Home Berita PAS Melaka

Rencana : Anak-anak Syarikat MARA Bakal Ditutup?

1926
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Hasnita Hashim dalam kenyataan rasminya di laman sesawang MARA menjelaskan bahawa pada tahun ini MARA telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau lagi, terdahulu MARA telah berusaha untuk membangun dan mengurus perniagaan melalui penubuhan anak-anak syarikat. Walau bagaimanapun kekurangan kepakaran dalam bidang-bidang yang diceburi telah menyebabkan syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian yang berterusan.

Susulan itu jelas beliau, semua anak syarikat MARA akan diletakkan di bawah pemantauan satu jawatankuasa khas yang akan melapor terus kepada Majlis MARA. Jawatankuasa khas ini juga akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya pada tahun 2020.

Kenyataan Pengerusi MARA bahawa ‘jawatankuasa khas itu nanti akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya’ itu mengundang reaksi kurang senang banyak pihak. Ia bagai membayangkan bahawa akan ada antara anak-anak syarikat MARA itu bakal ditutup.

Baru-baru ini pula Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun telah mengeluarkan kenyataan yang menyangkal dakwaan kononnya MARA dan anak syarikatnya melaksanakan pengurangan pekerja serta tidak membayar gaji kakitangan.

Namun sebarang usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyangkal apa sahaja spekulasi yang ditimbulkan rakyat berkaitan MARA ini sukar untuk diterima kerana rekod buruk PH dalam isu berkaitan hak bumiputera selama ini.

Bernama pada 31 Disember tahun lepas melaporkan bahawa Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Hussein Alhabshee antara yang mempersoalkan kemungkinan salah sebuah anak syarikat utama MARA iaitu MARA Corporation Sdn Bhd bakal ditutup.

Selain Presiden DPMM, Ketua Pegawai Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman juga melahirkan kebimbangan yang sama. Beliau melihat ura-ura cadangan menutup MARA Corp sebagai mengkhianati agenda Bumiputera dan ia wajar dikaji semula.

Masyarakat Melayu dan bumiputera sememangnya semakin gusar mengenai apa yang bakal berlaku pada MARA di bawah kerajaan PH ini. Banyak pihak mula bersuara menyatakan kebimbangan mereka. Dan sebagai bekas pegawai MARA penulis juga ada ‘lesen’ untuk bercakap soal MARA ini.

Penulis amat bersetuju sekiranya dilakukan reformasi dalam anak-anak syarikat MARA untuk ditambahbaik. Namun penulis seperti rakyat lain berasa amat curiga apakah penutupan mana-mana anak syarikat MARA bakal dipilih sebagai jalan terbaik atas nama niat suci untuk kebaikan MARA?

Kegilaan kerajaan persekutuan sekarang menjual syarikat-syarikat GLC kononnya untuk mendapatkan tunai bagi menampung masalah kewangan yang dikatakan dilakukan kerajaan terdahulu membuatkan penulis fikir adalah wajar untuk penulis dan sekalian rakyat berasa curiga.

Kebimbangan kita adalah terhadap kemungkinan ada usaha-usaha pihak tertentu untuk membolot angsa bertelur emas yang selama ini menjadi sumber hasil MARA untuk ditukar milik kepada tuan-tuan baru. Alasan ‘demi untuk menyelamatkan MARA’ sudah tentulah bakal dijadikan topeng menutup niat sebenar mereka.

Adakah segala kelemahan yang berlaku terhadap anak-anak syarikat MARA itu tidak boleh diperbaiki lagi sehingga menutup operasi sahaja sebagai pilihan yang tinggal? Adakah kepakaran yang ada pada pimpinan PH sekarang ini hanya menutup dan menjual sahaja syarikat-syarikat milik kerajaan ini?

Pengerusi MARA yang baru harus tahu bahawa bukan semua anak syarikat MARA itu bermotifkan keuntungan. Sebagai contoh, ada anak syarikat MARA yang berfungsi untuk membeli lot-lot kedai di kompleks membeli-belah dan menyewakan semula kepada usahawan-usahawan baru MARA dengan kadar yang jauh lebih rendah dari kadar pasaran. Jadi usahawan-usahawan MARA ini mampu untuk menyewa di kompleks perniagaan yang strategik dengan sewa yang lebih rendah dari pasaran.

Jika kita melihat bas-bas MARALiner yang bergerak di atas jalanraya sekarang ia sebenarnya bermula dengan Kenderaan Bas RIDA yang mula beroperasi pada tahun 1960 untuk memberikan perkhidmatan di tanah-tanah rancangan FELDA. Apabila RIDA distruktur semula dan diganti dengan MARA, Kenderaan Bas RIDA ditukar namanya kepada Kenderaan Bas MARA.

Ramai yang tidak tahu peranan Bas MARA kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar. Kenderaan Bas MARA sebenarnya berperanan untuk menghubungkan antara penduduk luar bandar dan bandar. Ia ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan bas henti-henti di kawasan yang syarikat-syarikat bas komersial enggan untuk beroperasi kerana kurang penumpang.

Bas MARA ini beroperasi di kawasan-kawasan sebegini untuk merancakkan kegiatan ekonomi kawasan luar bandar. Antaranya petani-petani kecil di kampung-kampung boleh membawa hasil-hasil pertanian mereka untuk dijual kepada peniaga di pasar-pasar di bandar. Itu antara tujuan sebenar penubuhan Syarikat Kenderaan Bas Mara dulu.

Dan selepas laluan-laluan ini mula menguntungkan, MARA akan menjualnya pula kepada usahawan-usahawan Melayu untuk diuruskan secara komersial. Kenderaan Bas MARA diswastakan kepada Nadi Corp Sdn Bhd pada 1 September 1985. Ia termasuk dalam rancangan MARA untuk membina usahawan-usahawan baru sehingga menjadi tokoh-tokoh korporat terkemuka.

Kemudian pada 23 April 2012 dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) MARA mewujudkan semula perniagaan bas ini dengan menubuhkan MARA Liner untuk menjalankan semula tanggungjawab Kenderaan Bas MARA seperti sebelumnya.

Ini yang ramai tidak faham tentang model perniagaan sesetengah anak syarikat MARA. Sesetengah anak syarikat MARA itu sebenarnya bukan bermotifkan keuntungan semata-mata tetapi atas tanggungjawab sosial terhadap pembangunan keusahawanan dan sosioekonomi di kalangan orang Melayu dan bumiputera. Janganlah semata-mata kerana anak syarikat MARA itu rugi maka ia harus ditutup.

Bagi penulis apa yang sepatutnya dilakukan oleh pentadbiran MARA sekarang ialah memperbetul dan memperbaiki mana-mana yang rosak. Biarlah niat memperbaki itu memang benar-benar ikhlas dari hati bukan dengan niat tertentu.

Samada semua yang dibimbangkan oleh orang Melayu dan bumiputera tentang nasib MARA ini betul atau sekadar spekulasi tidak jadi soal. Lebih baik ia dibesar-besarkan sekarang. Sekurang-kurangnya ia sebagai satu tindakan pro aktif dari orang Melayu dan bumiputera sebagai tanda bantahan bimbang ia benar-benar berlaku. Jika anak-anak syarikat MARA ini sudah pun ditutup secara senyap-senyap semuanya sudah tidak berguna lagi.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan Dan Media Baru PAS Melaka.

(Rencana ini juga disiarkan dalam Harakah cetak Edisi Jumaat 10 Januari 2020)