Home Melaka

Rencana | Ahli politik dan ahli korporat kecil di kampus

218
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KEHIDUPAN di kampus sebenarnya bukanlah semata-mata untuk memenuhi keperluan akademik. Selain menuntut ilmu ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan yang boleh membina kekuatan diri dan ‘soft skill’ seseorang mahasiswa itu.

Antaranya mereka boleh terlibat dalam aktiviti kepimpinan dengan memegang jawatan dalam persatuan-persatuan. Dan ramai juga mahasiswa yang mengambil peluang berniaga untuk menambah pendapatan.

Selain itu ada juga kecenderungan lain seperti aktif bersukan; melakukan aktiviti lasak seperti berkhemah dan mendaki gunung; kerohanian; ada juga yang memilih untuk belajar sahaja untuk mendapat keputusan cemerlang. Dan tidak kurang juga yang cenderung kepada perkara yang tidak berfaedah, atau tidak buat apa-apa langsung.

Semasa di kampus UUM dahulu sekitar penghujung 90an, penulis cenderung kepada aktiviti kepimpinan. Pernah memenangi kerusi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Persatuan Mahasiswa bagi sesi 1997-1998 dalam pilihan raya kampus.

Dewan Muadzam Shah UUM (Kredit foto : Google)

Sebagai pemimpin pelajar, memang sibuk dengan aktiviti, tak ubah seperti wakil rakyat. Kerana itu penulis jarang ada di bilik. Daripada pagi penulis akan ke kelas. Apabila ada senggang masa penulis akan ke pejabat MPP. Kemudian pergi ke kelas semula.

Habis kelas ke pejabat semula. Sebelum Maghrib penulis akan pulang ke bilik di kolej kediaman untuk mandi. Selepas itu ke pejabat semula sehingga malam. Balik ke bilik hanya untuk tidur.

Entah mengapa semasa itu memang rasa teruja untuk kerap berada di pejabat. Walau pun tidak ada mesyuarat atau aktiviti, namun penulis suka ‘melepak’ di pejabat. Semua buku-buku bacaan dan bahan kerja-kerja akademik penulis letak di pejabat. Semua tugasan-tugasan kuliah atau ulangkaji penulis lakukan di pejabat.

Ketika itu kami pelajar UUM tinggal dua orang sebilik. Namun kecenderungan rakan sebilik penulis itu lebih kepada berniaga. Jika penulis sibuk dengan berpersatuan, rakan sebilik penulis tadi pula sibuk dengan perniagaannya.

Satu ketika rakan penulis itu menjadi ‘super’ sibuk apabila dia menyertai sebuah syarikat jualan langsung yang berpusat di Pulau Pinang. Jadi dia kerap ke sana membawa rakan-rakan lain untuk direkrut menjadi rakan niaga.

Pada masa itu mereka yang berjaya dengan perniagaan di kampus dapat dilihat dengan kemewahan mereka. Tidak ramai mampu menggunakan telefon bimbit ketika itu. Yang terlibat dalam perniagaan dan berjaya, mampu melaram dengan telefon bimbit.

Di UUM pada itu memang pihak universiti juga menggalakkan pelajar-pelajar terlibat dalam aktiviti keusahawanan. Malah pada masa itu ada sebuah kompleks perniagaan yang dipanggil ‘Mall’. Banyak premis di dalam Mall itu yang disewa dan usahakan oleh para mahasiswa.

Ada juga pelajar yang memiliki empat lima buah kereta sewa dan malah pernah ada yang memiliki pasar raya dengan nilai aset jutaan Ringgit di situ!


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 4 April 2022

 

Ramai juga yang berniaga secara bermusim, contohnya menjual kemeja-t dengan mengambil tempahan daripada pelajar-pelajar. Cuma pada masa itu perniagaan secara dalam talian belum lahir lagi.

Itulah dunia politik dan dunia korporat di kampus. Oleh kerana kami dua orang rakan sebilik ini masing-masing sibuk, rakan-rakan lain memang susah untuk berjumpa dengan kami di bilik. Teringat usikan rakan-rakan pada masa itu. Kata mereka “seorang ahli politik, seorang ahli korporat… masing-masing sibuk..”

Sekadar mengenang zaman kampus dahulu membuatkan penulis terfikir betapa dunia kampus ini memang umpama simulasi kepada dunia sebenar yang penulis lihat sekarang ini.

Mall UUM pada masa ini. (Kredit foto : Google)

Masih ingat lagi kata hikmat Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada masa itu yang kami panggil sebagai Pak Abu, yang banyak membina skil kepimpinan kami. Katanya, ‘anda adalah pemimpin dalam latihan, sanggup mengambil risiko, melakukan kesilapan dan anda belajar daripada kesilapan itu’.

Di kampuslah kita boleh melakukan kesilapan yang tidak ketara sebagai cara pembelajaran. Jika di dunia sebenar kita melakukan kesilapan maka kita akan mendapat akibat yang buruk dan kesannya besar.

Cuma tidak semua yang terlibat dengan MPP di kampus itu akan jadi ahli politik dalam dunia sebenar. Dan tak semua yang aktif berniaga semasa di kampus dahulu menjadi ahli korporat sebenar selepas menamatkan pengajian. Itu realitinya.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka