Home Berita PAS Melaka

Rasulullah S.A.W didik umat patuh keputusan mesyuarat – TG Zulkifli Ismail

111
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 2 Jun: Rasulullah S.A.W mendidik umat Islam agar patuh kepada keputusan mesyuarat walau pun ia tidak selaras dengan kehendak peribadi, kata Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Menurut beliau, ibrah itu diambil dari sirah sebuah perperangan di mana mesyuarat telah memutuskan untuk berperang di luar Madinah sedangkan baginda sendiri cenderung untuk bertahan di kota itu.

Namun, jelas Tuan Guru Zulkifli, golongan pemuda yang pada ketika mesyuarat itu mengutarakan cadangan tersebut berasa serba salah melihat Rasulullah S.A.W yang terus masuk ke bilik baginda dan memakai baju besi untuk keluar berperang seperti yang diputuskan, lalu mereka menawarkan agar baginda boleh sahaja menukar keputusan itu jika baginda mahu.

“Maka Nabi S.A.W berkata ‘Tak patut bagi seorang Nabi apabila dia sudah memakai baju besi, dia membuka semula baju besinya sebelum dia masuk ke medan perperangan’. Nabi ajar keputusan mesyuarat mesti dihormati dan mesti dilaksanakan.

“Dan dengan disiplin yang demikianlah yang menyebabkan segala gerak kerja yang dilakukan oleh Nabi S.A.W mendapat sokongan yang padu daripada para sahabat R.A yang walau pun jumlah mereka yang kecil.

“Akhirnya membuahkan kemenangan demi kemenangan dalam perjuangan Islam sehingga akhirnya Islam berjaya menawan kembali Kota Makkah dan kemudian berjaya menjatuhkan Rom, menjatuhkan Parsi,” ujar beliau.

Tuan Guru Zulkifli yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka itu berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian berkelompok Mesyuarat Agung PAS Cawangan-cawangan bagi Kawasan Masjid Tanah, di markaz kawasan di Jalan Hujan Panas, di sini, semalam.

Beliau dalam ucapannya itu turut berharap agar semua pimpinan PAS Cawangan sentiasa aktif bergerak dan menjalankan aktiviti terutamanya Mesyuarat Agung Tahunan yang menjadi tanggungjawab ahli sesuatu cawangan.

“Maka sekiranya kuat cawangan-cawangan, maka kuatlah parti ini. Sekiranya lemah cawangan-cawangan, maka lemahlah parti ini.

“Sebab itu tuan-tuan yang berada di cawangan ini adalah umpama barisan hadapan di dalam pertempuran. Paling dekat dengan rakyat. Maka buatlah kerja dengan bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah, kita sangat berhasrat pada Pilihan Raya ke 16 kita akan dapat untuk menghantar jumlah yang cukup untuk berada dalam Dewan Undangan Negeri bagi mencorakkan pentadbiran kerajaan Negeri Melaka,” ujarnya lagi.

Turut berucap di dalam majlis itu ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Semua cawangan-cawangan dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat agung antara 2 hingga 27 Jun sementara mesyuarat peringkat kawasan-kawasan pula perlu dilaksanakan antara 21 hingga 31 Julai ini.