Home Berita PAS Perlis

Rakyat terus kekal hormati institusi beraja

292
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 7 Jun: Rakyat di negara ini tetap menghormati institusi beraja meskipun sejak kebelakangan ini terdapat usaha untuk memburuk-burukkan institusi berkenaan.

Jelas Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan, walaupun ada segelintir pihak yang berusaha meruntuhkan institusi beraja melalui isu-isu yang ditimbulkan, tindakan berkenaan dilihat hanya memakan diri sendiri.

Sebagai contoh kata beliau, jika dahulu terdapat usaha untuk mengiktiraf ICERD, kini muncul pula cubaan mengheret Raja-raja Melayu ke kancah politik serta yang terbaru video tular menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Rakyat kini dilihat semakin memahami peri pentingnya sistem Raja Berpelembagaan dalam amalan demokrasi di negara ini khasnya dalam dalam aspek memelihara kestabilan politik serta perpaduan rakyat di negara ini.

“Justeru, sebarang usaha untuk meruntuhkannya (sistem beraja) adalah sia-sia dan pada akhirnya rakyat sendiri akan mengenali watak dan tujuan sebenar pihak-pihak berkenaan.

“Mereka ini tidak lain adalah golongan yang bencikan sistem Raja Berpelembagaan yang dilihat mengancam kepentingan politik sempit mereka,” ujarnya ketika dihubungi si sini pagi ini.

Dalam pada itu, beliau yang mewakili Dewan Pemuda PAS Perlis turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.

“Patik sekalian akan sentiasa mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan KDYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” katanya.