Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

Rasuah, Penyelewengan Dan Korupsi: Bebanan Melampau Terhadap Ekonomi Malaysia

804
SHARE

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Malaysia

15 Mei 2017 | 18 Sya’ban 1438

RASUAH, PENYELEWENGAN DAN KORUPSI:

BEBANAN MELAMPAU TERHADAP EKONOMI MALAYSIA


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengikuti secara teliti pelbagai skandal ekonomi dan kewangan di Malaysia. Prinsipnya jelas, kami menentang keras sebarang bentuk penyelewengan kuasa, rasuah dan korupsi yang dilakukan kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Ternyata kezaliman ini adalah disebabkan oleh ketidakpatuhan terhadap ajaran agama, manipulasi sistem dan ketempangan dalam urus tadbir negara.  

Isu skandal forex BNM dan 1MDB adalah salah satu cetusan daripada kesilapan pentadbir, kelemahan sistem dan pelaksanaan. Ketidakberdayaan kawalan menurut keimanan, undang-undang dan ditambah dengan kerasukan kleptokrasi menjadikan ia satu barah yang sukar untuk dirawat dan terpaksa menunggu saat kematian. Skandal 1MDB, TRX dalam projek Bandar Malaysia kembali mendapat perhatian setelah pengambilalihan sepenuhnya di bawah Kementerian Kewangan.

Pembatalan urus niaga antara TRX dan ICSB serta pemulangan semula deposit ratusan juta ringgit sangat meragukan. Tambahan pula, pelbagai berita yang dipaparkan di media semakin memburukkan keadaan sehingga menggegarkan pasaran modal negara. Nampaknya, skandal 1MDB dan segala yang berkaitan dengannya tidak menemui jalan penyelesaian yang tuntas selagimana terus berada dalam kerangka sistem sedia ada.   

Pada bila-bila masa sahaja skandal seumpama ini boleh berulang kembali dan mungkin dengan watak dan skrip yang berbeza. Maka, skandal 1MDB akan menjadi seperti skandal-skandal kewangan antarabangsa seperti Enron dan Worldcom. Jelasnya, kini ia telah dan akan menjadi legasi kepada warisan negara serta dunia buat seratus tahun yang mendatang. Tiada lagi tamadun yang diwariskan melainkan bebanan buat generasi seterusnya.  

PAS dan parti pembangkang yang lain teguh menentang penyelewangan seperti ini. Cuma yang membezakan PAS dan pembangkang lain adalah solusi yang berbeza.  PAS bukan sekadar mahu mereka yang terlibat didakwa dan dihukum jika bersalah. Bahkan, kami mahu reformasi secara menyeluruh terhadap kerangka pemikiran, sistem dan undang-undang yang ada. Kita bukan hanya mahu YAB Dato’ Seri Najib sahaja turun, malah kita mahu BN keluar daripada pentadbiran negara.

Cukuplah dengan apa yang telah dilakukan. Siapa boleh beri jaminan perkara ini tidak berulang lagi jika BN masih berkuasa selepas PRU 14 akan datang? Lebih separuh abad mereka berkuasa, ratusan skandal yang telah berlaku. Skandal kewangan Bank Bumiputera, pencabulan hak Tanah Rizab Melayu, skandal Perwaja, kelumpuhan MAS yang akhirnya menggadai kepentingan negara. Nasib mereka ‘mungkin baik’ kerana mereka masih ditampuk kuasa dan boleh tutup dengan sistem sedia ada.

Kini, maklumat mudah diterima. Rakyat semakin cerdik. Signal kelembapan ekonomi akan terus membuka mata rakyat. Kejatuhan nilai ringgit, ketidakstabilan harga komoditi utama dan kebengkakan hutang akan menjadi asas-asas kepada kebobrokan pentadbiran negara yang diterajui Umno. Mereka perlu ditumbangkan! Justeru, PAS menolak kezaliman yang dilakukan dan mahu negara terus sejahtera membangun dengan acuan yang lebih baik.  

PAS berazam untuk mereformasikan sistem setaraf dengan negara maju lain. Manusia bukan agen ekonomi tetapi mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah Allah. Sumber ekonomi bukan untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad sebaliknya menguruskan dengan lebih baik selaras dengan prinsip-prinsip pembangunan Islam yang menjamin keadilan kepada semua manusia. Perancangan kemajuan ekonomi bukan hanya untuk dunia tetapi untuk menyediakan manusia menuju akhirat. Indeks kebahagian manusia bukan diukur dengan neraca material semata-mata sebaliknya dengan menyelamai hakikat spiritual juga.  

Inilah tekad PAS dalam memacu negara. Kerangka pemikiran yang berteraskan Islam mesti diperkukuhkan demi kemaslahatan seluruh manusia. Kita mahu negara ini terus kekal bersaing dengan nilai yang adil pada neraca fitrah manusia. Dasar ini lah yang kami pegang sesuai dengan tujuan penubuhan PAS. Pada masa yang sama, kita mahu nilai perpaduan kekal utuh. Kedaulatan Perlembagaan perlu dipertahankan. Hak bumiputra dan umat muslim terus dijamin dan yang lain-lain kekal menikmati hak mereka. Sudah semestinya, mereka yang menuduh PAS mahu bersengkongkol dengan Umno-BN adalah sekadar membenarkan strategi politik songsang mereka. Katalah apa pun. Jawapan kami satu, iaitu tidak pada Umno dan BN. Soal kami tidak mahu bersama pembangkang lain, itu juga adalah prinsip dan strategi.

 

Sekian, terima kasih.

“Mara Menuju Cita”

“Sejahtera Bersama Islam”

Ir. Hj. Khairil Nizam bin Khirudin

Timbalan Ketua

Dewan Pemuda PAS Malaysia