Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Remaja 19 Tahun Galas Tugas Ibu Bapa

789 views
SHARE

Remaja 19 Tahun Galas Tugas Ibu Bapa

Negeri Sembilan : Telah tular di laman sosial Februari 2019 yang lepas tentang seorang remaja yang berumur 19 tahun, terpaksa mengambil alih semua tugas-tugas dan tanggungjawab kedua ibu bapanya menyara dua orang adiknya yang masih bersekolah.

Adik Muhammad Hailfie B Jasni merupakan anak sulung dari 5 orang adik beradik yang juga kini sedang berada di tingkatan 6 dan akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun ini mendapat liputan media di atas komitmen sebagai seorang abang yang bertanggungjawab yang ditonjolkan kepada masyarakat. Sesiapa sahaja yang mengikuti kisahnya akan turut merasa simpati bercampur kagum dengan pengorbanannya.

Muhammad Hailfie juga merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membanggakan. Selama 3 tahun beliau dibesarkan tanpa kasih sayang dari seorang ibu setelah ibu dan bapanya bercerai semenjak tahun 2016 yang lalu, namun atas didikan seorang ayah yang cekal walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu, Muhammad Hailfie tetap mampu menjadi anak yang membanggakan bapanya. Bahkan, setelah pemergian bapanya yang tercinta kerana menghidap kanser awal tahun ini, kini Muhammad Hailfie lah yang mengambil alih tanggungjawab arwah bapanya dan menurut Muhammad Hailfie lagi; dia juga meletakkan dirinya sebagai ibu, bapa, kakak, abang, imam, kawan dan guru kepada adik-adik.

Kisah tentang Muhammad Hailfie sepenuhnya boleh didapati di pautan berikut:

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/02/535591/remaja-ganti-ibu-bapa-jaga-dua-adik

Sehubungan dengan itu, Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), yang telah diwakilkankan oleh  LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan (DMPNS) turut mengambil inisiatif bagi menyatakan keprihatinan terhadap Muhammad Hailfie dan adik-adiknya. Pada 2 Mac 2019 baru-baru ini, LKK DMPNS telah berjumpa sendiri dengan Muhammad Hailfie di kediaman rumah sewanya. 

Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah, Puan Masita Mohamed Ali, Pengerusi LKK DMPNS merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Rembau, Puan Kartini Salim, Pengerusi Majlis Guru Pasti Kawasan Rembau, Encik Harridan Shah B Atan, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Rembau dan ahli-ahli PAS Kawasan Rembau. 

Menurut Puan Masita, berkenaan yuran sekolah mereka katanya pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan uruskan. Selain itu, jiran tetangga rumah sewanya juga adalah merupakan adik beradik kepada tuan rumah sewanya, Alhamdulillah jiran-jirannya banyak membantu dan tempat mereka menumpang kasih.

Di akhir ziarah, LKK DMPNS sempat menyampaikan sumbangan beberapa barangan keperluan dapur dan sedikit wang tunai sebagai perbelanjaan kepada Muhammad Hailfie dan adik-adiknya.