Home Rencana PAS Melaka

Rencana| Azizan, ‘jutawan senyap’ Masjid Tanah pergi bersama ilmu perniagaannya

1908
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULISย percaya tidak ramai yang kenal Azizan Hassan, seorang tokoh usahawan tempatan yang memiliki rangkaian kedai fotostat dan alat tulis sekitar Daerah Alor Gajah, Melaka. Beliau telah kembali kepada Penciptanya pada malam 10 Ogos lepas akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Melaka.

Dia bukan jenis usahawan yang hidup dengan populariti di media sosial yang ‘rajin’ menunjuk-nunjuk duit tunai dan kekayaan di media sosial. Beliau boleh dikatakan seorang ‘jutawan senyap’.

Penulis tidak pasti kekayaan sebenar beliau. Namun melihat kepada saiz perniagaannya dan maklumat yang penulis cerap setiap kali kami berbual-bual santai selama bersahabat dengan Allahyarham, memang dia sudah pun bergelar seorang jutawan.

Penulis mengenali insan berkaliber ini semasa aktif berniaga di pekan Masjid Tanah, Melaka bermula tahun 2008 dahulu. Pada masa itu perniagaannya Copycent Sdn Bhd memang sudah besar yang berstatus Sendirian Berhad.

Tetapi Allahyarham hanya menggunakan kereta Naza Citra walau pun penulis percaya yang beliau boleh dan mampu menggunakan kereta mewah seperti Mercedes atau BMW.

Kereta Naza Citra itu yang berbentuk mini MPV juga beliau gunakan untuk menghantar pesanan barang-barang daripada pelanggan-pelanggannya yang banyak dari kalangan sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan.

Penulis percaya sejarah hitamnya yang Allahyarham ceritakan kepada penulis semasa beliau mula berniaga dahulu menjadikan beliau seorang yang sangat cermat dalam penggunaan wang.

Sebelum berniaga Allahyarham adalah seorang ‘teller’ di sebuah Bank di Masjid Tanah. Semasa mula-mula berniaga dahulu beliau menghadapi masalah dalam perniagaannya. Sehinggakan van yang digunakan sebagai kenderaan perniagaannya ditarik oleh pihak bank kerana tunggakan bulanan.

Kerana pelbagai masalah perniagaan, beliau akhirnya terpaksa menutup perniagaannya. Kata beliau pada masa itu selama lapan bulan beliau tidak keluar rumah, tiada kenderaan, selain pemiutang mencarinya menuntut hutang.

“Masa tu kambing pun tak nak kawan dengan aku,” satu ayat lucu beliau ketika menggambarkan kesusahannya selepas terpaksa menutup perniagaannya.

Allahyarham kemudiannya berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Pinjaman itu yang menjadi talian hayat Allahyarham untuk memulakan juzuk baharu dalam usahaniaganya itu. Dan semenjak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan terus bekerja keras memajukan perniagaannya.

Dalam kalangan kami rakan-rakan peniaga di Masjid Tanah pada masa itu sering memanggil Allahyarham sebagai ‘king of loan’ kerana beliau banyak membuat pinjaman perniagaan dan jumlahnya juga besar. Namun beliau sangat disiplin dalam soal pinjamannya.

Semasa berniaga pada masa itu, penulis ada juga beberapa kali berjumpa dengan pihak bank dan agensi-agensi kerajaan yang memberikan pinjaman untuk peniaga-peniaga Bumiputera. Biasanya pegawai-pegawai bank atau agensi ini akan bertanya di mana penulis berniaga. Kemudia pasti mereka akan tanya “Kenal Azizan Copycent?”.

Hampir semuanya kenal Azizan. Dan yang paling menarik, pasti mereka akan memberi nasihat agar kami mencontohi Allahyarham Azizan. Allahyarham seorang ‘good paymaster’. Bab pembayaran hutang beliau memang disiplin.

Walau pun beliau banyak membuat pinjaman namun semua itu digunakan sebaiknya untuk perniagaannya. Jauh sekali untuk bermewah-mewah dan membazir. Tengok kereta yang Allahyarham gunakan pun kita sudah tahu dia bukan jenis membazir tak tentu fasal.

Allahyarham juga seorang yang banyak membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan. Antaranya beliau mewujudkan grup Whatsapp E-Bazaar Melaka yang mengumpulkan peniaga-peniaga dalam talian untuk mempromosikan dan menjual produk mereka.

Banyak ilmu-ilmu dan nasihat-nasihat perniagaan yang Allahyarham kongsikan pada kami. Antara yang selalu Allahyarham ingatkan pada penulis semasa baru berniaga dahulu ialah peniaga kena ambil gaji tetap. Dengan mengambil gaji tetap kita dapat mengasingkan duit perniagaan dan duit peribadi.

Sesetengah usahawan yang tidak mengambil gaji tetap akan menganggap semua duit jualan yang diperolehi adalah duit peribadi yang boleh digunakan untuk belanja peribadi. Akibatnya mereka kerap berbelanja lebih tanpa sedar dan akhirnya tidak boleh pusing modal.

Banyak ilmu berguna yang beliau turunkan yang boleh penulis kongsikan, namun ruangan ini amat terhad. Mungkin pada rencana yang lain.

Bagi penulis alangkah baiknya jika mana-mana anak muda yang ingin berniaga duduk ‘bertalaki’ dan bermentor dengan Allahyarham kerana terlalu banyak ilmu perniagaan yang beliau miliki yang patut dituntut oleh mereka yang ingin menjalankan perniagaan terutama dalam kalangan anak muda.

Namun kini usahawan ‘low profile’ Azizan Hassan sudah tiada lagi bersama kita. Dia pergi meninggalkan kita bersama dengan ilmu-ilmu perniagaannya yang sangat berharga.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 16 Ogos 2021