Home Berita PAS Johor

Redha Allah paling utama dalam menuju kemenangan

281
SHARE

Oleh  :  SHARIFAH AJIL

MUAR, 26 Dis : “Dalam gerak kerja perjuangan untuk mencapai kemenangan, yang diukur nilai kemenangan itu adalah yang dalam redha Allah SWT, itulah kemenangan yang paling besar dan lebih bermakna.”

Demikian antara intisari ucapan dalam sesi taujihat Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dihadapan para peserta program Permukiman PAS Kawasan Muar di sini, semalam.

Beliau mengingatkan para peserta untuk sentiasa bersyukur kerana PAS telah berada di persada politik tanah air selama 70 tahun, dan telah terpilih menjadi antara mata rantai perjuangan dalam perjuangan yang panjang ini.

“Tanda kesyukuran itu perlu diterjemahkan dalam bentuk penghayatan Islam semaksima mungkin kerana kita termasuk dalam golongan yang istiqamah atas jalan Allah.

“Segala cabaran, mehnah dan tribulasi mesti dihadapi dengan penuh kesabaran dan juga tugas-tugas menyerlahkan Islam dengan kerja-kerja kebajikan yang memberi manfaat kepada umat perlu diteruskan,” tambah beliau.

Beliau juga menyarankan agar para ahli untuk memperkukuhkan parti dengan sentiasa turun ke dalam masyarakat dalam kerja dakwah, kebajikan, pendidikan dan apa sahaja sumbangan membantu rakyat dalam apa jua kondisi.

“Kita seharusnya berpegang teguh dengan dasar dan prinsip Islam yang menjadi tunggak parti, hadapi dengan tabah cubaan dan godaan tawaran-tawaran yang menyimpang dari landasan agama meskipun tawaran itu jalan mudah mencapai kemenangan.

“Prinsip mesti digenggam kuat, fikir matlamat hidup kita untuk mencapai kemenangan dengan kemurkaan Allah atau keredhaan Allah. Ramai juga yang kecundang kerana menggunakan jalan pintas untuk mencapai kemenangan hingga sanggup melanggar janji, rasuah, menipu, khianat dan sebagainya,” tegas beliau dalam ucapannya.

Beliau turut membacakan terjemahan ayat 42 surah Attaubah yang menyatakan “Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan ysng mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, Jikalau kamu sanggup nescaya kami berangkat bersamamu.”

“Kita mesti mempunyai jiwa yang besar menghadapi segala ujian kerana ujian kita tidaklah seberat Rasulullah yang dibaling batu berdarah kepalanya semasa berdakwah di Thaif hingga Nabi berdoa, “Ya Allah, Ya Tuhanku, hanya kepadaMu tempat aku mengadu, lemahnya kekuatanku dan sedikitnya daya usaha ikhtiarku, hinanya aku di mata manusia.”

“Lalu Allah berfirman dalam Surah Al Imran : Ayat 139 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang beriman,” kata beliau lagi.

Program permukiman sehari PAS Muar telah diadakan di Desa Keroma Eco Resort melibatkan pimpinan utama dan semua ahli jawatankuasa harian PAS Kawasan Muar, Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat seramai 50 orang.