Home Berita PAS Perak

Ramadan: Bulan memperingati peristiwa Badar Kubro

147
SHARE


RAMADAN: BULAN MEMPERINGATI PERISTIWA BADAR KUBRA

Ramadan Al-Mubarak, bulan yang dinanti-nantikan oleh jutaan umat Islam diseluruh dunia. Ia adalah bulan yang kita semua tahu bahawa telah difardhukan kepada umat Islam untuk melakukan ibadah puasa khususnya. Firman Allah SWT di dalam Surah Al Baqarah ayat 183 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Bulan Ramadan bukan semata-mata bulan untuk kita melakukan ibadah puasa. Cuma dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya di atas, bahawa bulan puasa ini boleh membentuk manusia dan orang-orang beriman untuk menjadi golongan mereka yang bertaqwa.

ERTI TAQWA
Pengisian dalam erti kata taqwa ini sangat banyak. Erti taqwa yang mudah ialah takutkan Allah SWT, melakukan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. Antara perintah Allah yang selalu umat Islam lupa ialah menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini. “Iqamatud din, wa siyasatun dunya bih”.

MEMPERINGATI PERISTIWA BADAR KUBRA
Kebanyakkan umat Islam hanya nampak puasa, solat sunat tarawih, sedekah dan sebagainya. Mereka tidak nampak bahawa begitu banyak berlaku peristiwa-peristiwa besar yang Allah taala takdirkan berlaku di dalam bulan Ramadan. Antaranya ialah peristiwa Badar Kubra yang hanya disambut oleh sebahagian kecil umat Islam yang faham, tetapi umat Islam yang lainnya tidak nampak sesuatu pengajaran disebalik apa yang berlaku.

BULAN PENGORBANAN
Ini adalah bulan yang memerlukan kepada tadhiyyah iaitu pengorbanan, bulan yang memerlukan semangat jihad yang tinggi, bulan tarbiyyah untuk mendidik kita melakukan ketaatan kepada Allah. Ketaatan yang dimaksudkan pula bukan semata-mata merujuk kepada ibadah puasa, solat, haji, umrah dan sebagainya namun ia lebih daripada itu iaitu ketaatan kepada keseluruhan hukum Allah yang mesti ditegakkan termasuk daulah Islam dan membentuk manusia supaya melakukan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan laranganNya.

PERJUANGAN MENENTANG HAWA NAFSU
Oleh itu, hendaklah sama-sama kita nampak bahawa bulan ini adalah bulan perjuangan yang sebenarnya. Perjuangan kita bukan hanya untuk menahan lapar dan dahaga sahaja, tetapi perjuangan kita adalah lebih daripada itu iaitu perjuangan untuk melawan hawa nafsu manusia. Hawa nafsu ini sebenarnya adalah anugerah Allah sebagai ujian kepada manusia.

Bulan ini adalah bulan untuk membentuk nafsu supaya tunduk dan patuh kepada Allah. Di antara kepatuhannya adalah bagaimana kita perlu mengorbankan keselesaan dan kesenangan dengan memberikan masa, tenaga, harta, dan pemikiran untuk memikirkan bagaimana hukum Allah SWT ini dapat ditegakkan. Inilah intipati yang terdapat dalam peristiwa Badar Kubra dan peristiwa-peristiwa lain yang pernah berlaku di dalam bulan Ramadan. Maka kita umat Islam perlulah sama-sama menghayati dan mengambil ibrah daripada peristiwa tersebut.

Salam Ramadan Kareem buat semua.
Semoga amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

USTAZ MD SALLEH SAID,
Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun,
Penyelia Pusat Khidmat PAS Dun Hulu Kinta.
9 April 2022 l 7 Ramadan 1443H