bagi usahawan-usahawan yang sekarang ini tenat akibat Covid-19.

Kaedah konvensional yang bank sedang gunakan sekarang sudah pasti tertutup dan terpatri untuk mereka yang muflis atau disenarai hitam. Sedangkan, seperti yang penulis ceritakan, ada antara mereka yang mempunyai kecerdikan dan kualiti untuk bangkit semula dan berjaya keluar daripada masalah kewangan.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Namun penulis percaya, walau bagaimana longgar syarat ditetapkan pihak bank, mereka tetap tidak mungkin memberi ruang untuk usahawan yang berstatus muflis. Cuma penulis mengambil contoh orang muflis tadi hanya sebagai satu contoh situasi bahawa kebiasaan penilaian kepercayaan kredit oleh institusi kewangan tidak 100 peratus tepat.

Jadi pihak bank perlu mengambilkira situasi usahawan yang perniagaan mereka bermasalah dan lemah dari segi kepercayaan kredit akibat Covid-19.

Bank janganlah hanya memberi pinjaman kepada perniagaan yang sedang untung sahaja sebagai jalan selamat. Bank perlu memberi payung pada usahawan samada ketika panas atau pun ketika hujan.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.