Home Melaka

Rencana : Adakah Melayu sengaja dimiskinkan?

96
SHARE

Oleh IBNU JANIE

WALAUPUN rakyat majoriti, namun dari segi penguasaan ekonomi, orang Melayu masih lemah. Satu topik perbincangan yang amat ‘kliche’ untuk diperbincangkan.

Jika kita teliti betul-betul sebenarnya orang Melayu, Cina dan India sama-sama miskin semasa negara kita baru mencapai kemerdekaan. Jika kita meneliti kisah tokoh-tokoh perniagaan Cina yang berjaya sebelum ini, pada zaman merdeka mereka sedang miskin membangunkan perniagaan secara kecil-kecilan.

Namun apa silapnya sehingga orang Melayu walau pun keadaannya sekarang jauh lebih baik berbanding semasa awal kemerdekaan, tetapi jauh tertinggal jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain kini?

65 tahun Malaysia merdeka. Sepanjang 65 tahun itu Malaysia tidak pernah dipimpin oleh Perdana Menteri daripada orang bukan Melayu pun.

Dalam 65 tahun itu juga hanya 22 bulan sahaja Malaysia diperintah gabungan parti politik yang Melayu bukan majoriti. Namun perdana menteri dan majoriti menteri kabinet tetap dari kalangan orang Melayu pada ketika itu.

Sebagai aktivis PAS Melaka, sejak lahir belum pernah merasa menjadi parti kerajaan. Namun apabila PAS menjadi parti sekutu kerajaan seketika di bawah Kerajaan Perikatan Nasional Melaka selepas Langkah Sheraton tidak lama dulu, banyak perkara yang mengejutkan yang penulis baru tahu realiti orang Melayu dan politik.

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak bertarikh 27 Jun 2022

 

Penulis melihat bahawa rupa-rupanya kebergantungan orang Melayu terhadap bantuan wakil rakyat adalah sangat tinggi. Perkara ini juga membawa kepada pembentukan sikap orang Melayu terhadap politik. Dengan ramai orang Melayu yang miskin mereka boleh dicucuk hidung oleh ahli politik terutama ahli politik Melayu sendiri.

Sebab itu kita lihat bagaimana apabila ada ahli politik Melayu yang korup mereka tetap disanjung dengan mengandalkan ‘cash’ yang mereka taburkan kepada rakyat. Budi yang ditabur berjaya menutup mata orang Melayu daripada jenayah yang dilakukan pemimpin mereka.

Selain itu, kerana kemiskinan, ramai orang Melayu boleh dibeli dengan hanya beberapa ratus ringgit sahaja untuk mendapatkan undi mereka dalam pilihan raya.

Sebab itu hakikatnya apabila kita membangkitkan soal rasuah, ramai ahli bawahan kepada parti-parti politik yang terbudaya dengan rasuah ini tidak rasa marah atau jijik pun apabila didedahkan skandal rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin mereka.

Malah sesetengah pemimpin mereka sudah disabitkan dengan rasuah di mahkamah pun mereka tetap tidak percaya.

Ini adalah kerana pada masa ini mereka adalah pengikut. Satu masa nanti mereka mungkin akan jadi pemimpin pula. Mereka juga bercita-cita untuk makan rasuah sama seperti itu juga.

Akibat kemiskinan juga ramai orang Melayu yang berpaut kepada upah dan peruntukan parti dalam pilihan raya. Mereka menjadikan peruntukan besar parti untuk belanja pilihan raya sebagai habuan.

Budaya ini juga mewujudkan situasi di mana ahli-ahli politik terpaksa memastikan mereka harus mempunyai dana yang besar untuk ‘memberi makan’ pengikut-pengikutnya.

Ini yang menjuruskan ahli-ahli politik yang tidak jujur untuk melakukan rasuah dan menyelewengkan peruntukan kerajaan di bawah seliaan mereka sebagai wakil rakyat atau jawatan politik lain dalam kerajaan demi mengumpul dana.

Semua ini sebenarnya menggambarkan betapa kroniknya masyarakat Melayu dengan politik akibat daripada kemiskinan. Sementara ahli-ahli politik yang tidak jujur ini pula terus mengharapkan agar orang Melayu terus miskin supaya mereka boleh dibeli.

Mungkin ahli-ahli politik Melayu yang lama berkuasa ini pula melihat bahawa jika kebanyakan orang Melayu kaya maka mereka tidak akan boleh lagi ‘membeli’ orang-orang Melayu ini.

Boleh beli, tapi kosnya mungkin jadi bertambah tinggi. Jika dahulu mereka boleh bagi RM300, jika orang Melayu itu kaya mungkin mereka terpaksa membayar sehingga RM30 ribu barangkali. Jumlahnya sudah jadi tidak masuk akal.

Dahulu dasar Inggeris adalah untuk menjadikan orang Melayu dari anak nelayan menjadi nelayan yang lebih baik dari ayahnya. Mungkin selepas merdeka ahli-ahli politik Melayu ini pula hanya membangunkan orang Melayu sekadarnya sahaja, asalkan jangan sampai mereka kaya, agar boleh diumpan dengan sedikit wang dan rasa bergantung pada ahli-ahli politik ini.

Kita perlu mempersoalkan apa yang pemimpin politik Melayu yang lama berkuasa selama ini buat sehingga pada tahun 2022 ini kemiskinan masih membelenggu dan kita masih bercakap tentang perjuangan membela nasib Melayu?

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Pusat